suria

Baru filem pertama, Liana sudah lali dengan kritikan!

Biarpun sibuk dilokasi sebagai pengarah Liana tetap ceria kerana diberi peluang mengarah Selamat Pagi Cinta.
Biarpun sibuk dilokasi sebagai pengarah Liana tetap ceria kerana diberi peluang mengarah Selamat Pagi Cinta.
Biarpun sibuk dilokasi sebagai pengarah Liana tetap ceria kerana diberi peluang mengarah Selamat Pagi Cinta.

KALI pertama mengarahkan filem pastinya menjadi pengalaman begitu mengujakan bagi seorang yang bergelar anak seni. Namun perkara sebaliknya terjadi kepada pengarah muda, Norliana Samsudin.

Biarpun diberi peluang mengarah Selamat Pagi Cinta, Liana yang juga bekas kekasih kepada pengarah dan penulis skrip ’Jangan Tegur’, Pierre Andre ini seakan sudah lali dengan kritikan demi kritikan yang diterimanya sejak awal mengarahkan filem yang bakal ditayangkan 20 November depan.

Bagi Liana walaupun ramai yang tidak berpuashati dan mempertikaikan keupayaannya dalam mengarahkan sebuah filem, beliau tetap sabar dan mengambil kritikan tersebut sebagai jalan terbaik untuk memperbaiki mutu pengarahannya.

"Sebagai manusia kita belajar dari kesilapan. Saya ambil setiap kritikan sebagai cabaran. Saya sudah lali dengan kritikan yang diterima sejak awal mengarahkan filem ini,” katanya ketika ditemui di sidang media Pra Tonton filem Selamat Pagi Cinta (SPC) di TGV, The Mines semalam.

Menurut Liana, beliau tidak akan cepat berputus asa dan memperbaiki diri serta mendalami ilmu pengarahan untuk memberikan hasil yang lebih baik jika diberi peluang untuk mengarah sekali lagi.

Sejak dari awal lagi wanita berhati waja ini sudah bersiap sedia dari sudut emosi dan mental menerima sebarang kritikan dan teguran daripada pelbagai pihak.

"Sejak mula diumumkan saya sebagai pengarah SPC ramai yang berkata, mampukah saya mengarah tanpa sebarang pengalaman.

"Saya akui saya takut pada mulanya, tapi saya tetap ingin mencuba untuk menilai kekuatan yang ada dalam diri,” katanya.

Tiada masalah dengan team produksi

Bagi gadis berusia 24 tahun ini, team produksi SPC banyak memberi idea dan membantunya dalam menyiapkan filem terbaru terbitan Metrowealth Movies itu.

"Pada masa yang sama saya bersyukur sangat sebab dapat team produksi yang sangat bagus dan saya tak ada masalah untuk bekerjasama dengan mereka. Semua team SPC orang muda yang banyak idea dan kreatif,” katanya.

Ditanya bagaimanakah beliau dapat bekerjasama dengan bekas kekasihnya, Pierre yang turut menulis skrip serta berlakon dalam filem ini Liana berkata:

"Di lokasi kami professional. Kami buat kerja masing-masing. Peribadi dan kerja tidak boleh dicampur-adukkan,” ujarnya.

Beliau dalam nada tegas berkata apa yang berlaku antara beliau dengan anak lelaki tunggal Khatijah Tan itu tidak menganggu kerja-kerja pengarahannya dalam filem tersebut.

"Saya juga merombak skrip filem SPC yang ditulis Pierre sebanyak 30 peratus dan dia agak tidak puas hati dengan rombakan tersebut pada awalnya. Tapi perselisihan pendapat itu hanyalah bersifat sementara.

Bagi saya perkara tersebut terjadi kerana masing-masing mahu memberikan yang terbaik, katanya.

Jelas Liana, beliau meletakkan susunan cerita, syot kamera dan teknik pengarahan daripada kacamata seorang wanita manakala Pierre meletakkan skripnya dari sudut pemikiran lelaki pertembungan tersebut menjadikan perselisihan pendapat berlaku antara mereka.

Ketika ditanya apakah kekuatan filem tersebut, Liana berkata, filem SPC kuat bukan disebabkan kebolehan seseorang sebaliknya ia adalah hasil kerjasama semua team produksi.

"Saya bersyukur kerana dapat barisan pelakon yang bagus, tapi bukan hanya mereka sahaja. Skrip Pierre juga tidak kurang hebatnya. Yang lebih penting team produksi, banyak memberi sokongan. Semua ini jadi elemen penting yang banyak membantu saya,” katanya.

Pengarah muda kelahiran UiTM ini ternyata seorang yang tidak mudah mengalah.

Baginya bila peluang telah diberikan kepadanya dia akan cuba memanfaatkannya sebaik mungkin.

"Saya tidak akan mensia-siakan peluang yang diberikan oleh Mr David. Inilah peluang terbaik untuk saya buktikan kemampuan saya. Saya sukakan cabaran sebab itu saya berani mengambil risiko untuk mengarahkan SPC,” katanya.

Bagi Liana keistimewaan watak-watak dalam SPC sengaja dicorakkan dengan memberi warna-warna tertentu sebagai trademark untuk membezakan watak-watak tersebut.

”Saya sengaja guna warna tema tertentu kepada empat watak utama dalam filem ini. Bagi Sharifah Amani (Suci) saya berikan dia warna ungu kerana ingin melambangkan dia seorang yang berjiwa lembut, manja dan romantis.

”Sementara bagi Fazura (Julia) pula diberi warna merah yang melambangkan dia seoroang yang kuat dan tabah menghadapi cabaran mendatang terutamanya selepas kematian suaminya, Ilham (Pierre),” katanya.

Bagi watak Haikal pula, beliau memilih warna hijau bagi melambangkan kedamaian jiwa serta sifat Haikail yang penyabar dalam setiap menghadapi apa jua cabaran dalam kehidupannya.

Bagi watak Ilham lakonan Pierre diberikan warna biru yang menggambarkan rasa cintanya kepada Julia lakonan Fazura. Namun sikap Ilham berbeza kerana dia sanggup menyembunyikan penyakit yang dihadapinya daripada pengetahuan isterinya sendiri hingga dia sanggup menaggung derita hingga saat-saat akhir kematiannya.

Sebagai pengarah Liana cuba untuk menyampaikan kesimpulan cerita dan mesej filem tersebut dengan memberikan penyelesaian di penghujung filem tersebut.

Peleraian kepada persoalan yang timbul di permulaan cerita dirangkumkan di penghujung filem tersebut.

Kisah percintaan dalam filem ini menyajikan cinta tak semestinya bersatu namun erti dan nilai pengorbanan cinta itu lebih besar maknanya dalam kehidupan.

Jelasnya, dia telah cuba memberikan yang terbaik semasa mengarah filem ini namun bukan mudah untuk memuaskan hati semua pihak, bagi Liana, dia telah bersiap sedia untuk menerima sebarang kritikan yang membina mahupun sebaliknya bagi karya sulung arahannya itu.

Komen penerbit dan pelakon terhadap hasil kerja Liana

David Teoh (Penerbit)

Menurut David baginya sebagai penerbit filem ini beliau lebih menumpukan kepada strategi pemasaran filem ini.

”Saya sudah melabur RM1.5 juta bagi filem ini, pastilah saya mahukan keuntungan dengan mencapai kutipan box-office. Kritikan-kritikan yang diberikan saya lihat daripada sudut pendapat peribadi yang lebih penting masyarakat suka dan pergi menontonnya di pawagam,” katanya.

Jelas David, jika kita hanya menumpukan kepada soal kritikan dalam filem tempatan kita tidak akan ke mana-mana.

”Filem ini untuk golongan muda dan remaja. Kalau mereka boleh menangis dan menghayati apa yang cuba disampaikan oleh pengarah, saya lihat ia sudah jadi bonus pada kami,” katanya.

Tegasnya, bukan mudah untuk puaskan hati semua pihak namun apa yang lebih penting adalah pihaknya akan cuba mengambil kritikan yang diberikan sebagai cara untuk memperbaiki filem terbitannya yang akan datang.

Pierre Andre (Ilham)

Pierre menyifatkan bekas kekasihnya itu sebagai seorang yang mudah belajar dan menerima teguran dengan hati terbuka.

”Dia seorang yang senang menerima teguran dan dia sangat cepat belajar, Saya kagum dengan kebolehan dia,” katanya.

Pierre yang juga penulis skrip I’m Not Single ini juga berkata dia menghormati Liana sebagai seorang pengarah bila di set.

”Walaupun saya penulis skrip filem ini, apabila di set saya menjadi pelakon dan menerima arahan daripadanya,” katanya. Menurut beliau, perselisihan pendapat yang berlaku semasa rombakan skrip dibuat oleh Liana memang biasa terjadi dan masing-masing professional dalam menyelesaikannya.

”Saya tahu bukan mudah untuk jadi seorang pengarah kerana pengalaman menjadikan kita lebih matang dalam bidang ini. Tapi saya lihat Liana sudah memberikan yang terbaik dalam filem ini dan saya bangga,” katanya.

Sharifah Amani (Suci)

Bagi pelakon filem Sepet, Sharifah Amani peluang berlakon di bawah arahan Liana memang dinanti-nantikan selama ini.

”Saya begitu teruja untuk bekerjasama dengan Liana. Sangat mudah untuk memberikan pendapat dan dia suka mendengar. Kami seronok bila di set. Semuanya seperti satu keluarga dan yang lebih penting kami mudah bekerjasama” katanya.

Menurut adik kepada Sharifah Aleeya yang lebih dikenali sebagai Nani ini bila di set penggambaran mereka akan menjalankan tugas dan etika dengan professional.

Amani yang juga anak kepada pelakon Fatimah Abu Bakar berkata, Liana juga menjadi sumber inspirasinya kerana beliau juga bercita-cita ingin menjadi seorang pengarah dan menulis skrip pada masa akan datang.

Que Haidar (Haikal)

Que menyifatkan Liana sebagai pengarah muda yang mudah bekerjasama dengan semua pihak.

”Saya pernah kerja dengan ramai pengarah tapi saya lihat Liana mudah bekerjasama dan menerima pendapat dari kami,” kata Que.

Jelasnya, masalah di set sebagai satu lumrah dan beliau kagum dengan kebolehan Liana mengawal dan menyelesaikan masalah yang timbul di lokasi sebaik mungkin.

”Kami sentiasa melakukan perbincangan untuk melakukan yang terbaik untuk filem ini. Kami beri idea dan kembangkannya bersama-sama. Kami sudah ibarat satu keluarga besar masa di lokasi,” katanya.

Menurut Que, apa yang jelas Liana menitikberatkan kerja-kerja di lokasi perlu dilaksanakan bersama sebagai sebuah pasukan.

Artikel Sebelum

'Wayang' filem sebenar kehidupan

Artikel Berikut

Artikel Lain