POPULARITI yang diraih oleh pemenang Dewi Remaja 2005/2006 ini nampaknya semakin memuncak. Jika kira-kira dua tahun lalu, perjalanan seni Sharifah Nor Azean yang mesra disapa Scha ini dilihat agak 'suram', namun tidak lagi sekarang.Menerusi watak Sofia di dalam drama bersiri Bella, nama Scha mula meningkat naik. Kini, gadis berusia 25 tahun ini mula menjadi perhatian ramai menerusi lakonan selambanya di dalam drama bersiri Awan Dania yang sedang ditayangkan di Astro Ria. Watak Dania sebagai seorang pelatih pramugari cukup menyerlah apatah lagi bila menyaksikan lakonannya yang begitu 'natural', sekaligus membuatkan Scha semakin hari semakin dikenali dan turut laris di kalangan produser.Cukup bertuah anak saudara kepada penyanyi Sheril Aida ini kerana dua buah filem lakonannya juga bakal ditayangkan yang nyata bakal melonjakkan lagi nama Scha di persada seni ini.Filem pertama lakonannya, Antoo Fighter akan muncul di pawagam tempatan bermula Khamis ini manakala Histeria pula akan menyusul bulan hadapan.Sebuah lagi filem yang dijayakannya, Papadom arahan Afdlin Shauki juga ditayangkan tidak lama lagi.Namun begitu, luah pelakon dan model kelahiran Sungai Petani, Kedah ini, ada perkara yang agak menggusarkan dirinya ketika ini.Tatkala namanya dikatakan semakin meningkat, Scha akui ada sesetengah pihak yang merasakan dirinya semakin dikenali kerana terkena 'tempias' populariti yang diraih oleh aktor Fahrin Ahmad.Semuanya gara-gara gosip hubungan cintanya bersama pelakon tersebut yang kini semakin hangat diperkatakan."Secara peribadi, saya tidak nafikan gosip seperti itu sebenarnya sedikit sebanyak turut menaikkan nama saya di dalam bidang ini. Tetapi..yelah, saya kurang senang bila ada yang kata saya tumpang populariti Fahrin."Saya pernah bercakap tentang perkara ini dengan Fahrin dan dia beritahu saya tidak perlu risau kerana lama-kelamaan orang akan berhenti bercakap."Tetapi, kalau boleh, biarlah bakat lakonan yang membuatkan orang kenal tentang diri saya. Itu lebih selesa," kata Scha.Scha dan Fahrin dikatakan mula rapat sekitar Ramadan lalu ketika sama-sama membintangi drama Lemas Dalam Cinta. Sejak itu, Scha mula dikatakan akrab dengan bekas kekasih kepada penyampai radio terkenal, Linda Onn itu.Scha juga akui, rata-rata wartawan lebih gemar bertanyakan tentang hubungannya dengan Fahrin berbanding cerita yang berkisarkan karier, namun begitu, tuturnya, dia tidak kisah memberikan kerjasama selagi mampu."Saya pun tidak pernah menafikan tentang diri saya dan Fahrin, cuma buat masa ini saya ingin tekankan bahawa kami berdua masih lagi dalam proses mengenali diri masing-masing."Masih terlalu awal untuk bercakap tentang hubungan kami. Kami pun baru saja kenal lebih kurang tiga bulan yang lalu, jadi saya tidak mahu terburu-buru," ujar Scha.Bagi pelakon ini, dia memerlukan banyak ruang untuk mengenali secara mendalam peribadi aktor popular itu. Namun begitu, Scha akui Fahrin sedikit sebanyak mempunyai ciri-ciri lelaki yang dikaguminya."Secara peribadi, saya lihat Fahrin seorang yang merendah diri. Dia tidak pernah berlagak dengan kami pelakon-pelakon baru."Dan perasaan suka itu juga terdetik dalam diri saya bila melihat dia sentiasa menjaga solatnya...tidak kiralah sesibuk mana pun dia di lokasi. Itu yang membuatkan saya hormat kepadanya," kata Scha.Dania terus lonjakkan SchaPenampilannya sebagai Dania di dalam drama bersiri arahan Azizi 'Chunk' Adnan ternyata berjaya mencuri tumpuan penonton. Aksi selamba dan agresif gadis bernama Dania yang bercita-cita menjadi pramugari sememangnya membuatkan penonton tidak kering gusi.Scha sendiri akui bahawa drama yang turut menampilkan Nasha Aziz, Hans Isaac, Irma Hasmie dan Ummi Nazeera itu memang berjaya mendapat rating yang baik dan disambung sebanyak tiga episod lagi menjadikannya 16 episod kesemuanya.Malah, Awan Dania juga mungkin akan diteruskan bagi musim kedua kerana sambutan hangat itu."Sebenarnya, Azizi yang banyak membantu saya untuk menghidupkan watak Dania itu. Dia yang ajar saya bagaimana untuk suntikkan elemen komedi di dalamnya."Jika diikutkan, saya sepatutnya menolak untuk menjayakan drama tersebut kerana terikat dengan komitmen lain, tetapi akhirnya saya ambil juga peluang tersebut bila lihat Azizi sendiri bersungguh-sungguh untuk ambil saya pegang watak tersebut," kata Scha yang kini masih sibuk di lokasi penggambaran drama itu.Berbicara tentang filem pula, selain tiga buah filem yang dinyatakan di atas, Scha juga bakal memulakan penggambaran filem terbarunya, Sari Pulang, sekitar Januari depan yang akan turut dibintangi oleh Remy Ishak, Azizan Nin dan Lisa Surihani.Selepas itu, Scha juga bakal ke lokasi penggambaran filem Ransan, arahan Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin pada bulan April nanti bersama beberapa pelakon lain seperti Farid Kamil, Sharifah Amani, Aaron Aziz dan Jehan Miskin.