suria

Rona Roni Makaroni dan Kapten Boleh terbaik di Astro Megadrama

NOVEMBER ini, Astro mengangkat dua buah lagi drama bersiri melalui Kempen Astro Megadrama yang membariskan variasi drama tempatan di saluran-saluran Bahasa Melayu Astro.

Dua buah drama bersiri itu ialah Rona Roni Makaroni akan disiarkan di Astro Ria (Saluran 104) dan Kapten Boleh di Astro Ceria (Saluran Ceria) mempunyai pengisian yang diwarnai dengan nama-nama besar dalam arena hiburan tanahair, jalan cerita yang padat dan menghiburkan serta kualiti produksi yang bermutu tinggi.

Rona Roni Makaroni merupakan sebuah drama komedi romantik bersiri lakonan hebat Sharifah Amani dan Bront Palarae serta pelakon yang sedang meningkat nama seperti Dira Abu Zahar, Isma Yusoof dan Wan Sharmila.

Drama ini mengisahkan tentang kisah cinta tiga segi di antara Roni (Bront), Rona (Amani) dan Gia (Sharmila).

Rona, gadis kampung yang naif tiba-tiba menerima kejutan besar dalam hidupnya bila dia mendapat tahu dia sebenarnya mempunyai bapa kandung yang tidak pernah ditemui sepanjang hidupnya.

Bandar yang tidak pernah dijejaki sebelum ini telah menemukannya dengan seorang jejaka bernama Roni yang sombong dan mempunyai sebuah restoran masakan Perancis yang hampir muflis.

Disebabkan desakan hidup di bandar, Rona akhirnya bekerja di restoran itu meskipun dia sebenarnya tidak tahu memasak.

Namun begitu, ada dua sebab yang mendorongnya untuk terus teruja untuk bekerja di restoran GiaMacaRoni iaitu keinginannya untuk merasai 'macaroni and cheese' yang tidak pernah dirasai seumur hidupnya dan juga kerana dia mula jatuh hati dengan majikannya sendiri.

Masalahnya cuma satu, Roni adalah milik seorang pelakon terkenal bernama Gia Raihana Rahim.

Rona Roni Makaroni menemui penonton Astro Ria pada setiap Khamis, pukul 9 malam mulai 27 November ini.

Kapten Boleh pula dibintangi oleh Ako Mustapha sebagai Awie, Adi Iskandar (Aiman), Puteri Khareeza (Fatin), Muhammad Daniel (Ijam), Azman Mohd. Hassan (Profesor Mamat) dan Alfred Loh (Aswadi).

Drama bersiri ini mengisahkan tentang Awie, seorang lelaki yang dilahirkan dengan memiliki pelbagai kuasa luar biasa yang berubah-ubah pada setiap masa.

Awie merupakan seorang yang baik hati tetapi keletahnya yang cuai telah memaksanya untuk menjadi superhero yang menyelamatkan pelbagai bencana dunia dengan bantuan tiga sahabatnya yang cilik iaitu Aiman, Fatin dan Ijam.

Keadaan semasa selalu dikucar-kacirkan oleh Profesor Mamat yang sentiasa menentang dan ingin menakluki dunia.

Bagi menjalani kehidupan yang normal, Awie memandu teksi bagi mencari nafkah di samping menyelamatkan dunia dengan kuasa luar biasanya.

Drama untuk tontonan seisi keluarga ini padat dengan aksi-aksi mendebarkan dan melucukan terutama sekali apabila kuasa Awie akan hilang dengan tidak semena-mena apabila mendengar perkataan 'Alamak!'.

Tambah melucukan lagi apabila Awie sering kali akan menggunakan khidmat nasihat dari rakan-rakannya yang jauh lebih muda tentang penggunaan kuasanya.

Kapten Boleh akan bersiaran pada setiap hari Sabtu, pukul 12 tengahari mulai 22 November ini di Astro Ceria.

Selain dari dua buah drama tersebut, beberapa buah telefilem juga dijadual ditayangkan secara bergilir-gilir bagi memberi kepuasan penonton di saluran Astro Ria pada setiap hari Jumaat, pukul 10.30 malam.

Telefilem tersebut adalah Bisikan Azazil (7 November), Popular (14 November), Hans M (21 November) dan Impian Zahnita (28 November).

Selain itu Astro Ceria tidak ketinggalan menayangkan Hikayat Putera Shazlan musim kedua yang akan bersiaran pada setiap Ahad, pukul 11.30 pagi mulai 16 November ini.

Astro Prima (saluran 105) pula sedang rancak menghiburkan para penonton pada setiap Ahad, pukul 10 malam melalui slot Inspirasi P.Ramlee seperti Senandung Malam (16 November), Misteri Penarek Becha (23 November) dan Sonata Labu Labi (30 November).

Astro Megadrama buka ruang penggiat seni terus berkarya

Menurut Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn Bhd, Zainir Aminullah, kempen Astro Megadrama bukan sahaja mendapat sambutan yang positif daripada pelanggan-pelanggan Astro, malah turut memberi insentif kepada penerbit-penerbit tempatan untuk berusaha dengan lebih gigih agar hasil karya mereka dapat diketengahkan.

"Bukan itu sahaja, platform Astro Megadrama juga membuka ruang kepada anak-anak seni tempatan termasuk pelakon, pengarah dan penulis skrip untuk terus berkarya.

"Kami di Astro berasa bangga kerana dapat memainkan peranan dalam meningkatkan taraf dan kualiti produksi tempatan di samping membantu perkembangan persada seni tanahair," ujar Zainir lagi.

Artikel Sebelum

Artikel Lain