suria

Cinta pandang pertama Corrie, Fazema

Corrie dan Fazema diijabkabulkan pada 21 November lalu. -foto The Star oleh RAHMAN SENIN
Corrie dan Fazema diijabkabulkan pada 21 November lalu. -foto The Star oleh RAHMAN SENIN
Corrie dan Fazema diijabkabulkan pada 21 November lalu. -foto The Star oleh RAHMAN SENIN

PERTEMUAN yang singkat tidak menghalang koreografer dan pelakon Adam Corrie Lee Abdullah, 40 untuk memperisterikan pereka grafik Fazema Mohd. Fuad, 30 pada 21 November lalu.

Hubungan yang dibina pasangan ini boleh ditafsirkan sebagai jatuh cinta pandang pertama kerana kedua-duanya tidak mengambil masa yang lama membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga.

Mana tidaknya, selepas mereka dipertemukan melalui seorang rakan Corrie di rumah kakak Fazema di Taman Sri Gombak, Selangor pada 30 Ogos lalu, seterusnya dua kali berbuka puasa bersama, terus Corrie memberanikan diri melamar Fazema pada 7 September dan terus mengikat pertunangan pada 17 September lalu.

Selepas seminggu menjalani kehidupan sebagai suami isteri, kedua-duanya masih belum dapat meluangkan masa bersama disebabkan Corrie kini sibuk dengan pengambaran drama bersiri 26 episod Katsarin.

“Kami belum merasai kehidupan sebagai pasangan suami isteri kerana saya sibuk dengan pengambaran. Dalam minggu ini saya akan ke Changlun, Kedah dan seterusnya ke Songkla, Thailand serta patah balik ke Pulau Langkawi, Kedah.

“Saya dijangka akan sibuk dengan pengambaran sehingga bulan Februari depan.

“Dalam drama Katsarin, saya masih membawakan watak antagonis iaitu tomoi siam. Belum ada rezeki mendapat watak baik. Saya juga masih menceburi bidang tarian,” kata Corrie ketika majlis persandingannya di Dewan Serbaguna AU2, Ampang semalam.

Walaupun sebelum ini isterinya, Fazema biasa menonton Corrie melakonkan watak jahat namun di luar, dia memandang suaminya dari sudut yang berbeza.

“Corrie yang saya lihat di luar adalah seorang yang teramat penyayang dan lemah-lembut.

“Salah satu sebab saya memilih dia kerana kami boleh sama-sama belajar dan mendalami Islam.

“Saya rasa semua orang nak cari suami yang boleh membimbing kita. Alhamdulillah, dia tiada masalah untuk mempelajari selok-belok agama malah lebih advance dari orang Islam sendiri,” kata Fazema.

Sementara Corrie pula menganggap jodohnya dengan Fazema kuat setelah mendapat keizinan daripada Tuhan.

“Perkahwinan ini Tuhan yang izinkan dan sudah jodoh saya. Jadi, saya akan teruskan hidup ini dengannya,” ujar Corrie memeluk Islam pada 13 Julai 2007.

Selepas lebih setahun mengenali Islam, Corrie berkata dia masih lagi mempelajari ilmu agama di Rumah Amal Limpahan Kasih, Puchong.

“Setakat ini, semakin banyak perkara yang saya kenal tentang Islam. Namun, biasalah saya ini Cina, jadi lidah Cina tu masih sukar untuk ubah. Alhamdulillah, saya boleh buat solat lima waktu,” kata Corrie.

Menurut Corrie, jika diizinkan Allah buat kali keduanya, dia akan membawa Fazema mengerjakan ibadat umrah pada bulan April depan. Selepas itu, baru mereka akan memikirkan tentang percutian bulan madu yang belum ditetapkan tarikh dan tempatnya.

Menyentuh tentang anak, pasangan ini tidak akan merancang sebaliknya berserah kepada Tuhan untuk mengurniakan berapa ramai anak dan mereka bersedia menerimanya.

Di dalam majlis persandingan tersebut, dianggarkan lebih 500 tetamu yang hadir iaitu keluarga kedua belah pihak serta rakan artis.

Mereka adalah Datuk Yusof Haslam, Rosyam Nor, Fauziah Nawi, Aspalela, Didi AF dan Ellie Suriati.

Ellie turut bertindak selaku orang kuat yang menjayakan majlis persandingan bagi pihak Corrie ini.

Selain Ellie, pihak yang turut membantu Corrie adalah keluarga Farhan AF4 serta Ustaz Zawawi mewakili Rumah Amal Limpahan Kasih.

“Terima kasih kepada mereka yang banyak membantu saya. Hanya Allah yang mampu membalas dan saya doakan mereka dimurahkan rezeki.

“Saya berpuas hati dan bersyukur kerana semuanya berjalan dengan lancar,” ucap Corrie yang mengenakan sepasang baju Melayu berwarna coklat keemasan tajaan butik Cosry.

Pakaian Fazema juga berwarna sedondon oleh penaja yang sama manakala mekapnya oleh butik pengantin Sanggul.

Selain itu, majlis tersebut turut ditaja oleh Nora Andaman dan Catering.

Pada 21 November lalu, pasangan ini dinikahkan oleh Imam Masjid Zahir, Shafie Ibrahim dengan berwalikan bapa pengantin perempuan, Mohd. Fuad Ngah Ibrahim, 60, di masjid itu, di Alor Star.

Hanya sekali lafaz, Corrie sah menjadi suami Fazema beserta mas kahwin RM80.

Pihak lelaki memberi lima dulang hantaran termasuk sebentuk cincin dan wang hantaran RM7,000 dan dibalas tujuh dulang oleh pengantin perempuan.

Majlis resepsi perkahwinan di sebelah pihak pengantin perempuan telah dilakukan di rumahnya di Jalan Telok Wanjah pada 22 November lalu.

Artikel Lain