suria

Abby dan Norman bercerai lagi dengan talak satu

Abby ditemani pelakon baru Zul Ariffin di Mahkamah Syariah pagi tadi.
Abby ditemani pelakon baru Zul Ariffin di Mahkamah Syariah pagi tadi.
Abby ditemani pelakon baru Zul Ariffin di Mahkamah Syariah pagi tadi.

[SEMASA] KUALA LUMPUR: Pasangan pelakon Abby Abadi dan Norman Hakim hari ini bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Gombak Timur.

Norman atau Mohamed Norhakim Zaidon, 32, melafazkan talak kepada Abby atau Arbaeyah Abdul Manan, 31, pada pukul 11.20 pagi ini di hadapan Hakim Wan Mahyuddin Muhamad.

Semasa hendak melafazkan talak, Norman dilihat gagal mengawal perasaan, sehingga mahkamah terpaksa ditangguhkan kira-kira 10 minit untuk memberi masa kepada Norman menenangkan diri.

Ketika ditemui di luar perkarangan mahkamah, Norman mengakui beliau gagal mengawal perasaan semasa mula-mula hendak melafazkan talak.

"Bukan mudah saya nak lafazkan cerai kepada dia (Abby) kerana banyak perkara yang telah dilalui bersamanya.

"Saya teringat kembali di awal perkahwinan kami sehingga mempunyai anak-anak, semua ini membuatkan saya gagal mengawal emosi.

"Namun, Alhamdulillah, setelah saya berjaya menenangkan diri, baru saya dapat lafazkan talak kepada Abby," kata Norman dalam nada sedih.

Biarpun sedih dengan perpisahan itu, Norman akur dengan ketentuan takdir dan Ilahi.

"Saya akur dengan ketentuan qada dan qadar. Semoga segalanya berjalan dengan baik selepas ini.

"Saya mengharapkan semuanya akan berjalan dengan lancar, kehidupan dapat diteruskan seperti biasa dan anak-anak tetap dapat kasih sayang daripada bapa dia sendiri," ujarnya.

Ditanya mengenai bagaimana hubungannya bersama Abby selepas berakhirnya rumah tangga mereka, Norman berkata, dia selalu mengharapkan terbaik untuk bekas isterinya itu.

"Kita mengharapkan segalanya yang terbaik. Kita ambil peluang sekali dalam kehidupan ini jadi kita tak nak memutuskan silaturrahim dan kita fikirkan masa depan untuk anak-anak," katanya yang popular dalam drama bersiri Gerak Khas.

Sementara itu, Abby yang ditemui pemberita menyifatkan keputusan yang dicapai pada hari ini sebagai perkara yang terbaik untuk kedua belah pihak.

"Sebagai manusia saya maafkan dia (Norman), tapi saya tak berani janji saya boleh betul-betul baik dengan dia.

"Saya terpakSa ambil keputusan ini kerana Saya tak nampak ruang untuk kami berbaik semula selepas apa yang terjadi."

"Saya hanya berserah dan harap semua pihak termasuk peminat doakan saya dapat jaga anak saya dengan baik," kata Abby yang pernah menganggotai kumpulan Elite.

Jelas Abby selepas penceraian ini dia mahu menumpukan perhatian kepada karier seni dan anak-anaknya dan melupakan kenangan pahit yang berlaku.

"Saya nak jadi orang baru. Saya nak 'refresh' balik apa yang ada dalam diri. Saya memang kena jadi orang baru dan kuat untuk lalui semua di masa akan datang," ujarnya sayu.

Tegasnya, jika diberi peluang beliau tidak mahu semua pihak terus mensensasikan kisah rumah tangganya yang telah hancur.

"Kalau boleh saya tak nak diberi perhatian kepada cerita-cerita rumah tangga sebab saya berada dalam bidang ini untuk mencari rezeki," katanya.

Ditanya mengenai hak penjagaan anak Abby berkata anak-anak masih berada di bawah penjagaannya.

"Tak timbul soal nak rebut anak-anak sebab mereka masih dengan saya dan saya tak ada halangan untuk dia (Norman) berjumpa dengan anak-anak.

"Tentang tuntutan nafkah dan sebagainya akan dibuat dan akan diuruskan oleh peguam syarie saya, Ahmad Nazib. Saya sendiri payah nak selesaikan masalah ini kerana saya susah nak berbincang dengan Norman," ujar Abby yang juga ibu kepada Mohamad Danish Hakim, 5; Marissa Dania Hakim, 3, dan Maria Danisha Hakim, 3 bulan.

Sementara itu, ketika diminta mengulas tentang kedudukan sebenar hubungannya dengan pelakon baru Gerak Khas, Zul Ariffin pula, Abby berkata, hubungan mereka tidak ubah seperti 'kawan baik'.

"Bagi dia ruang. Dia macam kawan baik saya. Dia datang hari ini pun sebab nak beri sokongan moral kepada saya sama macam Shasha dan Wan Norhafiza daripada kumpulan Elite dan saya rasa ini bukan satu isu yang perlu dibesar-besarkan," katanya.

Ibu muda ini turut memberitahu, betapa beliau terkejut membaca ruangan gosip dalam sebuah akhbar baru-baru ini mengenai dirinya yang sedang kemurungan disebabkan masalah peribadinya berfoya-foya di pusat hiburan bersama teman lelaki barunya.

Tegas Abby, gambar gandingan mereka berdua yang disebarkan sebelum ini adalah perbuatan mereka yang punya niat tertentu.

"Saya tak rasa ia salah kalau kita ambil gambar dengan lelaki lain. Lagipun bukan saya sahaja semasa bergelar isteri orang ambil gambar dengan lelaki lain, tidak pula menjadi isu. Tapi bila saya kenapa ia dilihat macam pelik sangat.

"Saya rasa ia tak perlu diperbesarkan lagi. Bagi ruang kepada kami untuk mencari rezeki dalam bidang ini," katanya.

Tambah Abby apa yang penting dia tahu menjaga batas perhubungannya dan dia tidak pernah minum arak serta tak pernah berfoya-foya seperti yang diperkatakan oleh pihak-pihak tertentu.

"Pada saya apa yang ditimbulkan itu keterlaluan dan saya harap hentikanlah daripada menyebar fitnah. Lagipun apa yang diperkatakan itu tidak benar," ujarnya.

Beliau pada masa yang sama berharap agar peminat di luar sana tidak salah sangka dengan apa yang berlaku kerana dia percaya ada pihak yang cuba menggeruhkan lagi keadaan.

Zul yang akan berlakon dalam Gerak Khas musim terbaru tiba perkarangan mahkamah pada jam 9.30 pagi.

Turut hadir memberi sokongan moral kepada Abby adalah teman baiknya, Sasha bersama suaminya Salyo.

Hubungan Abby dengan pelakon kacak berkenaan semakin rancak diperkatakan apabila Zul turut berlakon dalam drama bersiri, Gerak Khas terbitan skop Production itu.

Zul yang ditemui di luar perkarangan mahkamah turut menafikan dia dan Abby mempunyai hubungan istimewa.

"Seperti yang diketahui umum hubungan saya dan dia (Abby) sebagai kawan. Dia banyak bantu saya dan lepas ini kami akan bekerjasama lagi," ujarnya.

Ditanya adakah dia bersedia jika digosipkan dengan Abby selepas penceraian itu berlaku, Zul berkata:

"Itu saya tak tahu lah. Itu hanya gosip. Dan apabila masuk dalam bidang ini saya terpaksa lalui semua benda ini."

Pada 5 Disember, Abby Abadi telah memfailkan permohonan perceraian terhadap suaminya, Norman Hakim yang baru-baru ini ditangkap khalwat dengan seorang pelakon baru, Memey Suhaiza.

Permohonan tersebut difailkan melalui peguam syarie, Ahmad Nazib Johari di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini.

Itu merupakan kali kedua Abby memfailkan permohonan perceraian setelah cubaan kali pertama yang dilakukan sendiri tanpa peguam syarie pada 3 November lalu gagal disebabkan dokumen yang tidak lengkap.

Mahkamah menetapkan hari ini untuk mendengar sebutan kes tersebut untuk mengetahui sama ada Norman yang juga seorang pelakon bersetuju atau sebaliknya terhadap permohonan isterinya.

Jelas beliau, Abby mengemukakan permohonan di bawah Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga (Negeri Selangor) 2003 iaitu bercerai dengan persetujuan Norman melalui kebenaran mahkamah.

Dalam permohonan itu, kata Ahmad Nazib, Abby memohon perceraian dengan alasan tiada lagi persefahaman antara mereka suami isteri.

Abby yang baru menyambut hari jadi yang ke-31 pada 1 Disember lalu sebelum ini pernah menegaskan untuk mengakhiri perkahwinan mereka ekoran krisis yang melanda.

Norman yang juga seorang ahli perniagaan bagaimanapun berharap agar rumah tangga mereka dapat dipertahankan demi kebahagiaan tiga orang anak mereka.

Rumah tangga pasangan artis tersebut dilanda kemelut apabila Norman ditangkap khalwat bersama Memey di sebuah premis perniagaan di Ukay Perdana dekat sini pada awal pagi 30 Oktober lalu.

Pada 3 November lalu, Abby dinasihatkan oleh pihak mahkamah supaya berbincang dengan Norman terlebih dahulu supaya dapat bercerai secara baik, setelah dia gagal memfailkan perceraian ekoran dokumen permohonan yang tidak lengkap.

Sejurus selepas itu, Abby bertindak nekad berkunjung ke lokasi penggambaran drama bersiri Gerak Khas di Wangsa Maju untuk menemui Norman bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka.

Pasangan tersebut yang mendirikan rumah tangga pada 11 Januari 2002 dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Danish Hakim, 5, Marisa Dania Hakim, 3, dan Maria Danisha Hakim, dua setengah bulan.

Norman dan Abby pernah bercerai talak satu pada 5 Mei 2006. Bagaimanapun, mereka rujuk semula dalam tempoh yang singkat.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Dunia tinta Rina Khan!

Artikel Lain