suria

Populariti Mawi Ekin mampu lariskan Diari Cinta 2009

Mawi dan Ekin bersama 'Diari Cinta 2009'
Mawi dan Ekin bersama 'Diari Cinta 2009'
Mawi dan Ekin bersama 'Diari Cinta 2009'

ATAS dasar populariti dan kisah cinta penyanyi Asmawi Ani dan model Nora'shikin Rahmat yang bakal menaiki jinjang pelamin pada 20 Disember ini, penulis Syed Hassan Al Attas mempertaruhkan mereka sebagai ikon Diari Cinta 2009.

Buku berbentuk diari dan kalimat-kalimat cinta itu ditulis oleh Syed Hassan dan bakal dijual mulai awal Disember depan pada harga RM20.

Menurut pengarah Bina Minda Resources ini, buku tersebut mendapat pengaruh Sastera Arab dan Parsi.

Syed Hassan juga langsung menepis tanggapan yang menyamakan bukunya itu dengan karya penulis novel Ayat Ayat Cinta, Habiburrahman El Shirazy.

"Pada mulanya, saya hendak menulis buku tentang pengajaran cinta tetapi niat saya terhalang apabila komputer yang menyimpan semua tulisan saya sejak 2004 'break down' sebelum bulan puasa lalu.

"Tetapi, pada awal bulan puasa selepas itu, saya mendapat idea untuk menerbitkan diari ini.

"Diari Cinta ini merupakan sedikit usaha saya untuk mengingatkan para pencinta dengan mereka yang dicintai," cerita anak saudara penulis buku politik, Syed Hussein Al Attas ini ketika majlis pelancaran buku tersebut di Oakleaf Park, Bukit Antarabangsa di ibu kota semalam.

Syed Hassan juga menjangkakan buku yang bakal dijual di Malaysia dan Singapura ini bakal mendapat pasaran yang lebih meluas dengan bantuan Mawi dan Ekin.

Walaupun tiada kisah cinta Mawi dan Ekin dalam diari tersebut, Syed Hassan yakin buku yang mempunyai ketebalan hampir 500 muka surat itu mampu menarik golongan remaja untuk merah jambu dan mempunyai gambar wajah Mawi dan Ekin di kulit muka hadapannya itu mempunyai kalimat cinta dan perbahasan perjalanan cinta yang menarik.

Jelas Syed Hassan, kerjasama Mawi dan Ekin di dalam penerbitan buku tersebut juga dilaksanakan atas dasar bisnes di mana Mawi dan Ekin akan mendapat komisen daripada jualan buku tersebut.

Mawi tak rasa dieksploitasi

Dalam pada itu, Mawi dan Ekin tidak merasakan yang ramai pihak termasuk penerbit buku tersebut mengeksploitasi diri mereka untuk melariskan sesuatu produk.

"Saya tertarik untuk bekerjasama menerbitkan Diari Cinta apabila memikirkan ia merupakan suatu benda baru.

"Sebelum ini, orang banyak menceritakan gosip cinta saya dan tak pernah bercerita pasal erti cinta yang sebenarnya.

"Jadi, kami terus bersetuju apabila tercetusnya idea seperti ini yang kami baru tahu bulan lepas.

"Saya tak rasa diri dieksploitasi kerana menganggapnya sebagai suatu urusan bisnes," ujar Mawi.

Ekin pula menambah, dia tidak menyangka perkahwinan mereka mendapat perhatian sebesar ini dan menerima apa yang dilakukan dengan tangan terbuka.

Tukar diari dengan Ekin

Ketika di dalam majlis yang dilancarkan oleh bapa saudara Syed Hassan, Syed Hussein itu, dia menyarankan supaya setiap pasangan suami isteri supaya menukar diari mereka sebulan sekali.

Lantas, Mawi dan Ekin juga memasang niat untuk menukar diari mereka seminggu sekali selepas berkahwin.

Pasangan ini akan dinikahkan pada 20 Disember depan di Johor Bahru.

Dimaklumkan, penerbit Karangkraf ada menawar untuk membuat buku kisah cinta hingga perkahwinan Mawi dan Ekin namun menurut pasangan ini, hal tersebut masih lagi dalam perbincangan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain