JOHOR BAHRU: Debaran penyanyi tersohor negara Mawi dan pasangannya Ekin untuk disatukan sebagai suami isteri akhirnya terlaksana apabila kedua mereka selamat diijab kabulkan pada jam 11.30 pagi tadi di Masjid Sultan Abu Bakar di sini.Dengan sekali lafaz sahaja, Asmawi Ani atau lebih dikenali sebagai Mawi, 27 sah bergelar suami kepada pelakon, Nora'shikin Rahmat, atau Ekin 29. Lebih dua tahun pasangan ini menyulam cinta, akhirnya termeteri hubungan suami isteri pada hari ini.Disebabkan persiapan yang begitu terperinci, eksklusif dan mewah, juga penglibatan pihak Astro dan beberapa sponsor besar, ramai yang menyifatkan perkahwinan Mawi-Ekin sebagai 'Wedding of The Year.'Kedua mempelai telah dinikahkan Pendaftar Nikah Johor Bahru, Datuk Mohd Said.Majlis akad nikah yang berlangsung dengan penuh adat istiadat orang Melayu dan disaksikan oleh keluarga lelaki dan perempuan, sanak saudara dan kenalan rapat, turut disiarkan secara langsung melalui Saluran Astro Oasis (106) bermula jam 10.30 pagi tadi.Turut hadir menyaksikan pernikahan ini adalah Kadi Daerah Johor Bahru, As Syeikh Hj Husni Tamrin Md Sharif serta Imam Masjid Sultan Abu Bakar sendiri, Imam Mahadir Yahya.Pihak Mawi bersaksikan penyanyi dan pendakwah terkenal, Ustaz Akhil Hayy dan Ustaz Dzulkarnain Hamzah Al-Hafiz manakala Ekin pula disaksikan oleh penceramah terkenal, Dato Dr Mohd Fadhilah Kamsah dan Ustaz Dinie Juri.Kelihatan juga di majlis akad nikah itu ialah Ketua Eksekutif Maestro Freddie Fernandez. Majlis akad nikah yang mendapat liputan meluas dari semua media itu, turut menyaksikan Mawi menyerahkan pada isterinya mas kahwin RM22.50 tunai, wang hantaran RM30, 000 serta hantaran sembilan dulang yang berupa sebentuk cincin emas putih bertatahkan berlian, senaskah al Quran, kasut jenama Gucci, jam tangan Gucci, alat solek dan pewangi, kek, tas tangan jenama Gucci, sepasang kebaya berwarna keemasan dan sireh junjung.Sementara pihak Ekin pula membalas dengan sebelas hantaran berupa, antaranya sebentuk cincin, set pewangi, jam tangan jenama Gucci, kasut, dompet dan tali pinggang dari jenama Gucci, kemeja jenama Paul & Smith, senaskah al Quran, sejadah, kek, buah-buahan, songkok dan sireh junjung.Selesai upacara akad nikah, Mawi diiringi seorang Imam telah memanjatkan kesyukuran dengan melakukan sujud syukur.Upacara majlis akad nikah diteruskan dengan bacaan lafaz taklid oleh Mawi untuk isterinya dan seterusnya melakukan upacara membatal air sembahyang dengan menyarungkan cincin ke jari manis Ekin dan memberi kucupan pertama ke dahi isteri.Walau diusik bertalu-talu dan disuruh beraksi di hadapan kerlipan lensa berkali-kali, Mawi kelihatan tenang dan tersenyum sepanjang upacara majlis berlangsung.Ekin yang diapit oleh penyanyi kelahiran AF, Zila, nampak anggun dan jelita dengan busana rekaan Putra Cosry. Busana putih kombinasi potongan kebaya dan jubah, disulam dengan renda motif warna merah jambu sememangnya cukup cantik di susuk tubuh Ekin. Solekan telah dilakukan oleh Saidutul Nisa dan Tona.Ekin yang duduk di atas pelamin berwarna hijau muda dan putih, dengan taburan kelopak mawar dan juraian bunga melur di setiap penjuru pelamin kelihatan persis seorang puteri Raja. Pelamin indah hasil ilham Naz Great Ideal yang juga diberi tugas untuk menggubah hantaran.Suasana bertukar syahdu apabila Ekin sebak dan menitiskan airmata apabila bersalaman meminta restu dari kedua ibu bapanya.Kedua mempelai tampak romantis sekali berjalan berpimpinan tangan untuk bersalaman dengan hadirin yang hadir.Pada sebelah malam nanti, sebuah majlis resepsi akan diadakan oleh pihak pengantin perempuan bertempat di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor bahru (MBJB) pada jam 8 malam.Walau bagaimanapun, majlis ini akan dihadiri oleh 1, 200 orang kerana resepsi ini hanya dikhaskan untuk jemputan sahaja dan orang ramai tidak digalakkan hadir disebabkan jemputan adalah terhad.Pada Ahad depan, 28 Januari, pihak lelaki akan membuat kenduri dan respsi di Felda Taib Andak dan di mana dianggarkan seramai 15 ribu peminat setia akan turut hadir di majlis yang penuh kemeriahan itu nanti.