suria

Lagu etnik kreatif bukan lagu tangkap muat?

Doa dalam Lagu dendangan Mawi dan Heliza berjaya ke Anugerah Juara Lagu.
Doa dalam Lagu dendangan Mawi dan Heliza berjaya ke Anugerah Juara Lagu.
Doa dalam Lagu dendangan Mawi dan Heliza berjaya ke Anugerah Juara Lagu.

“LAGU etnik kreatif bukan lagu tangkap muat,” tegas komposer Julfekar mengenai nasib lagu etnik yang kurang mendapat sambutan di kalangan penggemar muzik sekarang.

Disebabkan masalah tersebut, hanya tiga buah lagu etnik yang layak mara ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu 23 (AJL23).

Tiga buah lagu tersebut adalah lagu Doa Dalam Lagu ciptaan Ajai dan lirik oleh Loloq nyanyian Mawi dan Heliza, Persoalan Cinta (Julfekar/ Ku Seman dan Izza Rosley/ Farawahida) dan Dusta Berkalang (Hafiz Hamidun/ Ahmad Fedtri Yahya/ Aiman).

Tambah Julfekar, setiap muzik yang dihasilkan olehnya pasti mempunyai elemen tertentu.

“Sebagai pengkarya, kita harus bertanggungjawab dengan apa yang kita buat.

“Misalnya, kita guna elemen tambahan. Kita tak boleh statik dengan satu elemen sahaja.

“Kita yang tak mahu lari. Bukan kita tak kreatif tetapi kita tak mahu perkayakan sesuatu muzik itu dengan menggabungkan world music,” jelas Julfekar ketika sidang media di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam baru-baru ini.

Menurut komposer yang pernah tercalon dalam Anugerah Juara Lagu 22 lalu melalui lagu Penglipur Lara, dia menggabungkan empat muzik dalam lagu tersebut dan menganggap lagu-lagu ciptaannya sebagai eksperimen.

“Kali ini, saya buat satu lagi eksperimen dengan mengadunkan irama oriental dan irama Melayu di dalam muzik lagu Persoalan Cinta.

“Jadi, lagu saya bukan lagu tangkap muat. Tetapi ia dibuat dengan menggunakan orkestra dan dihantar di China,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Pembangunan, Perindustrian Pengisian dan Industri Primeworks Studios Sdn. Bhd. Azhar Borhan yang juga merupakan ketua juri pertandingan tersebut berkata tidak wajar timbul isu tangkap muat.

“Antara tiga buah lagu yang berjaya ini, kita melihat bukan sahaja dari segi persembahan, tetapi ketiga-tiganya mempunyai perbezaan dengan lagu-lagu lain.

“Selain melihat kepada keistimewaan masing-masing, kami sudah terlebih dahulu membuat penilaian sebanyak 70 peratus terhadap kesepuluh buah lagu yang dipertandingkan.

“Jadi, kami hanya menilai persembahan untuk malam ini. Kiranya, ada juga lagu yang ‘border line’,” beritahu Azhar.

Selain Azhar, juri yang turut menghakimi lagu-lagu dan persembahan penyanyi bagi kategori etnik kreatif adalah komposer Yassin Sulaiman, Johan Nawawi, penulis lirik Amran Omar, Fauzi Marzuki dan Ketua Editor Hiburan Harian Metro Adam Salleh.

Tujuh buah lagu lain yang turut bertanding adalah lagu Jarak Rindu nyanyian Azfar ciptaan M. Nasir dan lirik oleh Seth, Puteri Tarian Kasih (Anis Aneesa/ Adnan Abu Hassan/ Faris), Pujangga Merindu (Syura/ Radeen Sri/ Hairul Anuar Harun), Songo (Mok/ Edrie Hashim/ Ahmad Farid dan Amaruszati), Panas (Ifa Raziah/ Cat Farish/ Cat Farish dan Adeeb), Mengharap Sinar (Dior/ Dior dan Khairafik/ Dior) dan Lambaian (Fazli Zainal/ Sang Dewi/ Ahmad Fedtri Yahya).

Format pemarkahan bagi separuh akhir adalah berdasarkan 30 peratus markah persembahan pada malam tersebut dicampur dengan 70 peratus markah penilaian lagu yang dibuat sebelum persembahan bagi mendapatkan markah keseluruhan.

Hanya lagu yang mendapat markah tertinggi layak untuk ke AJL 23 yang diadakan pada 18 Januari depan.

Mok ganti Amy Search pada saat akhir

Diikutkan, penyanyi asal lagu Songo adalah Amy Search. Namun, pada malam itu lagu tersebut dinyanyikan oleh bekas ahli kumpulan Search iaitu Mok.

Menurut Pengurus Produksi Hiburan Primeworks Studios Sdn. Bhd. Fadzliniza Zakaria, mereka mengetahui mengenai pergantian tersebut pada petang Jumaat lalu.

“Mungkin Amy ada masalah pada hari ini. Lagipun keputusan pemilihan penyanyi dibuat oleh komposer,” katanya.

Muzik-Muzik Separuh Akhir kategori etnik kreatif masih mengekalkan gandingan serasi Cheryl Samad dan Faizal Ismail sebagai pengacara.

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan siaran langsung separuh akhir Muzik-Muzik bagi kategori Balada pada 5 Disember depan, pukul 9 malam di TV3.

Bagi sesiapa yang berminat untuk menyaksikan persembahan hebat antaranya Faizal Tahir, Spider, Ziana Zain, Dina, Anuar Zain dan Aizat, boleh dapatkan tiket-tiket percuma di Balai Pengawal Sri Pentas Bandar Utama dan Balai Pengawal Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral.

Artikel Lain