suria

Sehati Berdansa Empat minggu ubah hidup AniZairi

EMPAT minggu bertahan di dalam program realiti tarian melibatkan selebriti, Sehati Berdansa, sudah dianggap satu pencapaian yang baik buat pasangan Ani Mayuni dan Zairi Azmi.

Lantaran itu, apabila diumumkan tersingkir Ahad lalu, pasangan suami isteri ini akur dengan keputusan undian yang tidak menyebelahi mereka dan tidak langsung menyalahkan mana-mana pihak berikutan penyingkiran mereka.

Dalam nada positif, pasangan ini ketika ditemui sejurus selepas program tersebut berkata, mereka merasakan persembahan yang telah ditonjolkan selama empat minggu itu adalah yang terbaik mampu mereka lakukan.

"Kami sudah cuba yang terbaik. Apapun, memang kami sudah lama bersedia andai kata tersingkir kerana pasangan-pasangan yang lain juga tidak kurang hebatnya dan mempunyai peminat tersendiri.

"Kami cukup berbangga kerana apa yang kami persembahkan sedikit sebanyak berjaya menarik perhatian penonton dan kekalkan kami sehingga minggu keempat.

"Kami hargai sokongan itu kerana dengan undian itu kami dapat terus menyumbang kepada badan kebajikan yang kami wakili iaitu Majlis Kanser Nasional.

"Cuma kami agak sedih juga kerana selama sebulan berada di dalam program ini, kami dan peserta-peserta lain sudah agak akrab. Persahabatan yang kami jalin dalam tempoh singkat itu amat saya hargai," ujar Ani yang mempersembahkan tarian Arab bersama suaminya, minggu lalu.

Ani dan Zairi menjadi pasangan yang menerima markah keseluruhan terendah berbanding enam pasangan lain yang mana konsep pemarkahannya adalah 50 peratus daripada penilaian juri profesional manakala 50 peratus lagi berdasarkan undian SMS penonton.

Juri tetap program ini adalah koreografer terkenal Linda Jasmine dan Hamzah Tahir manakala Ketua Fakulti Akademi Seni Budaya ASWARA, Joseph Gonzales pula diundang selaku juri jemputan minggu ini yang bertemakan tarian Irama Global.

Secara ringkasnya, Sehati Berdansa disertai oleh 10 pasangan selebriti yang mana mereka dibimbing oleh koreografer masing-masing dan pada setiap minggu, mereka akan diberikan tema tarian yang perlu dipersembahkan pada konsert mingguan iaitu pada 'Malam Sehati Berdansa'. Menariknya program ini, setiap pasangan tersebut turut mewakili badan-badan kebajikan tertentu yang mana pada setiap minggu, mereka akan menyumbang sebanyak RM1,000 selagi mereka masih kekal di dalam program ini.

Enam pasangan yang masih kekal ialah Khai dan Rosma (Yayasan Kebajikan Haiwan Kebangsaan Malaysia), Sabrina Ali dan Shahrin (Persatuan Kesihatan Mental Malaysia), Sasha Saidin dan Salyo (Persatuan Diabetes Malaysia), Amyza Aznan dan Khairil (Yayasan Penyakit Alzheimer Malaysia), Lisdawati dan Fauzi Nawawi (Rumah Nur Salam) serta Mazin dan Anisa (Persekutuan Orang Pekak Malaysia).

Mengulas sama ada kesukaran tarian Arab yang dipersembahkan malam itu menjadi punca utama pasangan ini sukar meraih undian tinggi, kata Zairi, dia tidak melihat perkara itu sebagai faktor utama penyingkiran mereka.

"Walaupun Ani adalah penyanyi dangdut, tetapi tarian Arab dan dangdut itu sangat berbeza. Apa yang penting bagi kami, setiap minggu kami akan berusaha untuk buat yang terbaik hasil bimbingan koreografer kami, Akmal walaupun tempoh latihan singkat.

"Tetapi, apa yang boleh saya katakan, Akmal melakukan tugasnya dengan baik. Bayangkan saya yang tidak pernah menari langsung, kini sudah boleh menari sikit-sikit," kata Zairi yang merupakan seorang pemuzik.

Amyza-Khairil masih di tangga teratas

Bertemakan Irama Global, minggu lalu tujuh pasangan terus mempamerkan persembahan menarik di mana pasangan Amyza dan Khairil diberikan tarian Afrika, Sabrina dan Shahrin (tarian Cina), Mazin dan Anisa (tarian Portugis), Lisda dan Fauzi (tarian India), Sasha dan Salyo (tarian Sunda), Khai dan Rosma (tarian Thai) serta Ani dan Zairi (tarian Arab).

Lisda dan Fauzi berjaya memberikan persembahan yang cukup bertenaga dan menerima markah tertinggi daripada juri profesional. Keserasian pasangan ini cukup ketara sejak minggu pertama lagi. Malah, Fauzi juga sering dilabel oleh juri seperti penari profesional.

Begitu juga dengan Amyza dan suaminya, Khairil. Selain persembahan yang menghiburkan, pasangan ini juga saban minggu berada di tangga teratas kedudukan markah.

Tidak ketinggalan pasangan Khai dan Rosma yang menunjukkan prestasi persembahan yang konsisten. Empat pasangan lain juga seperti Ani-Zairi, Rina-Shahrin dan Sasha-Salyo tampil dengan persembahan yang tidak menghampakan.

Mazin dan isterinya Anisa juga tetap mempamerkan satu persembahan yang baik meskipun Anisa kini sedang hamil dua bulan. Dalam pergerakan yang agak terbatas, kedua-duanya masih hebat beraksi di pentas Sehati Berdansa!

Cuma adakalanya, pergerakan tarian mereka itu akan 'merisaukan' penonton apatah lagi bila Anisa dilihat sering terlompat.

Apapun, keputusan di akhir program Ahad lalu menyaksikan Amyza masih di kedudukan pertama diikuti oleh Lis-Fauzi, Khai-Rosma, Mazin-Anisa, Sasha-Salyo, Rina-Shahrin dan Ani-Zairi yang berada di kedudukan terakhir.

Artikel Sebelum

Nikki perjuang jiwa wanita

Artikel Lain