Pengarah M.Jamil bersama barisan pelakon 'Momok The Movie' ialah Faizal AF4 dan Mama Rina.Siapa yang tidak kenal dengan M.Jamil, pelakon, sutradara dan anak kesayangan seniwati terkenal Datuk Sarimah Ahmad?.Agak lama beliau telah menyepikan diri. Selama 15 tahun, Jamil banyak memerhatikan turun naik industri perfileman dengan azam baru untuk kembali satu hari nanti. Kini, beliau rasakan masanya sudah sesuai untuk membawa buah tangan terbarunya, 'Momok The Movie.'Beliau yang mula dikenali menerusi filem Jejak Bertapak pada 1978 ini pernah menjadi pujaan ramai satu ketika dahulu.Selain itu, filem Dia Ibuku, Kabus Di Tengah Hari, Ranjau Sepanjang Jalan dan Riang Tirana berjaya mengangkat nama M. Jamil atau nama sebenarnya Mohd. Jamil Zulkifli di persada seni tanahair.Menurut M. Jamil, 46, kali terakhir beliau membikin filem berjudul Tarik-Tarik yang dibintangi oleh Zarina Zainudin pada 1993.Walaupun hampir 15 tahun beliau tidak membikin filem baru, namun ini sedikitpun tidak melunturkan semangat M. Jamil untuk menghasilkan filem baru, Momok The Movie yang dibintangi nama-nama besar seperti Datuk Aziz Sattar, Datuk Sarimah Ahmad, Nabil Raja Lawak musim kedua, Faizal AF4, Abon dan Mama Rina AF6.Filem bergenre seram yang turut dilakonkan oleh Babyfaralia, Mariam, Lees AF, Mimi Razia dan memperkenalkan Hanis Zalikha, dijangka memasuki pengambaran mulai 15 Januari 2009 ini.Ia mengisahkan Adlin (lakonan Faizal AF4) yang bekerja di Bintulu, Sarawak, pulang ke kampungnya untuk bercuti. Seperti biasa, setiap kali pulang ke kampung, Adlin akan bertandang ke warung Pak Ajis (Datuk Aziz Sattar) untuk Mee Calong dan bersembang kosong.Kepulangannya kali ini untuk bertemu ibunya, Mak Ton (Datuk Sarimah Ahmad), adiknya Isham dan Esah setelah berada enam bulan di Bintulu telah membawa satu pengalaman yang tidak akan dilupakan oleh beliau sepanjang hayatnya.Bersama Kadir (Abon), teman sekampungnya, Adlin telah ke warung Pak Ajis. Malam tersebut, selesai solat berjemaah di surau, Adlin dan kadir ke Warung Pak Ajis. Pelbagai insiden dan petanda yang seolah-olah menunjukkan sesuatu yang tidak baik akan berlaku.Setelah sampai di warung Pak Ajis yang terletak di tepi tebing sungai di hujung kampung, seperti biasa mereka mula bersembang sehinggalah kepada cerita mengenai kisah-kisah seram.Pak Ajis, Adlin dan Kadir juga mendapat cerita,Noniswara, gadis India pekerja kilang yang diganggu peristiwa seram menaiki bas tanpa pemandu ketika pulang dari kerja pada malam tersebut."Filem ini mempunyai banyak cerita dalam satu cerita. Pengakhiran cerita ini akan merungkai segala-galanya tentang apa yang diceritakan dalam cerita itu," kata M. Jamil.Cerita kisah Pontianak, Pochong (Mariam), Orang Bunian (Hanis), Badi Mayat (‘Mohini’/ Chandra Murke-Legenda hantu masyarakat Hindu) (Raji), mayat hidup dilangkah kucing hitam (Babyfaralia) dan sampuk (Mimi Razia) menjadi penglipurlara Pak Ajis, Adlin, Kadir dan Noniswara pada malam itu.Peristiwa seram serta perasaan gemuruh yang mereka alami akibat dari cerita-cerita seram bukan lagi sekadar cerita dan ilusi tetapi bercampur aduk dengan realiti. Bagi Adlin, peristiwa ternampak sekumpulan orang mengusung keranda, bayangan arwah ayahnya haji Lah dan kata-kata ibunya, Mak Ton, bahawa Pak Ajis mengalami sakit jiwa setelah kematian isterinya Mak Temah mula menampakkan kaitannya.Jelas M. Jamil, minat untuk menghasilkan filem yang lebih bercerita tentang hantu timbul apabila dia terlibat dalam teater hantu arahan Lokman Ghani pada 2002.Ketika itu, beliau bekerja di Bernama dan bermula dari situ, beliau juga mula meminati teater dan idea membuat cerita seram itu meluap-luap memandangkan beliau sudah lama mengidamkan cerita berunsurkan ‘super natural’."Selang dua tahun selepas itu, saya menghasilkan telefilem Momok dalam bentuk VCD lakonan Zahida Rafik, Aida Aris dan beberapa pelakon veteran iaitu ibu saya dan Aziz Sattar."Saya suka ambil mereka berlakon sebab saya lebih mengenali pelakon-pelakon veteran ini berbanding pelakon sekarang. Jadi, itu merupakan pencapaian saya setakat ini walaupun tidak memenangi banyak anugerah sebagai pengarah terbaik. Kalau ada pun, saya pernah mendapat anugerah Pengarah Terbaik pada tahun 1992."Ketika itu, jualan VCD Momok mendapat sambutan penonton. Tetapi bagaimanapun, saya masih belum berpuas hati sebab ia dihasilkan dalam masa dan bajet yang terhad. Lagipun, ia bukan diterbitkan oleh syarikat saya sendiri.Dalam tahun itu juga, Jamil membuat semula skrip filem Momok dengan kajian yang lebih mendalam tentang masyarakat Melayu dengan bantuan rakannya iaitu Uncle Seekers. "Kiranya, dalam masa empat tahun ini saya pergi berjumpa dengan tok bomoh dan menemubual orang-orang yang pernah mengalami kejadian misteri ini membabitkan cerita mitos popular rakyat Malaysia."Banyak kali saya berulang ke tempat kejadian di Kampung Sanggang Seberang, Temerloh yang betul-betul ada pontianak dan pochong. Jadi, itulah keistimewaan Momok The Movie ini."Misalnya, orang kampung menceritakan dan menunjukkan tempat sebenar di mana pontianak bergayut dan berbuai di bawah bulan mengambang. Daripada 10 orang yang saya temubual, rata-rata tujuh orang yang sahkan perkara yang sama."Momok The Movie mempunyai kekuatan tersendiri berdasarkan cerita turun-temurun. Saya juga mengambil cerita sebenar daripada nenek saya berdasarkan daripada cerita tok moyang saya dulu."Kemudian saya bukukan cerita tersebut. Pada mulanya, saya mahu lancarkan buku tersebut sebagai langkah promosi. "Jika ada yang tahu, saya juga telah mempromosikan filem Momok ini di internet melalui laman web dan blog iaitu www.momokthemovie,com, momokthemovie.blogspot.com termasuk FaceBook saya (Mohd. Jamil). Setakat ini, saya menerima maklumbalas yang sangat bagus tentang filem ini."Di samping itu, saya juga ada memanggil Mazuin Hamzah, Ziana Zain dan Fauziah Latif untuk berlakon filem ini."Malah, Fauziah Latif juga sanggup mengikut saya ke tempat kejadian. Ziana Zain pula tidak berani untuk menerima tawaran ini setelah mendengar cerita tersebut daripada saya."Ikutkan memang saya nak Ziana berlakon sebagai hantu saya nampak dia ada karektor yang kita mahukan."Kenapa saya mengambil Faizal sebagai watak pencerita? Sebab dia mempunyai satu watak yang saya jumpa dalam cerita itu semasa saya membuat kajian dan dia memang kena dengan Faizal."Watak tu memang mempunyai persamaan dengan Faizal yang agak ‘blur’."Bukan Faizal sahaja, semua pelakon yang kita ambil telah menjalani ujibakat lakonan di Finas pada tiga minggu lepas. Saya hanya meuar-uarkan berita ujibakat ini di internet iaitu melalui FaceBook dan laman web Finas."Saya tak sangka, kira-kira lebih 200 orang yang datang ke ujibakat tersebut termasuk pelakon yang sudah ada nama dalam industri ini," terang M. Jamil dengan panjang lebar.Tambahnya, walaupun genrenya seram, beliau tidak bermaksud untuk menjadikan cerita ini 100 peratus berbentuk serius sebaliknya memasukkan 5 peratus unsur komedi di dalamnya. "Namun, tidak bermakna saya hendak meletakkan watak Nabil, Abon dan Faizal sebagai pelawak di dalam filem ini," ujar Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem Dia Ibuku ini.Menurut M. Jamil, untuk menampakkan syot yang ‘real’ dan berkualiti, beliau akan menggunakan teknologi kamera viper dengan 1,000 mega piksel yang digunakan secara meluas di Hollywood dan Asia. "Saya juga akan menggunakan khidmat pakar dari Thailand untuk teknikal," katanya yang memiliki Ijazah Pengurusan Perniagaan dan Ijazah Seni dan Teater dari Universiti Ohio Dominican, Amerika Syarikat.Memandangkan filem ini menggunakan teknologi dan kepakaran dari luar negara, maka tidak mustahillah jika bajetnya juga tinggi."Dari segi bajet, memang agak tinggi. Nasib baik Finas dan beberapa penaja seperti M.A.C Cosmetics, Nestle Products Sdn. Bhd., Sri Malaysia, Superbest dan NAZA Motors sedia memberikan sokongan kepada filem ini."Buat permulaan, kita hanya mengeluarkan bajet dalam RM1 juta dahulu dan untuk tambahan, kita sedang uruskan yang lain. Angkanya mungkin mencecah lebih daripada jumlah itu," kata Jamil.Kata pemilik syarikat Galaksi Seni Sdn. Bhd. ini, beliau menjangkakan filem ini selesai pengambaran pada November 2009."Bukan kami sengaja lambatkan proses pengambaran filem ini, tetapi di antara masa pengambaran tersebut, kami telah merancang beberapa program seperti mementaskan filem Momok ini dalam bentuk teater sempena tayangan amal sebagai langkah promosi," katanya.Filem tersebut akan mengambil 99 peratus lokasi penggambaran di Pahang. Sementelah, pengarah ini juga berasal dari sana.GALAKSI SENI SDN BHD SEDANG MENCARI SEORANG WANITA UNTUK MEMEGANG WATAK PONTIANAK. UJIBAKAT AKAN DIADAKAN PADA 26 DISEMBER 2008. MASA 10 PAGI HINGGA 6 PETANG. TEMPAT DI TINGKAT 1, BANGUNAN O'CONNOR. NO 13, JALAN 223, PETALING JAYACiri-ciri perwatakn berumur 18-26 tahun, berambut panjang. Mempunyaiketinggian sekurang-kurangnya 5'5" dan bertubuh langsing. Bagi mereka yang berminat, sila hubungi Rena Tan 03-79549200 atau 0196172678.