suria

Ashraf Bunga didenda sebagai kejutan majlis persandingan

MALAM ini buat kali kedua pasangan pengantin baru Ashraf Sinchlair dan Bunga Citra Lestari akan disandingkan di majlis resepsi yang diadakan di The Saujana Hotel, Subang.

Jika dihitung, termasuk hari ini, sudah hampir seminggu Ashraf, 29, dan Bunga, 25, sah menjadi suami isteri.

Namun, media Malaysia tidak berpeluang membuat liputan majlis akad nikah dan resepsi pengantin perempuan yang berlangsung di Jakarta Ahad lalu.

Bagaimanapun, rencana tentang majlis perkahwinan mereka tetap disiarkan dalam akhbar di sini untuk tatapan peminat Ashraf dan Bunga.

Seperti yang dinantikan, akhirnya majlis resepsi pasangan pengantin yang sama cantik sama padan ini dibuat di Kuala Lumpur hari ini dan pastinya dinanti-nantikan bukan sahaja oleh peminat mereka berdua tetapi juga media negara ini.

Dengan tema Inggeris pasangan yang baru diijabkabulkan Sabtu lalu ini akan diarak dengan menaiki kereta mewah Rolls Royce hingga ke perkarangan hotel berkenaan.

Majlis yang diadakan khas untuk meraikan sahabat-sahabat dan teman seperjuangan Ashraf dalam bidang seni di Malaysia dijangka bermula jam 8 malam.

Difahamkan pelakon Sazzy Falak dan teman rapat Ashraf, Kit akan menjadi pengacara pada malam ini.

Ashraf akan memakai tuksedo rekaan Ben Zainal manakala Bunga akan menyarung gaun rekaan Putra Cosry.

Tetamu juga akan dihiburkan dengan persembahan daripada artis seperti Ferhad, Syed Azmir dan Elika.

Seperti biasa dalam majlis yang bertemakan Inggeris ini, acara memotong kek akan menjadi kemuncak kepada majlis tersebut.

Menurut pengurus Ashraf, Nora, ada kejutan yang akan berlangsung pada malam tersebut.

“Nak tahu apa dia, kita kena tunggu malam ini. Ashraf dan Bunga akan didenda untuk melaksanakan kejutan tersebut,” katanya.

Kemudian pada keesokan harinya, pasangan pengantin antara dua budaya ini akan diraikan dalam satu lagi majlis resepsi.

Majlis resepsi kali ketiga ini menjemput khas ahli keluarga dan sanak saudara terdekat Ashraf dan Bunga yang diadakan di Kelab Golf Perkhidmatan Awam Bukit Kiara dengan konsep, ‘Pulang ke kampung bawa Isteri’.

Sementara itu, Ashraf ketika dihubungi berkata beliau sangat berterima kasih kepada pihak media Malaysia kerana memberi sokongan padu kepadanya walaupun tidak dapat menjemput pihak media di sini menghadiri majlisnya di Indonesia.

"Saya mengakui terkilan kerana tidak dapat menjemput media tempatan yang saya anggap sebagai rakan-rakan baik saya untuk membuat liputan majlis akad nikah dan resepsi pengantin perempuan di Jakarta.

"Ini kerana bukan apa, saya bimbang media Malaysia tidak dapat menyesuaikan diri dengan budaya media Indonesia yang agak agresif dan lebih mirip kepada paparazi seperti media di Hollywood," jelas Ashraf.

Menceritakan pengalamannya selepas bergelar suami kepada Bunga hampir seminggu, Ashraf berkata:

“Saya sangat gembira bila setiap pagi saya bangun dia ada di sebelah menemani saya. Semuanya ibarat mimpi dan saya sangat bahagia dengannya.”

Tambahnya lagi, mereka masih dalam proses menyesuaikan diri dengan suasana yang baru dilalui itu.

“Semuanya masih baru untuk kami, masing-masing sedang cuba menyesuaikan diri dengan situasi ini,” katanya.

Menurut jejaka kacak ini, selepas berakhirnya dua majlis resepsi ini, pasangan pengantin baru ini akan menghabiskan masa selama seminggu untuk menikmati bulan madu mereka.

“Selepas majlis ini selesai, kami akan ke Maldives untuk bulan madu. Ketika ini kami tumpukan pada majlis sebelah malam nanti dan esok,” katanya.

Menetap dua tahun di Indonesia

Ditanya mengenai masa depannya, model kacak ini menegaskan dia sudah membuat keputusan untuk menetap selama dua tahun di Indonesia.

"Bukan sahaja kerana saya sudah bergelar suami kepada seorang bintang terkenal Indonesia, tetapi juga kerana saya juga bakal membina karier lakonan saya di sana," ujarnya.

Menurut Ashraf ketika ini dia telah mengikat kontrak berlakon dalam 200 episod drama produksi Indonesia.

Selain itu, Ashraf yang juga abang kepada model Aishah Sinclair ini bakal muncul menerusi dua buah filem Indonesia iaitu Pocong dan Saus Kacang.

"Selama dua tahun ini, saya bukan sahaja sibuk dengan karier lakonan, tetapi juga mencari peluang bisnes di sini.

"Dan yang paling utama adalah untuk saya membina sebuah keluarga bahagia bersama Bunga, kerana dalam dua tahun itu, sudah tentu kami sudah dikurniakan cahayamata bagi melengkapkan lagi kebahagiaan kami sebagai pasangan suami isteri," tutur Ashraf mengakhiri bicara.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain