suria

Kes khalwat Memey tidak sedar Norman berada di pejabat ketika serbuan

PETALING JAYA: "Saya tidak sedar Norman pulang ke pejabat pada waktu itu. Apa yang saya tahu, setelah serbuan dibuat, barulah saya sedar Norman berada di aras dua pejabat itu," luah pelakon muda, Memey Suhaiza atau nama sebenarnya Suhaiza Suhaimi berhubung kes ditangkap khalwat bersama aktor dan suami kepada pelakon Abby Abadi, iaitu Norman Hakim.

Pelakon dan model berusia 20 tahun itu yang enggan memberikan sebarang komen semalam bagaimanapun hari ini tampil untuk menjelaskan perkara sebenar yang terjadi setelah dia dan Norman ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di pejabat Norman di Ukay Perdana, Ampang sekitar pukul 3 pagi semalam.

Dalam nada sugul, Memey menceritakan insiden itu sama sekali tidak disangka akan terjadi kepada dirinya yang ketika ini baru saja merangkak untuk mengukir nama di dalam bidang lakonan.

"Setelah mesyuarat selesai kira-kira jam 12 malam, Norman keluar dan saya bersama beberapa lagi staf yang lain masih berada di pejabat. Kemudian seorang demi seorang pulang dan akhirnya tinggal saya saja di aras satu pejabat itu kerana saya perlu menyiapkan sedikit lagi urusan lain.

"Sehinggalah saya terdengar bunyi ketukan bertalu-talu di pintu, tetapi saya tidak berani untuk keluar lihat. Akhirnya saya hubungi abang Norman, Sophee dan lebih kurang setengah jam selepas itu dia sampai di pejabat.

"Barulah saya sedar yang pejabat itu telah diserbu oleh JAIS dan Norman berada di aras dua. Saya amat terkejut dengan apa yang berlaku dan saya akui, sehingga hari ini saya masih lagi bingung.

"Saya minta maaf kerana tidak dapat memberikan sebarang komen semalam, bukan kerana ingin menyembunyikan diri, tetapi saya perlu ruang untuk menenangkan fikiran.

"Alhamdulillah, setelah mendapat sokongan daripada ibu dan ahli keluarga semua, baru saya rasa saya mampu untuk berdepan dengan pihak media. Malah, ibulah orang pertama yang saya hubungi sebaik ditahan JAIS," kata gadis yang dibesarkan di sebuah felda di Kota Tinggi, Johor ini.

Jelas pelakon yang popular menerusi beberapa buah drama seperti Graduan, Farah Syakirah dan Mahsuri ini, dia menganggap apa yang berlaku ini sebagai satu pengajaran buat dirinya.

Namun, Memey tidak nafikan perasaan gusar sentiasa menyelubunginya apatah lagi bila memikirkan perasaan isteri Norman, Abby, yang pastinya terguris ekoran kejadian itu.

Lebih memburukkan keadaan, Memey juga sebelum ini dicop menjadi 'orang ketiga' di dalam rumahtangga pasangan itu yang kini dikatakan sedang bergolak, malah sebelum berlakunya insiden itu lagi.

Gosip tentang hubungannya dengan aktor drama Gerak Khas itu mula bertiup awal tahun ini apabila mereka dikatakan mula rapat setelah membintangi drama bersiri Pasrah.

Sehinggalah baru-baru ini apabila khabar angin mengatakan Norman sudah pun bernikah lagi secara rahsia di sempadan Malaysia-Thailand dan wanita itu dikatakan adalah Memey.

Namun, kedua-duanya menafikan hal tersebut.

"Saya tidak harap orang akan faham masalah saya, tetapi cuba letak diri anda di tempat saya sekarang, apa yang akan anda buat? Berkali-kali saya menafikan yang saya mempunyai hubungan lebih dari seorang sahabat dengan Norman, tetapi dengan apa yang baru terjadi ini, saya tahu orang akan cakap macam-macam pada saya.

"Saya tidak mampu buat apa-apa. Saya sedar, orang akan salahkan saya sebagai perampas mahupun punca pergolakan rumahtangga mereka. Saya hanya berharap saya mampu lakukan yang terbaik untuk membersihkan nama saya.

"Sejak semalam, saya asyik memikirkan bagaimana penerimaan ramai terhadap diri saya selepas ini. Saya amat takut jika kes ini akan turut menjejaskan karier saya.

"Tetapi setakat ini saya bersyukur, stesen televisyen dan pihak produksi drama yang saya terlibat tidak berhasrat untuk 'gam' saya atau sebagainya setelah saya hubungi mereka semalam," kata anak saudara kepada pelakon dan penerbit drama, Darling Ngasri ini.

Ditanya sama ada dia akan berdepan sendiri dengan Abby untuk menjelaskan hal yang sebenar, Memey berkata:

"Saya tiada masalah untuk bersemuka dengannya. Kalau inilah satu-satunya cara boleh jernihkan semula keadaan, saya akan buat. Saya faham buat masa ini, emosi Abby pasti tidak menentu. Masalah sebelum ini pun belum selesai, ditambah pula dengan kes baru.

"Seboleh mungkin, saya akan cuba selesaikan masalah ini. Norman ada juga menghubungi saya semalam dan kami berbincang bagaimana untuk membersihkan nama masing-masing.

"Saya tidak marah jika Abby rasa terguris dengan saya kerana saya faham perasaan yang sedang dia alami," kata Memey.

Menurut Memey, sewaktu gosip hubungannya bersama Norman bertiup kencang sekitar awal tahun ini, dia sendiri pernah menghubungi Abby dan menjelaskan khabar angin tersebut tidak benar.

"Ketika itu, Abby menerima penjelasan saya. Tetapi, sekarang ini, saya tidak tahu macam mana," tutur Memey yang ketika ini sedang sibuk di penggambaran drama Bara Ku Genggam untuk siaran RTM.

Artikel Lain