suria

Ashraf buat sidang media Melodi manipulasi fakta resepsi perkahwinannya

MAJLIS resepsi aktor Ashraf Daniel Sinclair dan isterinya, penyanyi Bunga Citra Lestari pada malam Jumaat lalu telah menimbulkan kontroversi apabila rancangan hiburan Melodi terbitan TV3 telah menyiarkan 'kecelaan' yang berlaku.

Namun, cela yang nampak di televisyen itu telah dimanipulasikan oleh program tersebut bilamana Ashraf mendakwa apa yang dipaparkan bukanlah seperti yang berlaku.

Hanya mereka yang berada di tempat kejadian sahaja yang mampu menafsirkan siapa yang benar dan siapa yang salah.

Penulis sendiri yang turut berada di lokasi kejadian tidak mahu menuding jari ke arah mana-mana pihak namun apa yang tersurat dan tersirat itu melambangkan pro dan kontranya.

Seperti yang kita ketahui, wartawan ditugaskan untuk membuat liputan dan pastinya apa yang dilakukan oleh wartawan Melodi itu adalah bagi mendapatkan hak mereka.

Sebenarnya, masalah tersebut timbul apabila Ashraf dan Bunga tidak dapat memenuhi sesetengah permintaan media untuk ditemubual secara eksklusif.

Apa yang penulis dengar, program Nona dari TV3 telah 'membeli' majlis Ashraf untuk dimuatkan dalam program tersebut. Namun apabila mereka tidak dapat melakukan temubual secara eksklusif, jadi mungkin mereka menganggap program tersebut sudah tidak bermakna lagi setelah semua wartawan perlu membuat temubual beramai-ramai melainkan program Ria Sentral yang dihoskan oleh Sazzy Falak sahaja yang berjaya menemubual mempelai secara eksklusif di atas pentas.

Apabila mengajukan kenyataan tersebut kepada pengurus Ashraf, Nora di majlis resepsi kedua pengantin tersebut keesokan harinya, dia berkata program Nona tidak pernah menyatakan yang mereka 'membeli' program tersebut secara eksklusif.

Yang Nora tahu, temubual tersebut dibuat mengikut nasib dan dia sendiri tidak menjanjikan apa-apa. Apa yang penulis dengar juga, Nona terlebih dahulu telah mendapat temubual secara eksklusif baru-baru ini sebelum majlis resepsi tersebut dilakukan.

Demi menjernihkan keadaan, Ashraf akan mengadakan sidang media di pejabatnya di Bukit Damansara pada pukul 11 pagi ini tentang 'Melodi manipulasi fakta'.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain