suria

Resepsi AshrafBunga indah tetapi hambar

SUBANG: Majlis resepsi perkahwinan aktor Ashraf Sinclair dan penyanyi Indonesia Bunga Citra Lestari berlangsung dengan 'indah' tetapi diselubungi dengan ketidakpuasan hati para media yang membuat liputan di The Saujana, di sini, malam tadi.

Segalanya berjalan dengan lancar mengikut apa yang dirancang, dari majlis memotong kek, pertunjukan multimedia memori indah si pengantin, telatah mengajuk detik perkenalan hati budi mereka oleh pengacara majlis iaitu Sazzy Falak dan teman rapat Ashraf, Kit, hinggalah ke nyanyian istimewa rakan terdekat iaitu Ferhad.

Akan tetapi suasana meriah tersebut berubah sekelip mata apabila pihak media terpaksa menunggu pasangan pengantin yang dinikahkan pada 8 November lalu ini melakukan sesi bergambar bersama keluarga dan rakan-rakan dalam jangka masa yang agak lama.

Ini sekaligus menyebabkan sebahagian pihak media menanyakan soalan yang bersifat 'tidak puas hati' dalam sidang media sejurus selepas itu.

"Majlis resepsi ini kami sediakan untuk semua terutama keluarga, teman-teman rapat dan pihak wartawan.

"Tetapi, untuk menjayakannya, kita perlukan kerjasama antara satu sama lain dalam melaksanakan peranan masing-masing baik yang datang untuk meraikannya dan juga yang melaporkan," tegas Ashraf kepada salah satu soalan sinis yang menyoalkan sebab beliau dan isteri tidak dapat memenuhi sesetengah permintaan media untuk menemubual secara eksklusif.

Akan tetapi jawapan ini tidak dapat meredakan kemarahan media tempatan yang terasa masa mereka 'tidak dihormati' kerana menunggu terlampau lama untuk menemubual mereka.

Malah, layanan mesra Ashraf dengan media Indonesia menguatkan lagi spekulasi beliau ibarat 'kacang melupakan kulit' yang beriya-iya ingin melebarkan sayap ke 'bumi Garuda' dalam jangka masa dua tahun dari sekarang.

"Saya tidak bermaksud sebegitu sebab Kuala Lumpur tetap menjadi tapak utama dalam perkembangan karier saya kerana ia bermula dari situ," jelas Ashraf yang telah mengikat kontrak berlakon dalam 200 episod drama produksi Indonesia dan bakal muncul menerusi dua buah filem Indonesia iaitu Pocong dan Saus Kacang.

Diharap, ianya bukan hanya tinggal janji kosong selepas dua tahun kemudiannya kerana apapun yang berlaku, 'hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri'.

Untuk Bunga pula, dengan mempelajari cara bertutur dan budaya Malaysia, pastinya akan dapat membantu Ashraf terus mengingati asal-usulnya.

Malam yang bertemakan "Lakuran English & Malay Wedding" dikendalikan oleh syarikat pengurusan Ashraf, Beyond Events.

Pakaian Ashraf, adiknya, Adam, Shahnaz dan bapa Ashraf, Muhamad Sinclair pada malam ini telah direka oleh pereka tempatan, Bon Zainal manakala pakaian Bunga direka oleh Sikie dari Jakarta.

Sementara itu, hiasan bunga-bungaan segar di hias indah oleh John Lee dari House of Flowers yang mempunyai 20 tahun pengalaman di dalam bidangnya.

Gazebo tersergam indah di atas pentas telah direka dan dicipta khas oleh Sulian dari Areca Special Projects Sdn. Bhd.

Majlis yang dihadiri kira-kira 200 orang tetamu itu melibatkan ibu dan bapa Bunga, Emmy Syarlef dan Muchlis Rosli, ibu dan bapa Ashraf, Khadijah Abd. Rahman dan Muhamad Sinclair serta rakan artis.

Antara selebriti dan VVIP yang turut hadir adalah M. Nasir dan isteri, Marlia Musa, Nazruddin Habibur Rahman dan isteri, Sheanne Iman Lee, Jehan Miskin dan Datuk Seri Farid Ridzuan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain