suria

Dynas berhenti berlakon selama sembilan bulan

Dynaz tidak sabar untuk bergelar ibu
Dynaz tidak sabar untuk bergelar ibu
Dynaz tidak sabar untuk bergelar ibu

NALURI keibuan sudah nampak dalam dirinya saat dia memulakan bicara. Dalam nada ceria, Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar yang mesra disapa Dynas ini kedengaran cukup bersemangat tatkala menceritakan kandungannya yang kini sudah mencecah usia dua bulan.

Seperti mana wanita-wanita lain, model dan pelakon jelita ini tidak terkecuali berasa teruja menantikan kelahiran cahayamata yang pastinya bakal menjadi penyeri buat dirinya dan suami, Mohd Hafizy Mohd Hafiz.

Namun begitu, luah Dynas, penangan bayi sulungnya itu cukup 'kuat'. Setiap hari, dia akui mengalami keletihan yang melampau dan adakalanya sukar melakukan kerja-kerja berat.

Itu tidak dikira lagi alahan lain termasuklah morning sickness yang dialaminya hampir setiap hari.

Memikirkan keadaannya kini yang tidak mampu seaktif dulu, kata Dynas, dia ingin 'berehat' seketika dari bidang lakonan sehinggalah selamat melahirkan cahayamatanya itu nanti.

"Selepas tamat dengan pementasan Impak Maksima The Musical (IMTM) Sabtu lalu, saya kini lebih banyak berehat saja. Memang ada tawaran drama dari sebuah stesen televisyen swasta yang saya dapat, tetapi saya sendiri belum beri kata putus.

"Jika diikutkan hati, saya memang ingin 'break' sekejap dari bidang ini kerana memikirkan keadaan saya sekarang yang selalu letih. Takut pula menjejaskan produksi.

"Memang saya berada dalam keadaan dilema juga kerana mereka memang benar-benar mahukan saya membintangi drama itu dan memberi jaminan ia tidak akan jejaskan kesihatan saya, tetapi saya pula rasa seperti tidak mampu.

"Ada juga saya bertanyakan kepada suami dan dia tidak pernah menghalang. Katanya, dia akan menyokong apa saja keputusan saya dan jika saya rasa saya mampu lakukan, dia pasti akan membenarkan," kata Dynas yang disahkan hamil sehari sebelum pementasan IMTM yang bermula 11 November lalu.

Ujar wanita berusia 25 tahun ini, dia bersyukur keadaannya sepanjang pementasan dijalankan tidak seteruk seperti sekarang.

"Alhamdulillah, tiada sebarang masalah ketika pementasan berlangsung. Setakat muntah-muntah saja. Selepas tamat pementasan barulah keadaan saya teruk sikit," tambah Dynas yang menerima banyak pujian terhadap tariannya di dalam teater muzikal itu.

Ditanya jantina baby pilihannya, kata Dynas, dia tidak kisah sama ada dikurniakan bayi lelaki atau pun perempuan asalkan sihat dan tidak mempunyai sebarang masalah.

"Saya tidak kisah perempuan atau pun lelaki. Saya anggap ini sebagai rezeki yang Allah berikan. Tapi, suami saya suka kalau anak pertama kami ialah lelaki.

"Tetapi tidak mengapalah. Yang penting, saya mahu bayi itu nanti sihat. Itu yang utama," katanya yang akui gembira menghitung hari untuk bergelar ibu.

Bercerita lanjut aktiviti yang bakal dilakukannya sementara berehat seketika dari bidang lakonan, kata pelakon yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon TV Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular awal tahun ini, dia akan terus aktif sebagai duta produk Safi dan Easy Pha-Max dan akan menjalankan program-program anjuran produk tersebut.

Selain itu, dia juga akan menguruskan butik pakaian Dna CelebritiStyle di Sri Hartamas, yang diuruskan bersama rakan artis, Awal Ashaari.

"Ini adalah projek bersama saya dan Awal. Sudah lama sebenarnya kami menjalankan bisnes ini, tetapi kebiasaannya ia dibuat secara online. Butik hanya dibuka jika ada pelanggan yang membuat temujanji.

"Butik ini menjual pakaian dan aksesori moden, sesuai untuk mereka yang berumur 35 tahun ke bawah. Sambutannya setakat ini juga memang cukup baik.

"Jadi, sementara saya tidak aktif di dalam bidang lakonan buat sementara waktu, bolehlah saya beri tumpuan yang lebih pada bisnes ini.

"Bagi yang berminat untuk membeli atau mengetahui lanjut tentang butik ini, boleh layari blog saya di www.dynasmokhtar.blogspot.com atau menerusi laman web facebook di atas nama 'Dna CelebrityStyle'," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain