Faizal berjaya tebus kekecewaan lalu apabila dua buah lagu nyanyiannya berjaya ke AJL23 nanti - foto THE STAR oleh KAMARUL ARIFFINTAHUN lalu, Faizal Tahir gagal beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu ke-22 (AJL22) meskipun dua buah lagu nyanyiannya, Mahakarya Cinta dan Kasih Tercipta layak ke peringkat akhir bagi kategori Balada program tersebut.Semuanya gara-gara kontroversi yang tercetus setelah dia 'digam' untuk beberapa bulan akibat tindakannya membuka baju di sebuah konsert ulangtahun 8TV awal tahun lalu sehingga membawa padah kepada Faizal yang kemudiannya dilarang muncul secara langsung di kaca televisyen. Naib juara program One In A Million (OIAM) musim kedua ini hanya perlu akur apabila dua buah lagu tersebut dinyanyikan oleh penyanyi lain iaitu Fiq untuk lagu Mahakarya Cinta dan Bob bagi lagu Kasih Tercipta pada malam kemuncak AJL22 itu.Namun itu semua kisah lama. Bagi penyanyi berusia 30 tahun ini dia tidak mahu menoleh ke belakang lagi. Berpeluang beraksi di pentas AJL23 pada bulan hadapan adalah satu 'hadiah' bermakna buat Faizal setelah peluang pertamanya dulu terpaksa dilepaskan kerana kontroversi tersebut.Menerusi dua buah lagu nyanyiannya ciptaan Audi Mok iaitu Sampai Syurga dan Cuba, Faizal berjaya mara ke peringkat akhir AJL23 bersama tiga buah lagu lain iaitu Bila Nak Saksi nyanyian Spider, Lagu Kita (Aizat) dan Hanya Di Mercu (Ayu OIAM) bagi kategori Balada setelah menewaskan tujuh buah lagu lain bagi kategori yang sama pada peringkat separuh akhir program tersebut yang berlangsung di Sri Pentas 2, Shah Alam.Tujuh buah lagu yang gagal itu ialah Teman Terulung nyanyian Anuar Zain, Tanpa (Sixth Sense), Dingin (Ziana Zain), Sejauh Ini (Dina), Cinta Terhalang (Bob), Ada Untukmu (Nubhan) dan Bila Terasa Rindu (Dafi).Ternyata, kejayaan yang diraih oleh Faizal berjaya menebus kekecewaan lalu apabila sekali lagi dua lagu nyanyiannya yang dipertandingkan layak berentap di peringkat akhir nanti.Lebih membanggakan tuan empunya diri ialah apabila lirik bagi kedua-dua lagu tersebut merupakan hasil nukilannya sendiri."Saya tidak mahu katakan kejayaan saya kali ini dilihat seperti menebus kekecewaan sebelum ini. Bagi saya, perkara itu sudah berlalu dan saya juga sudah buka buku baru."Apa yang paling penting, pencapaian saya ini membuktikan bahawa saya masih diterima di dalam bidang ini dan apapun, terima kasih kepada pihak juri yang membawa dua buah lagu nyanyian saya ini ke peringkat akhir."Saya sendiri tidak menyangka kedua-dua lagu ini terpilih kerana sejujurnya, terlalu banyak lagu yang cukup kuat dalam kategori ini seperti Cinta Terhalang, Sejauh Ini, Teman Terulung dan Dingin. Tetapi inilah dinamakan rezeki. Saya hanya persembahkan sebaik mungkin manakala penilaiannya dibuat oleh juri," kata Faizal yang ditemui sejurus selepas berakhirnya program tersebut.Mengulas mengenai kekuatan dua buah lagu itu, kata komposernya Audi Mok, dia percaya keistimewaan lagu tersebut juga terletak kepada gaya penyampaian Faizal sendiri."Sebenarnya, dua buah lagu itu merupakan dua lagu yang terakhir kita rakamkan untuk album sulung Faizal dulu. Bagi saya, kedua-duanya cukup istimewa. Lagipun antara saya dan Faizal memang mempunyai 'chemistry' yang baik terutamanya ketika proses rakaman di studio," kata Audi.Pemilihan lima buah lagu tersebut turut menyaksikan 'penguasaan' oleh bintang-bintang realiti. Bukan saja golongan ini dilihat memonopoli kategori Balada, malah empat daripada lima buah lagu yang berjaya itu adalah 'milik' artis-artis program realiti tempatan."Bagi saya, ini adalah jawapan kepada pertikaian yang mana banyak pihak sering mengatakan kami adalah artis 'mi segera'. Ini membuktikan bahawa artis-artis kelahiran program realiti juga mempunyai kualiti tersendiri," kata Faizal.Tam yang mewakili kumpulan Spider juga bersetuju dengan pendapat Faizal dan merasakan tidak sepatutnya timbul jurang di antara artis realiti dan mana-mana artis lain."Ini tidak sepatutnya menjadi isu besar. Mereka sudah tunjukkan kehebatan masing-masing, jadi kita kena beri sokongan yang sama rata," kata Tam.Format pemarkahan bagi separuh akhir ini ialah berdasarkan 30 peratus markah persembahan pada malam tersebut dan 70 peratus lagi adalah markah penilaian yang dibuat lebih awal sebelum berlangsungnya malam persembahan.Juri profesional yang terlibat ialah komposer terkenal Fauzi Marzuki, Johan Nawawi, Yasin Sulaiman, Amran Omar, editor hiburan Adam Salleh dan Pengurus Besar Perisian dan Industri Primeworks Studio, Azhar Borhan.Minggu lalu, tiga buah lagu bagi kategori Etnik Kreatif telah terpilih ke peringkat akhir AJL23 iaitu Doa Dalam Lagu dendangan Mawi dan Heliza, Persoalan Cinta (Farawahida) dan Dusta Berkalang (Aiman).Aizat:"Lagu Kita cukup bermakna buat saya kerana saya cipta lagu tersebut ketika masih di Tingkatan Lima. Cuma saya sama sekali tidak menyangka akan terpilih ke AJL23. Kalau saya mempunyai kuasa sebagai juri, saya ingin bawa semua lagu pada malam ini ke peringkat akhir kerana masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri."Spider:"Kali ini, kami rasa persaingan di peringkat akhir akan lain sedikit kerana kami perlu berentap dengan artis yang jauh lebih muda daripada kami. Tetapi kami tidak nafikan semua lagu yang bertanding malam ini cukup hebat dan kami bersyukur lagu kami menjadi salah satu yang terpilih."Ayu:"Lagu Hanya Di Mercu memang cukup mencabar buat saya. Sejujurnya, saya memang cukup bangga kerana lagu ini terpilih ke 'final' nanti. Apa yang boleh saya katakan, saya akan cuba berikan persembahan yang terbaik pada malam itu kelak."