suria

Impian si Gadis Merah Jambu di TV9

IMPIAN hidup dan percintaan gadis bernama Zara Zaireen adalah elemen utama yang bakal disaksikan menerusi sebuah mininovela 'Gadis Merah Jambu' yang akan memulakan siarannya di TV9 pada 5 Disember ini.

Mininovela hasil kerjasama produk penjagaan wajah Fair & Lovely ini cukup istimewa kerana ia merupakan adaptasi dari sebuah cerpen hasil karya Nor Farasha Kudhary yang dipilih menerusi peraduan Fair & Lovely MiniNovella Penuhi Hasrat Hatiku yang diadakan bagi mencungkil bakat terpendam penulis-penulis wanita.

Menampilkan bintang baru Sari Yanti sebagai Zara Zaireen, minovela arahan pengarah terkenal Osman Ali ini telah membuat proses pengolahan sebanyak 50 peratus daripada cerpen asal itu untuk disesuaikan dalam bentuk drama.

"Tajuk asal cerpen ini sebenarnya ialah Inspirasi Si Jelik, yang mana ia menceritakan tentang hidup gadis yang cacat rupanya tetapi menanam impian untuk menjadi pereka fesyen.

"Bagi menyesuaikan dengan tema produk Fair & Lovely, kita olah 50 peratus cerpen tersebut dengan bantuan penulis skrip Mohd Nizam Nazir dan saya turut tukar tajuknya menjadi Gadis Merah Jambu.

"Bagaimanapun, watak-watak di dalam cerpen itu tetap kita kekalkan untuk versi mininovela ini," ujar Osman yang ditemui pada majlis pelancaran mininovela tersebut di Sri Pentas, baru-baru ini.

Selain Sari Yanti, turut membintangi mininovela lapan episod ini ialah Wan Hafizol Wan Omar, Mohd Farid Wari, Nadiyatul Nisaa, Zarina Zainuddin dan Maimon Abd Mutalib.

Secara ringkasnya, Gadis Merah Jambut bermula dengan kisah Zara yang merupakan sorang gadis sederhana dan kurang bernasib baik. Memandangkan ibunya dikenali sebagai pembunuh ayahnya, Zara sering menjadi cemuhan penduduk kampung.

Zara yang menyimpan hasrat untuk menjadi seorang pereka fesyen berhijrah ke Kuala Lumpur untuk bekerja di butik kecil ibu saudaranya, Mak Su Rina.

Pelbagai konflik timbul apabila rakan baik ibu saudaranya, Zetty yang tidak senang melihat pencapaian Zara dan Mak Su Rina membuat taktik kotor untuk menjatuhkan mereka. Pada masa yang sama, Zara juga disukai oleh dua jejaka, Badri dan Mail.

Mengulas lanjut tentang pengarahannya di dalam minovela ini, kata Osman, ini merupakan kali pertama dia mengarah drama atau filem yang skripnya dihasilkan oleh orang lain.

"Sebelum ini, kalau saya buat drama atau filem semuanya adalah dari skrip saya sendiri, tetapi kali ini tidak. Saya tidak ada masalah dengan hal ini kerana penulis skrip mininovela ini, Nizam memang hebat.

"Saya senang dengan skrip yang dihasilkannya, memang memuaskan hati saya. Lagipun saya memang berminat untuk mengarah mininovela ini kerana ini merupakan kerjasama kedua saya dengan Fair & Lovely.

"Tahun lalu, saya juga pernah diberi peluang untuk mengarahkan tiga buah mininovela untuk pertandingan yang sama anjuran mereka ini," kata Osman yang turut memuji komitmen yang ditunjukkan oleh bintang-bintang muda yang menjayakan mininovela ini.

Gadis Merah Jambu di mata Sari

Lakonan berkesannya di dalam beberapa buah drama seperti Kisah Kaisara dan Sofea Zahra sememangnya berjaya membuktikan bakat lakonannya yang dilihat mampu menjadi pelapis aktres masa kini.

Terbaru, wajah comel pelakon dan model berusia 24 tahun ini bakal menghiasi kaca televisyen lagi menerusi mininovela Gadis Merah Jambu.

Menganggap karektor Zara yang dipegangnya itu agak mencabar dari segi emosi, kata Sari, dia merasakan mininovela ini cukup istimewa buat dirinya.

"Karektor saya kali ini cukup berbeza dengan Kaisara. Zara di dalam mininovela ini adalah seorang gadis kampung yang hanya bergantung kepada ibu saudaranya dan pada masa yang sama berazam untuk menjadi seorang pereka fesyen.

"Apa yang menariknya juga, watak ini akan menyaksikan Zara sentiasa memakai pakaian berwarna merah jambu, sebab itu tajuknya diletakkan Gadis Merah Jambu.

"Walaupun jalan ceritanya agak ringan, tetapi watak saya ini perlu banyak bermain dengan emosi. Itu yang mencabar sebenarnya," tutur gadis kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini.

Bercerita pula tentang perkembangan karier seninya itu, kata Sari, dia bersyukur kerana bakatnya dihargai dan sentiasa tidak putus dengan tawaran.

Walaupun sentiasa dihambat dengan watak-watak gadis yang baik, Sari tidak mahu terlalu memilih kerana baginya, dia perlu menghargai tawaran dan kepercayaan yang diberikan oleh pihak-pihak tersebut.

"Saya tidak boleh menyangkal bahawa karektor yang asyik saya bawakan memang watak baik saja setakat ini. Mungkin muka saya dan fizikal saya yang kecil ini membuatkan produser tidak berani untuk tawarkan watak antagonis kepada saya.

"Tetapi, saya tidak mahu pertikaikan apa-apa. Yang penting, apa saja watak yang diberi, saya akan cuba lakukan yang terbaik," kata Sari.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain