suria

Tembok penghalang Yakjuj dan Makjuj dipaparkan dalam 'Alexander Bukan Zulkarnain.'

Patung Alexander The Great di Greece menjadi bukti pahlawan agung ini sangat dikenali di seluruh dunia dan diiktiraf sebagai pemimpin pertama yang berjaya menguasai negara di Timur dan Barat.
 Patung Alexander The Great di Greece menjadi bukti pahlawan agung ini sangat dikenali di seluruh dunia dan diiktiraf sebagai pemimpin pertama yang berjaya menguasai negara di Timur dan Barat.
Patung Alexander The Great di Greece menjadi bukti pahlawan agung ini sangat dikenali di seluruh dunia dan diiktiraf sebagai pemimpin pertama yang berjaya menguasai negara di Timur dan Barat.

MENJEJAKI kisah sejarah semata-mata mungkin membosankan penonton, namun anda pasti teruja jika dapat menyaksikan tembok yang dibina untuk menghalang makhluk perosak umat manusia Yakjuj dan Makjuj yang pernah disebut oleh Allah S.W.T dalam Al-Quran.

Dokumentari Alexander Bukan Zulkarnain bakal menyingkap fakta serta kisah pahlawan agung yang berjaya menakluki dunia seperti yang tercatat dalam sejarah peradaban dunia.

Mengangkat kisah Nabi Zulkarnain atau Alexander The Great sebagai intipati cerita penonton akan dibawa menjejaki kisah sejarah pahlawan Islam yang agung ini sebagaimana yang tercatat dalam surah Al- Kahfi ayat 83 hingga 98.

Buah tangan sulung terbitan FM Production ini dijangka akan memberi impak serta mengubah perspektif masyarakat dunia mengenai peradaban dan sejarah tamadun Islam.

Menurut Penerbit Eksekutif FM Production, Zainal Rashid Ahmad, mereka mengambil masa selama dua tahun untuk menyiapkan dokumentari ini.

Menceritakan lebih lanjut mengenai bagaimana tercetusnya idea untuk menerbitkan dokumentari ini, Zainal berkata dokumentari tersebut diangkat daripada tesis seorang pelajar Doktor Falsafah dari Universiti Antarabangsa Islam Malaysia.

"Setelah membaca tesis pelajar terbabit secara terperinci dan saya terus mendapat ilham untuk mendokumentasikan semula kisah Zulkarnain berdasarkan persepsi sejarah Melayu dan Islam.

"Oleh kerana terdapat perbezaan di antara sejarah Melayu dan Islam mengenai Zukarnain, akhirnya kami mengambil keputusan untuk melihat kisahnya dari persepsi sejarah Islam," katanya dalam sidang akhbar pelancaran dokumentari Alexander Bukan Zulkarnain di Hotel PJ Hilton semalam.

Menurutnya, pihak penerbitan mengambil masa selama tujuh bulan untuk melakukan kajian secara terperinci mengenai fakta-fakta sejarah yang terdapat mengenai kisah Zulkarnain.

Ditanya mengenai cabaran untuk menyiapkan dokumentari ini Zainal berkata beberapa versi cerita serta pertindihan fakta mengenai kisah Zulkarnain menjadi halangan pada permulaannya.

"Terdapat beberapa versi cerita mengenai kisah Zulkarnain dan ia agak memeningkan kepala pihak produksi diperingkat awal. Namun setelah menjalankan kajian secara mendalam kami mengambil keputusan untuk mengikut sejarah Islam," ujarnya.

Pihak FM Production juga telah menerima dana sebanyak RM1juta daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menjadikannya antara dokumentari berkualiti tinggi yang pernah dihasilkan di negara ini.

Jelas Zainal, apa yang cuba diketengahkan dalam dokumentari ini adalah ingin membetulkan persepsi perang yang sering disalah tafsir oleh masyarakat bukan Islam.

"Prinsip perang dalam Islam perlu dibetulkan dan Zulkarnain adalah antara tokoh pahlawan Islam yang mengetengahkan tiga konsep yang disarankan oleh Islam dalam peperangan.

"Tiga perkara penting itu adalah tidak mengambil hak-hak orang tua, kaum wanita serta kanak-kanak seperti mana yang diceritakan dalam surah Al-Kahfi," katanya.

Paling istimewa, team produksi FM Production telah berjaya menjejaki beberapa penemuan baru seperti penemuan lokasi tembok Yakjuj dan Makjuj dan lokasi laut berlumpur yang akan dirungkaikan dalam dokumentari berdurasi selama 60 minit ini.

Lebih mengujakan lagi apabila team produksi mereka diberi penghargaan oleh kerajaan Greece atas penemuaan terbabit.

"Kami pun sangat terkejut dengan penemuaan itu sehingga kerajaan Greece mengiktiraf hasil penemuaan tersebut. Kami turut diberikan satu patung Alexander The Great sebagai dan diiktiraf sebagai sebahagian pasukan penyumbang maklumat kepada sejarah Alexander The Great di sana," ujarnya ceria.

Menurut Zainal, tiga tokoh utama yang menjadi nadi penggerak dokumentari ini ialah Alexander The Great, Cyrus The Great dan salah seorang Raja dari Empayar Himyar.

Menceritakan lebih lanjut mengenai lokasi penggambaran dokumentari, Zainal berkata pihak produksi telah mengembara ke sembilan buah negara dengan merentasi tiga buah benua, Eropah, Asia dan Afrika bagi menjejaki sejarah Alexader The Great ini.

"Dengan kekutan team produksi seramai 20 orang yang dipecahkan kepada dua kumpulan kami akan membawa penonton mengembara ke negara kota-kota lama yang dikaitkan dengan Zulkarnain bermula dengan di Pella dan Acropolis (Greece), Alexandaria (Mesir), beberapa tinggalan sejarah penting di Yaman,Iran, Iraq, Uzbekistan.

"Team produksi kami juga turut menjejaki kisah Zulkarnain di Rusia, selatan China dan beberapa daerah terpencil di Afrika yang dikaitkan dengan Cyrus The Great serta Raja Himyar yang dipercayai sebagai Zulkarnain," katanya.

Terbitkan filem Sallahuddin Al-Ayubi

Bertitik tolak daripada sejarah di era kegemilangan umat Islam, FM Production bakal tampil menghasilkan filem sejarah pertama di negara ini.

Filem tersebut diadaptasi daripada kisah pahlawan perang yang tersohor di era pemerintahan Khalifah Al-Rashidin, Sallahuddin Al-Ayubi.

"Pada ketika ini kami sedang mencari pelabur untuk melabur dalam projek terbaru kami yang dijangka menelan belanja sekitar RM2.2 juta.

"Jika hari ini dunia mengenali Julius Caesar, Napolean Bonarparte dan tokoh-tokoh perang di Barat yang berperang kerana menjajah orang lain.

"Tapi apa salahnya kita kembalikan ingatan kita kepada tokoh pahlawan Islam yang cukup disegani kira-kira 1000 tahun dahulu, Sallahuddin Al-Ayubi yang mengetuai tiga perang utama dalam kalendar sejarah Islam," katanya.

Jelas beliau terdapat satu ciri persamaan yang jelas dalam diri Sallahuddin Al-Ayubi apabila beliau turut mengamalkan tiga prinsip yang diamalkan oleh Zulkarnain dalam perang, iaitu memerdekakan hamba, wanita dan kanak-kanak serta tidak melaksanakan hukuman bunuh kepad musuh.

"Tajuk filem ini Sallahuddin Al-Ayubi dari Tikrit ke Al-Aqsa, ia bakal mengungkap kisah disebalik bandar Tikrit yang merupakan lahirnya Presiden Iraq, Saddam Hussien.

"Lebih istimewa tokoh tersohor ini telah memerdekakan Masjid Al-Aqsa dan umat Islam. Namun bukan itu sahaja kerana tokoh Islam ini turut memerdekakan orang Kristian serta masyarakat Jews di bawah cengkaman Raja Harods yang zalim," katanya.

Tambah beliau lagi, berdasarkan kisah tersebut mereka akan membuat penggambaran dalam standard filem yang mana ia akan dipasarkan diperingkat antarabangsa.

"Sejarah ini penting bukan hanya untuk produk tempatan malah untuk mengingatkan seluruh dunia ada seorang lelaki Islam yang tiga kali berperang dengan musuh dia tapi dia satu-satunya tokoh yang berpegang pada piagam perang," ujar Zainal.

Sementara itu, menurut Pengarah Eksekutif Astro Entertaiment Sdn. Bhd, Zainir Aminullah, berdasarkan sambutan yang mengkagumkan daripada penonton saluran Astro Oasis, pihak penerbitan merasa terpanggil untuk terus membekalkan program-program yang mempunyai nilai-nilai kerohanian.

"Dokumentari ini juga dapat memberi pengetahuan ilmiah yang sesuai dengan selera penonton yang mahukan inspirasi sanubari," kata Zainir.

Jelas beliau, dokumentari Alxander Bukan Zulkarnain juga bukan sekadar sebuah program biasa yang hanya boleh ditonton melalui televisyen kerana segala cerita disebalik tabir mengenai pembikinan dokumentari ini dapat dilayari bagi pengguna telefon bimbit yang menggunakan talian pra-bayar Celcom.

Tambah Zainir, Astro meras besar hati dengan usahasama untuk menjayakan produksi ini dalam membekalkan sebuah program hebat yang padat dengan unsur pembelajaran yang amat informatif.

"Hasil produksi ini bukan sahaja memberi pengajaran kepada penonton, tetapi telah menjawab segala keraguan serta persoalan mengenai perdebatan di antara identiti sebenar dua lagenda hebat dua zaman silam ini," katanya.

Sinopsis Alexander Bukan Zulkarnain

Dokumentari Alexander Bukan Zulkarnain ini membicarakan kepercayaan masyarakat Islam mengenai sejarah Zulkarnain seperti yang tercatat dalam Surah Al-Kahfi dan menyingkap persamaannya dengan tokoh pahlawan yang disanjung oleh Barat, Alexander The Great.

Tokoh ini dikatakan mempunyai ciri-ciri istimewa sehingga diberi kepercayaan membina tembok penghalang bagi makhluk perosak umat manusia Yakjuj dan Makjuj. Apakah keistimewaan beliau sehingga namanya tercatat dalam Al-Quran?

Persoalan mengenai siapakah Zulkarnain akan dirungkaikan dalam dokumentari selama lima episod ini dan akan disiarkan bermula 9 Januari depan, setiap Jumaat jam 10 malam di saluran Astro Oasis (106).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain