suria

Seri Bayu enggan lepaskan Erema, kes cerai ditunda bulan depan

PETALING JAYA: Niat penyanyi Dayang Zaira Erema Awang Moshdad, 25 untuk bercerai dengan penulis lirik popular Jamaludin Sulik atau Seri Bayu, 43 tidak kesampaian apabila suaminya itu enggan melepaskannya.

Justeru, Hakim Syarie, Ghazali Ahmad di Mahkamah Rendah Syariah di sini memutuskan supaya kes ini dilanjutkan ke 12 Januari depan.

Hakim Ghazali meminta Seri Bayu (plaintif) melantik peguam bagi membela dirinya kerana dia tidak bersetuju dengan penceraian tersebut.

Erema juga dinasihatkan melantik peguamnya. Perbicaraan tersebut berlangsung pada 9 pagi ini selama setengah jam.

Kata Seri Bayu yang ditemui selepas sidang perbicaraan berakhir, dia enggan menuruti kehendak Erema kerana dia masih sayangkan Erema dan mahu jadikan hal itu sebagai pengajaran buat isterinya.

“Saya masih sayangkan dia walaupun saya tidak dilayan seperti seorang suami. Saya ingin beri peluang supaya dia berubah dan balik ke pangkal jalan.

“Jika dia tidak berubah, hanya Tuhan sahaja yang tahu,” luah Seri Bayu dalam pertuturan yang kurang jelas dan duduk di atas kerusi roda kerana menghidapi penyakit saraf.

Dalam pada itu, Erema berkata dia tetap akan memfailkan cerai dan meneruskan niatnya untuk berpisah dengan Seri Bayu.

“Abang dah berjanji untuk melepaskan saya dengan cara yang baik melalui SMS yang dia hantar kepada saya. Jadi, saya akan tetap failkan cerai dan lantik peguam untuk mengendali kes ini,” beritahu penyanyi lagu Pelita Di Bawah Purnama yang hadir bersama rakannya.

Sementara Seri Bayu hadir dengan ditemani tiga orang lelaki dan seorang wanita yang dipercayai rakan dan ahli keluarga angkatnya.

Erema memfailkan tuntutan penceraian di mahkamah tersebut pada awal November lalu.

Pasangan ini bernikah pada 19 Disember 2006 ketika Seri Bayu menderita penyakit saraf.

Artikel Lain