suria

Rusdi ajar Sharon hidup berlandaskan alQuran

PERKAHWINAN pelakon Rusdi Ramli, 38 dan komposer Sharon Paul Abdullah, 31 pada malam tadi serba sederhana bukan sahaja dari segi majlis nikahnya.

Malah Rusdi juga hanya memberikan mas kahwin sebanyak RM800 dan hantaran berupa sirih junjung, cincin dan al-Quran kepada Sharon.

Tepat pukul 9.20 malam, dengan sekali lafaz, Rusdi sah bergelar suami Sharon dengan dinikahkan oleh pendaftar kanan nikah, cerai dan rujuk dari Pejabat Agama Islam Daerah Petaling, Muhd. Sujak Hj. Muhd. Dasuki sambil disaksikan bapa Rusdi, Ramli Ismail, 67 di The Gallery Creative Elements, Seksyen 2, Shah Alam.

Menurut Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-20 ini, ada alasan mengapa dia memberikan al-Quran sebagai ganti wang hantaran kerana dia sebolehnya mahukan hidupnya dan Sharon pada masa akan datang lebih berlandaskan al-Quran.

"Kalau saya beri harta, dia akan pandang harta. Tetapi bukan bermakna saya tak bagi apa-apa nanti. Benda-benda lain tu bila-bila masa saya boleh beri dan memang saya akan bagi kemudian.

"Sebagai permulaan dia bergelar isteri saya, lebih baik saya beri al-Quran lagipun ia lebih mengikut sunnah," jelas Rusdi yang akhirnya menamatkan zaman solonya selepas 15 tahun menduda.

Rusdi mengakui Sharon yang merupakan seorang mualaf itu tidak memahami tentang adat Melayu namun tidak bermakna dia hendak memperlekehkan bakal isterinya itu.

"Berbalas-balas hantaran itu hanya adat Melayu sahaja dan saya lebih selesa jika kita melakukan majlis pernikahan ini mengikut cara Islam sahaja iaitu melakukan akad nikah dan memberi mas kahwin.

"Saya rasa memberi al-Quran lebih besar harganya berbanding yang lain. Hari ini hanya hari kami berdua dan tiada perkara lain yang lebih manis dalam hidup kami selain melangsungkan pernikahan dengan tenang dan sederhana," tambah Rusdi lagi.

Kata Rusdi, pemberian al-Quran itu merupakan niat yang lahir dari hati mereka berdua dan semuanya turut dipersetujui oleh keluarga kedua belah pihak.

Dalam pada itu, Sharon turut menyatakan perkara yang sama di mana dia tidak kisah dengan pemberian Rusdi asalkan ia memenuhi syarat pernikahan mereka.

Senyuman Rusdi pikat hati Sharon

Seperti yang sedia maklum, cinta Rusdi dan Sharon berputik selepas mereka dipertemukan dalam majlis pratonton filem 1957: Hati Malaya pada tahun lalu.

Jelas Sharon, senyuman Rusdi membuatkan dia terpikat dengan anak aktres Norliah Ghani, 58 ini.

"Semasa majlis pratonton filem itu, saya tak perasan pun tentang senyuman Rusdi. Tetapi saya mula mengagumi bakatnya dalam bidang lakonan.

"Sebelum ini memang saya jarang menonton filem Melayu tetapi selepas menonton lakonannya, saya 'impress' dengan dia.

"Lama-kelamaan sejak saya menghadiri majlis tersebut, saya selalu teringatkan senyumannya," cerita komposer lagu Hati nyanyian Datuk Siti Nurhaliza ini dengan jujur.

Tambah Sharon, sejak dari hari itu, mereka selalu bertukar-tukar cerita tentang karier masing-masing.

"Dia bercerita tentang kerjaya lakonannya manakala saya pula berkongsi tentang karier mencipta lagu. Rusdi ada berkata yang dia pernah bercita-cita nak jadi komposer semasa kecil dulu.

"Kami berminat untuk mengetahui kerjaya antara satu sama lain," kata wanita berketurunan Serani ini.

Ujar Sharon yang mempunyai darah Portugis ini, kini sudah dua tahun dia memeluk agama Islam.

Jadi, tidak terlintas di fikiran Sharon untuk memeluk Islam kerana sebab lain.

"Bagaimanapun, saya tidak mahu menghuraikan lebih lanjut tentang agama. Yang penting, saya dan Rusdi mempercayai Allah dan mengamalkan ajaran Islam," jelas Sharon yang turut tidak kisah tentang status duda yang dipegang oleh Rusdi.

Sharon memandang perkahwinan ini sebagai jodoh mereka lantaran keperibadian dan hati Rusdi menguatkan dirinya untuk memilih lelaki itu sebagai suaminya.

Garden Wedding' kabulkan impian Sharon, Rusdi

Setiap orang pasti mempunyai tema perkahwinan idamannya begitu juga dengan Sharon yang memilih tema 'Garden Wedding' dalam majlis mereka ini.

Bukan dia sahaja yang seronok, malah tema tersebut turut melaksanakan impian perkahwinan Rusdi yang berkahwin buat kali kedua.

Dalam majlis tersebut, Sharon mengenakan baju kurung moden putih rekaan Calvin Thoo dan berselendang putih sementara Rusdi pula mengenakan baju Melayu rekaan Semenda Rasa warna yang sama.

Selepas sah bergelar isteri Rusdi, dengan itu Sharon berkata bermulalah 'chapter' baru dalam hidupnya.

"Alhamdulillah, semuanya sudah selesai. Saya sudah mempunyai pasangan yang boleh berkongsi susah senang saya dalam menjalani hidup ini dan menyokong kerjaya saya," beritahu pensyarah Kolej Antarabangsa Muzik (ICOM) ini.

Mengenai perancangan mereka selepas ini, Rusdi berkata dia dan Sharon akan mengamalkan kehidupan biasa seperti orang lain tanpa 'extra ordinary'.

Mengenai bulan madu, pasangan yang menginginkan dua cahaya mata ini belum memilih destinasinya.

Sebagai persediaan awal, mereka berdua telah menubuhkan syarikat Film Werks Sdn. Bhd. di Taman Tun Dr. Ismail yang menjalankan bisnes berkaitan filem dan muzik.

Menurut Sharon, syarikat yang ditubuhkan pada Mei lalu itu akan mula beroperasi pada tahun depan di mana mereka akan mencari bakat-bakat dalam bidang nyanyian dan lakonan.

Majlis perkahwinan Rusdi dan Sharon itu dihadiri oleh 300 orang tetamu termasuk ibu Rusdi, ibu Sharon, Lucia Paul, 56, anak lelaki Rusdi, Efiezal Ridza, 18, ahli keluarga kedua belah pihak, rakan terdekat dan selebriti tempatan.

Antara selebriti tersebut adalah Datuk Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Aziz Sattar, Farhan AF4, Hans Isaac, Afdlin Shauki, Shuhaimi Baba, Kavita Kaur, Maya Karin, Nash Lefthanded, Ramli MS dan Adibah Noor.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain