ASTRO Prima terus menjulang karya-karya seniman Agung Tan Sri P Ramlee dengan mempersembahkan filem-filem adaptasi istimewa yang diinspirasikan dari filem-filem terkenal beliau sepanjang bulan November ini.Sonata Labu Labi merupakan penutup Kempen Tribut Khas P Ramlee. Sebelum ini, para penonton setia saluran Astro Prima telah pun disajikan dengan empat buah filem adaptasi sepanjang bulan November seperti Bapak Empat Madu Tiga, Orang Minyak Naik Minyak, Senandung Malam dan Misteri Penarek Becha pada setiap hari Ahad, jam 10 malam.Justeru, bagi menutup kempen Tribut Khas P Ramlee ini, sebuah lagi filem adaptasi yang diarahkan oleh Adlin Aman Ramlie akan bersiaran pada hari Ahad ini di saluran Astro Prima (saluran 105) pada jam 10 malam.Program ini diusahakan bagi mengembalikan kegemilangan zaman Jalan Ampas, Astro Prima yang begitu sinonim dengan penayangan semula filem-filem karya seniman agung Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.Diharap usaha murni ini akan membuat karya seniman agung ini akan terus dikenang dan mewarnai hidup kita."Filem-filem adaptasi istimewa P Ramlee yang sudahpun ditayangkan sepanjang bulan November ini mendapat sambutan yang hangat daripada para penonton kami."Adlin Aman Ramlie telah menggalas tugas menerbitkan filem-filem ini dengan baik sekali bersama-sama gandingan pengarah-pengarah Malaysia generasi baru."Selain dari filem adaptasi Bapak Empat Madu Tiga, Adlin juga telah diamanahkan untuk mengarah sebuah lagi filem komedi berjudul Sonata Labu Labi yang turut menampilkan Nabil sebagai peneraju utama.Istimewanya juga, pemilihan pelakon pada kali ini dilakukan secara teliti apabila Adlin berjaya mendapatkan S.Azli yang mempunyai iras-iras yang hampir serupa untuk melakonkan watak sebagai Hj Bakhil."Selain itu, Kempen Tribut Khas P Ramlee ini juga diserikan dengan program bual bicara Hore Hore Hore yang diterajui oleh Musly Ramlie pada setiap hari Isnin malam di sepanjang bulan November ini.Program ini juga mendapat sambutan hangat apabila ia membincangkan topik-topik semasa dan ditambah pula dengan penampilan tetamu jemputan yang berkaliber dalam membincangkan topik-topik pilihan," ujar Pengurus Saluran Astro Prima, Khairul Anwar Salleh.Sonata Labu Labi akan menemui para penonton pada hari Ahad (30 November 2008) ini pada jam 10 malam di saluran Astro Prima (saluran 105). Nabil, Fizz Fairuz, S.Azli dan Emilda Rosmila adalah tonggak utama bagi filem adaptasi pada kali ini.Filem ini mengisahkan tentang seorang pengusaha barangan perabut yang kedekut bernama Bakhil B Kedekut (S. Azli) yang hidup menduda di samping anak gadisnya, Manisah (Emilda Rosmila) yang turut membantunya menguruskan perniagaan di syarikatnya.Taukeh Bakhil mempunyai enam orang pekerja termasuk dua orang Pembantu Am Rendah paling senior bernama Labu (Nabil) dan Labi (Fizz Fairuz). Mereka telah lama berkhidmat dengan Taukeh Bakhil semenjak arwah isteri Taukeh Bakhil masih hidup.Memang telah ramai pekerja yang silih berganti dibuang kerja kerana memberi pelbagai masalah kepada Taukeh Bakhil. Selain kekerapan pekerja yang ponteng dan curi tulang, ada pekerja yang berjaya ditangkap setelah didapati mencuri barangan perabot di kedai lantas menjualnya secara senyap-senyap. Pernah juga terjadi beberapa pekerja dibuang kerja kerana mengurat malah ada yang sanggup mengintai Manisah.Taukeh Bakhil amat-amat bersyukur kerana sifat-sifat terkutuk sedemikian tiada pada personaliti Labu dan Labi. Masalah yang selalu dihadapi oleh Taukeh Bakhil terhadap Labu dan Labi hanya satu; Labu dan Labi adalah manusia yang terlalu kuat berangan-angan. Asal saja diminta diberikan pendapat, semuanya berakhir dengan imaginasi-imaginasi yang keterlaluan dan tidak masuk akal.Apa saja topik perbualan yang diperkatakan, semuanya berakhir dengan kemungkinan-kemungkinan yang tidak realistik. Seringkali kecenderungan ini menjejaskan kerja-kerja harian mereka. Itu sajalah yang selalu menaikkan darah tinggi Taukeh Bakhil.Dari rekod hampir cemerlang setelah ditolak dengan sifat suka berangan yang ditunjukkan oleh Labu dan Labi, Taukeh Bakhil telah memberi kebenaran kepada Labu dan Labi untuk tinggal di premis perniagaan tersebut. Tidak dengan percuma, Taukeh Bakhil turut mempertanggungjawabkan Labi dan Labi untuk menjaga premis pada waktu malam dengan kadar upah yang agak murah setelah ditolak sewa bilik disamping bil air dan api yang mereka gunakan.Demi survival hidup di kota, selain hidup sebatang kara tanpa keluarga, Labu dan Labi sanggup menghabiskan hidup mereka pada dunia di sekitar Taukeh Bakhil. Walaupun keadaan ini agak membebankan Labu dan Labi, mereka berdua masih terus sanggup bekerja untuk Taukeh Bakhil. Pada mereka, Taukeh Bakhil ibarat bapa dan datuk mereka. Pernah Labu dan Labi berniat untuk menjadikan Taukeh Bakhil sebagai bapa atau datuk angkat mereka berdua.Kehidupan bekerja hampir 24 jam yang dilalui oleh Labu dan Labi turut menjadikan hidup mereka agak membosankan. Dek kerana sikap mereka yang suka berangan atau mungkin juga disebabkan mereka bosan lalu mereka jadi kuat berangan, Labu dan Labi amat cenderung kepada seni hiburan filem.Dua minggu sekali, mereka akan bergilir-gilir pergi menonton wayang. Mereka tidak dibenarkan untuk menonton bersama-sama kerana salah seorang daripada mereka diamanahkan untuk menjaga kedai. Setiap kali balik dari menonton wayang, salah seorang akan bercerita tentang filem yang ditonton. Pujian dan kritikan turut diperbualkan. Ada yang melarat sampai kepada pertengkaran.Kadangkala ia melarat sampai ke permusuhan yang berpanjangan; semalaman, seharian malah seminggu. Namun semuanya akan reda kembali. Mereka akan bermaaf-maafkan dan berbaik semula. Maklumlah, keduanya tidak memiliki sesiapa. Persahabatanlah yang menjadi antara dorongan mereka untuk terus hidup berdua dipremis itu.Pun begitu, masih ada dorongan lain buat mereka di sana. Manisah! Memang Labu dan Labi masing-masing ada menaruh hati pada Manisah. Namun semuanya adalah rahsia hati yang tidak boleh diketahui oleh sesiapa mahupun di antara mereka berdua, lebih-lebih lagi Taukeh Bakhil. Ini akan menamatkan riwayat mereka di sisi Taukeh Bakhil, lebih buruk lagi di sisi Manisah.Manisah sebenarnya mempunyai minat yang mendalam di dalam bidang peragawati dan lakonan. Dia yang meminati Nasha Aziz bercita-cita untuk menjadi selebriti yang dikenali di Malaysia. Minatnya itu walau bagaimanapun dihalang oleh bapanya. Maka selalulah Manisah mencuri-curi dalam menyertai aktiviti-aktiviti modeling mahupun lakonan.Manisah juga menggunakan nama samaran, ‘Manis’ bagi menyembunyikan identiti peragaan dan lakonannya. Bagi membolehkan Manisah bergiat di dalam aktiviti sampingannya itu, dia telah meyakinkan kepada Taukeh Bakhil bahawa dia kini sedang mengambil kursus diploma pengurusan di sebuah kolej swasta. Inilah modus operandi yang telah terbukti berjaya mengaburi mata bapanya. Namun dalam hal ini, Labu dan Labi terkecuali.Labu dan Labi memang sudah lama memerhatikan Manisah. Bukan hanya pada keunikannya, malah pada gerak-gerik dan percakapan Manisah yang secara tidak langsung mendedahkan gaya hidup di samping membantu menguruskan perniagaan bapanya itu. Jika dalam soal survival hidup Labu dan Labi hanya berdua, tapi dalam soal survival cinta, Manisah ternyata sebahagian dari hanya mereka berdua.Cinta Manisah pada karier glamour yang ingin terus dimilikinya, bersimpang siur dengan cinta angau Labu dan Labi pada Manisah yang cuba didampingi mereka menjadikan hidup mereka lebih bermakna dan berbunga-bunga. Ibarat nada dan ritma dalam sonata mimpi mereka – Sonata Labu Labi.Siapakah yang berjaya memenangi dan menambat hati Manisah? Sama-sama kita saksikan kesudahannya pada hari Ahad (30 November 2008) ini, pada jam 10 malam, eksklusif di Astro Prima (saluran 105) !