suria

Pesona Nona musim ke3 mulakan ujibakat November ini

SEGMEN Pesona Nona yang disiarkan melalui program khusus untuk wanita, NONA, kini kembali untuk musim ketiga bagi mencari bakat-bakat baru di dalam bidang pengacaraan.

Segmen yang mula diperkenalkan pada tahun 2006 ini sekali lagi dibawa khas oleh produk kecantikan Safi dan akan disiarkan di dalam program NONA, setiap hari Ahad, jam 2 petang mulai awal Januari 2009.

Mereka yang berminat untuk menghadirkan diri ke ujibakat ini harus memiliki kriteria-kriteria tertentu seperti mempunyai kelayakan sekurang-kurangnya sijil Diploma dari institut pengajian tinggi yang diiktiraf, wanita berusia 17 hingga 25 tahun, berstatus bujang, berwajah menarik (fotogenik & telegenik), kebolehan bertutur dwi bahasa (bilingual), memiliki tahap vokal yang mantap dan mampu untuk berkomunikasi dengan baik.

Peserta harus membawa salinan kad pengenalan, salinan sijil pendidikan dan gambar bersaiz pasport atau 4R ketika menghadiri sesi ujibakat.

"Objektif program realiti ini ialah untuk mencungkil serta menggilap bakat-bakat baru untuk diketengahkan sebagai seorang pengacara mahupun sebagai wartawan penyiaran yang berkaliber.

"Peserta yang terpilih akan mendapat latihan intensif pengacaraan dan kewartawanan sama ada untuk program-program rakaman mahupun secara langsung.

"Melalui program ini, penonton boleh melihat bahawa kerjaya dalam bidang ini bukanlah mudah. Sebaliknya, seseorang harus mempunyai komitmen dan pendidikan tinggi serta personaliti yang dinamik.

"Mereka harus memiliki ciri-ciri yang versatil, di samping mempunyai personaliti yang menarik dan berkeyakinan tinggi. Di samping itu, setiap peserta akan diberikan tugasan yang akan memperlihatkan kredibiliti setiap peserta," ujar Ketua Pegawai Eksekutif TV3, Datuk Amrin Awaluddin.

Segmen Pesona Nona yang disiarkan selama 5 hingga 7 minit dalam program NONA ini diterbitkan oleh Syarida Sharif dan akan mula disiarkan pada awal Januari 2009.

"Pihak kami mengharapkan peserta yang datang ke ujibakat ini datang dari berlainan latar belakang dan pendidikan. Peserta yang terpilih akan diberikan latihan asas dalam bidang penyiaran antaranya latihan vokal, penampilan, kelas penghayatan, kelas mekap, teknik menemuramah, skill komunikasi dan juga persediaan sebelum melangkah ke dunia glamor oleh tenaga pengajar profesional.

"TV3 sendiri akan dijadikan pusat pembelajaran untuk peserta memahami dengan lebih dekat lagi senario sebenar dunia penyiaran. Tunjuk ajar daripada tenaga pengajar profesional dan berpengalaman akan memastikan misi untuk melahirkan bakat baru yang bakal menyinari dunia penyiaran tanahair akan tercapai," ujar Syarida.

Ujibakat akan diadakan di sembilan buah lokasi seluruh Malaysia mengikut zon termasuklah Sabah dan Sarawak bermula pada 1 November ini. Sesi ujibakat akan bermula pada jam 10.00 pagi hingga 5.00 petang. Berikut maklumat mengenai sesi ujibakat:-

1 November - M.Suite Hotel, Johor Bahru - Sri Pentas, TV3, Kuala Lumpur

2 November - Avillion Legacy Hotel, Melaka - Sri Pentas, TV3, Kuala Lumpur

8 November - Paradise Sandy Beach Resort, Pulau Pinang

9 November - Holiday Villa Hotel & Suites, Alor Setar

15 November - Vistana Hotel, Kuantan

16 November - Primula Parkroyal Hotel, Kuala Terengganu

22 November - The Palace Hotel, Kota Kinabalu

23 November - The Palace Hotel, Kota Kinabalu

29 November - Harbour View, Kuching - Sri Pentas, TV3, Kuala Lumpur

30 November - Harbour View, Kuching - Sri Pentas, TV3, Kuala Lumpur

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain