suria

Istana Budaya kutip RM3.3 juta melalui 39 persembahan tahun ini

KUALA LUMPUR: Istana Budaya berjaya mengutip RM3.33 juta menerusi 39 pementasan sepanjang tahun ini sehingga November, kata Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata, pihak Istana Budaya menjangkakan jualan tiket sehingga penghujung Disember akan mencecah RM11.34 juta menerusi persembahan teater muzikal Mamma Mia yang sedang berlangsung. "Ini adalah satu rekod pencapaian tertinggi sepanjang 10 tahun. Tahniah dan syabas kepada pihak pengurusan Istana Budaya," katanya dalam ucapan ketika melancarkan Program Istana Budaya 2009 di sini, semalam. Shafie berkata, pada 2007, kutipan jualan tiket adalah sebanyak RM4.04 juta menerusi 41 persembahan dengan jumlah penonton 122,175 orang.

Katanya, setelah diteliti akan perkembangan produksi di Istana Budaya sejak 1999, jumlah penonton dan jualan tiket akan meningkat apabila melibatkan persembahan yang dibawa dari luar negara.

Beliau berkata, ini menunjukkan tanggapan dan persepsi masyarakat terhadap persembahan luar negara begitu tinggi.

"Oleh sebab itulah persembahan seperti Cats, Chang and Eng, Saturday Night Fever, Fame, Stomp, The Sound of Music dan beberapa lagi produksi dari luar negara telah mendapat sambutan luar biasa berbanding dengan produksi dari dalam negara sendiri," katanya.

Produksi dalam negara yang paling cemerlang setakat ini ialah Puteri Gunung Ledang The Musical.

Katanya, bagi 2009, Istana Budaya mensasarkan peningkatan sebanyak 20 peratus meskipun hanya terdapat 31 produksi berbanding 39 pada tahun ini.

Menurut Shafie, antara langkah proaktif bagi musim 2009, ialah dengan mengenakan deposit dengan kadar yang telah ditetap kepada syarikat yang akan membuat persembahan di Istana Budaya.

Beliau berkata, langkah itu penting untuk menjaga kredibiliti dan nama baik Istana Budaya supaya syarikat yang memohon untuk membuat persembahan menepati penjadualan yang telah dipersetujui bersama.

Istana Budaya juga merancang untuk membeli hak cipta beberapa karya dari luar negara yang dikenal pasti boleh memberikan pulangan kewangan dan mendapat sambutan daripada penonton untuk dipentaskan.

"Pembelian hak cipta ini penting untuk sasaran menjadikan Istana Budaya bukan sahaja sebagai pusat persembahan karya tempatan tetapi sekaligus sebagai pusat persembahan yang memiliki karya yang bertaraf dunia," katanya.

Beliau juga berkata, golongan muda menjadi sasaran yang ingin ditarik untuk meminati dan mencintai seni teater yang sekaligus akan membawa mereka ke Istana Budaya pada 2009.

"Saya yakin usaha mengkomersialkan produk seni budaya dan warisan oleh Istana Budaya mampu membuahkan hasil yang lumayan dan usaha ini perlu dipertingkat dari semasa ke semasa pada tahun-tahun akan datang," katanya. BERNAMA

Artikel Lain