suria

Tangisan syukur iringi pernikahan Nabila - Zaidy

Zaidy dinikahkan oleh bapa Nabila sendiri, rocker terkenal Amy Search di Masjid Wilayah Persekutuan Jalan Duta, pagi tadi - foto THE STAR oleh IBRAHIM MOHTAR
Zaidy dinikahkan oleh bapa Nabila sendiri, rocker terkenal Amy Search di Masjid Wilayah Persekutuan Jalan Duta, pagi tadi - foto THE STAR oleh IBRAHIM MOHTAR
Zaidy dinikahkan oleh bapa Nabila sendiri, rocker terkenal Amy Search di Masjid Wilayah Persekutuan Jalan Duta, pagi tadi - foto THE STAR oleh IBRAHIM MOHTAR

KUALA LUMPUR: Hanya dengan sekali lafaz, pelakon Nabila Huda Suhaimi, 24, sah bergelar isteri kepada Zaidy Zailani, 27, di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, di sini, hari ini, setelah lebih enam tahun pasangan ini menyulam cinta.

Suasana ceria di awal majlis bertukar sebak sebaik Zaidy selamat dinikahkan oleh bapa Nabila sendiri, rocker terkenal Amy Search yang turut dilihat menangis setelah acara ijabkabul itu selesai kira-kira 10.45 pagi.

Pada majlis tersebut, Nabila yang kelihatan anggun dengan busana rekaan Zulkifli Mohd Ghandi dari Puri Pesona menerima mas kahwin RM 80, sebentuk cincin dan wang hantaran berjumlah RM22,222 beserta tujuh dulang hantaran daripada pihak lelaki antaranya minyak wangi, kasut, barangan penjagaan kulit, telekung dan Al-Quran.

Pihak pengantin perempuan pula membalas sebanyak sembilan dulang hantaran antaranya kasut, kemeja, baju melayu, sejadah, kek, Al-Quran dan songket.

Majlis bersejarah pasangan mempelai itu turut dihadiri oleh ibu kandung Nabila, Farida Fadzil, ibu tirinya, Norhasniza Hassan, ibubapa pengantin lelaki, Zailani Hassan dan Zainah Kamaruddin serta ahli keluarga lain, saudara-mara dan kenalan rapat kedua-dua belah pihak.

Ketika ditemui selepas majlis akad nikah itu, pasangan tersebut melahirkan rasa bersyukur setelah hubungan cinta mereka berakhir dengan perkahwinan.

"Saya amat bersyukur kerana hubungan yang kami jalin bertahun-tahun ini berakhir dengan perkahwinan. Saya sendiri tidak pernah merancang untuk mengakhiri zaman solo pada usia ini, tetapi nampaknya jodoh sudah sampai.

"Banyak dugaan yang telah kami tempoh bersama apatah lagi dia adalah cinta pertama saya. Insya-Allah, saya akan cuba untuk menjadi isteri yang terbaik buatnya," kata Nabila yang sengaja mengadakan majlis pernikahan pada hari ini bersempena dengan hari lahirnya yang ke-24 yang juga jatuh pada hari ini.

Sementara itu, Zaidy juga turut memanjatkan kesyukuran apabila majlis bersejarah mereka itu berjalan dengan lancar meskipun akui agak gementar ketika saat diijabkabulkan.

"Saya memang takut pada awalnya, apatah lagi bapa Nabila sendiri yang nikahkan saya. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan cukup baik.

"Saya agak sebak juga setelah selesai dinikahkan tadi memikirkan kini tanggungjawab saya semakin besar. Apapun, saya sudah berjanji dengan Nabila untuk menjadi suami yang bertanggungjawab," ujar Zaidy yang kini bekerja di syarikat pemotoran, Naza.

Kegembiraan yang diraih mempelai ini turut dikongsi oleh bapa Nabila, Amy yang akui cukup tersentuh apabila menyedari anaknya kini sudah bergelar isteri.

Amy dan anggota keluarga yang lain juga tidak dapat menahan sebak apabila selesainya majlis pernikahan tersebut.

"Sebagai bapa, sukar untuk menggambarkan bagaimana perasaan untuk melepaskan anak perempuannya yang kini dijaga oleh lelaki yang bergelar suaminya.

"Saya telah cuba yang terbaik dengan menjadi wali dan menjalankan sendiri acara nikah agar hari ini dapat menjadi hari yang cukup bermakna buat dirinya (Nabila).

"Saya percaya dengan pilihannya. Saya selalu percaya anak saya mampu pilih lelaki yang tepat untuk menjadi suaminya. Saya sendiri tidak pernah meletakkan kriteria, apa yang penting ialah kejujuran.

"Selepas ini terpulanglah kepada mereka untuk membentuk rumahtangga dan saya berdoa agar perkahwinan mereka diberkati dan berharap mereka terus berusaha untuk membina hidup yang lebih baik," tutur Amy.

Majlis persandingan akan berlangsung malam ini di Pusat Komuniti Bukit Damansara bertemakan Enchanted Wedding manakala di sebelah pihak lelaki pula, majlis resepsinya akan berlangsung pada 14 Disember ini di Klang, Selangor.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain