suria

Dua tahun pujuk untuk pentaskan Mamma Mia di Malaysia!

Lakonan bertenaga oleh para pelakon Mamma Mia di Istana Budaya yang dipentaskan mulai semalam hingga 4 Januari depan. -foto The Star
Lakonan bertenaga oleh para pelakon Mamma Mia di Istana Budaya yang dipentaskan mulai semalam hingga 4 Januari depan. -foto The Star
Lakonan bertenaga oleh para pelakon Mamma Mia di Istana Budaya yang dipentaskan mulai semalam hingga 4 Januari depan. -foto The Star

DEMAM teater muzikal Mamma Mia yang popular di peringkat antarabangsa kini tiba ke Malaysia. Selama hampir dua minggu ini ia akan mengeggarkan Istana Budaya bermula daripada semalam hingga 4 Januari 2009.

Populariti teater yang diangkat dari nashkah filem ini sememangnya tidak boleh dipertikaikan lagi dan kerana kemasyhurannya itu juga, teater ini telah berjaya dipentaskan di kira-kira 25 buah negara sejak tahun 1999 lagi.

Ia juga telah dialih bahasa dalam beberapa bahasa utama di seluruh dunia. Antarannya adalah, bahasa Sepanyol, German, Denmark, Belanda, Korea, Sweden, Russia dan sebagainya.

Menurut penerbit antarabangsa teater Mamma Mia, Nick Grace sebelum teater ini dialih bahasa, pihak penerbitan Mamma Mia akan memastikan bahawa negara tersebut punya pelakon yang sesuai untuk membawakan watak-watak dalam teater ini.

"Kita akan pastikan mereka punya pelakon tempatan yang boleh membawakan watak ini terlebih dahulu. Kami tidak mahu skrip asalnya berubah dengan keadaan persekitaran yang berbeza," katanya dalam sidang media teater itu semalam.

Jelas Nick lagi, bukan mudah untuk membawa teater muzikal ini ke seluruh dunia kerana masalah ’props’ menjadi sedikit halangan kepada mereka.

"Bukan mudah untuk membawa teater ini ke seluruh dunia. Kami bukan sekadar membawa pelakon-pelakonnya sahaja. Malah kami turut membawa peralatan dan kelengkapan yang mempunyai berat 80 tan setiap kali persembahan teater ini diadakan.

"Mamma Mia telah menjadi satu jenama yang sangat popular dan kami mahu memberikan yang terbaik kepada penonton dan peminat setia Mamma Mia di seluruh dunia.

"Dengan membawa hampir kesemua kelengkapan seperti, pakaian, set studio, lighting dan sebagaianya daripada Britain, kami mahu ia kelihatan sama dengan teater yang dipentaskan di England hampir sedekad yang lalu," ujarnya.

Menurutnya, ia bukanlah satu tugas yang mudah untuk dilakukan dan selepas dipentaskan di Malaysia, Mamma Mia akan dipentaskan di Vienna, Austria pula.

Jadual yang cukup padat untuk teater ini sepanjang tahun menjadikannya ia sangat dikenali di seluruh dunia apabila kira-kira 30,000 orang telah menonton teater ini.

Ditanya mengenai kekuatan krew serta barisan pelakon yang dimiliki, Nick berkata, Mamma Mia mempunyai krew seramai 89 orang dengan 31 daripadanya adalah pelakon utama dan watak sampingan manakala selebihnya adalah krew di sebalik tabir teater ini.

"Kami turut menggunakan khidmat orang tempatan bagi melancarkan perjalanan teater ini dan kami seronok untuk berada di Malaysia. Orang-orang di sini ceria dan ramah belaka," ujarnya.

Jelas beliau, barisan pelakon teater ini sudah tidak sabar untuk meraikan Krismas serta Tahun Baru di negara ini.

"Mereka (pelakon) teruja untuk meraikan Krismas di sini. Bukan mudah untuk mendapat peluang sebegini. Mereka juga sudah tidak sabar-sabar menantikan kehadirannya," katanya.

Sementara itu, menurut Pengurus Kanan Pemasaran The Star Publication Sdn Bhd, Iris Tan, bukan mudah untuk menyakinkan serta memujuk Nick di peringkat awal.

"Kami telah lama ingin membawa Mamma Mia ke sini, hampir dua tahun kami telah cuba menyakinkan Nick dan akhirnya beliau berjaya untuk membawa teater ini ke Malaysia," katanya.

The Star menjadi penaja utama serta media rasmi bagi teater ini.

"Kami gembira untuk membawa teater ini ke negara ini dan mahu masyarakat di sini dapat menyaksikan persembahan yang berkualiti di peringkat antarabangsa. Kami mahu mempersembahkan rancangan hiburan yang terbaik kepada anda," ujar Iris.

Tambah beliau, persembahan pembukaan dimulakan dengan Malam Amal dimana kutipan daripada penjualan tiket pada malam itu akan disalurkan kepada Star Foundation yang merupakan Yayasan Amal bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan dalam bidang pendidikan, kesihatan serta kebajikan mereka.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Menteri Perpaduan, Kebudayaan dan Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal telah merasmikannya malam tadi.

Najib turut menyampaikan hasil tiket persembahan amal bernilai RM1.2 juta kepada 10 badan kebajikan termasuk Yayasan Insitut Jantung, Befrienders Kuala Lumpur dan Persatuan Hospis Malaysia.

Sementara itu, pada malam ini Yang di-Pertuan Agong, Seri Paduka Baginda Sultan Mizan Zainal Abidin dan isteri, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Sultanah Zanariah telah perkenan mencemar duli untuk menyaksikan teater tersebut.

Mamma Mia, di bawakan khas oleh The Star dan SP Setia dengan kerjasama Kementerian Perpaduan, Kebudayaan dan Warisan, HSBC Bank, Renaissance Kuala Lumpur, TNT Express Worldwide, NTV7, Utusan Malaysia, Sin Chew Daily, Red FM,988 dan Suria FM

Oleh kerana sambutan yang sangat menggalakkan, kira-kira 30, 000 tiket telah habis dijual.

Pihak penaja telah mengumumkan penambahan empat lagi persembahan bagi teater ini. Ia akan disiarkan pada 2 Januari 2009 (8.30 malam), 3 Januari (3 petang dan 8.30 malam) dan 4 Januari (3 petang).

JALAN CERITA MAMMA MIA

Mamma Mia mengisahkan tentang seorang anak gadis yang akan berkahwin namun pada masa yang sama mahu mencari ayah kandungnya. Dia telah menjemut tiga orang bekas kekasih ibunya untuk menghadiri majlis perkahwinannya dengan harapan dia dapat menemui ayah kandungnya.

Pelbagai peristiwa lucu yang berlaku semasa dia mencari ayah kandungnya. Diringi dengan lagu-lagu yang mengasyikkan dari seperti Dancing Queen, Mamma Mia, Honey, Honey dan banyak lagi lagu tahun 70 dan 80 an daripada kumpulan pop ABBA, penonton pasti akan terhibur ketika menonton teater ini.

Untuk mengetahui siapakah ayah kandungnnya? Sama-samalah kita dapatkan tiket untuk menyaksikan teater Mamma Mia di Istana Budaya.

Tiket-tiket berharga RM500, RM400, RM300, RM200 mengikut tempat duduk yang disediakan boleh didapati di Axcess Hotline dengan menelefon talian 03-77115000 (Isnin-Jumaat: 9 pagi hingga 6 petang, Sabtu: 9pagi-1 petang). Atau tempah secara online dengan melayari www.axcess.com.my

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Dunia tinta Rina Khan!

Artikel Lain