Gaya pengantin baru, Mawi dan Ekin ketika menghadiri konsert rewang di padang awam, Felda Taib Andak, Kulai semalam. -foto The Star oleh RAHMAN EMBONG KULAI: Konsert Gempak Rewang Mawi-Ekin yang diadakan khas sempena majlis perkahwinan penyanyi popular, Asmawi Ani berlangsung dalam keadaan meriah.Kira-kira 5,000 peminat serta orang kampung membanjiri perkarangan Padang Awam, Felda Taib Andak di sini malam tadi. Konsert tersebut diadakan bagi meraikan peminat setia serta orang kampung kelahiran bintang popular itu berlangsung selama hampir tiga jam dimeriahkan dengan persembahan nyanyian bintang-bintang kelahiran Akademi Fantasia (AF). Antara bintang-bintang AF yang membuat persembahan adalah, juara AF2, Zahid, juara AF4, Faizal, Yazer, Nadia, Toi, Farah dan Zila.Antara rangkaian lagu yang didendangkan adalah, Panahan Asmara, Hanya Kau Yang Mampu, Dua Insan dan Koi Mil Gaya.Satu kelainan yang cuba di bawa oleh pihak Astro sendiri adalah apabila menjemput Naib Juara Malaysian Idol musim ke-2 Nita yang juga kekasih kepada Zahid membuat persembahan.Nita sempat menghiburkan hadirin dengan sebuah lagu duet dengan kekasihnya, Zahid dengan mendendangkan lagu Aku dan Dirimu.Selain nyanyian, peminat-peminat yang hadir turut dihiburkan dengan persembahan lawak oleh tiga orang peserta Raja Lawak, Along Cham, Angah dan Mie yang bertindak sebagai pengacara majlis. Lebih istimewa tetamu yang hadir turut dijamu dengan makanan seperti, sate, roti canai, sup serta cendol ditaja khas oleh Mawi sendiri.Umpama tidak lengkap sebuah konsert rewang tanpa joget lambak, demikianlah juga dengan konsert ini apabila beberapa peminat juara AF 3 yang hadir 'sporting' apabila diajak membuat tarian joget lambak di atas pentas bersama-sama artis kesayangan mereka.Suasana makin gamat apabila pengacara mengumumkan kemunculan pasangan pengantin baru, Mawi dan Ekin di pentas utama.Nyata Mawi tidak mengecewakan ribuan peminat yang membanjiri perkarangan padang tersebut apabila dia menyampaikan sebuah single terbaru dari album Qasidah.Tempias glamour si pelantun lagu Aduh Saliha ini turut terkena kepada isterinya Ekin apabila dia turut diserbu oleh peminat untuk mengabadikan kenangan dengannya.Peminat yang hadir terus tidak berganjak walaupun jam menunjukkan hampir jam dua belas memaksa Mawi menyampaikan sebuah lagi lagu, Angan dan Sedar yang menjadi lagu penutup pada konsert tersebut.Esok pasangan merpati dua sejoli ini, akan disandingkan buat kali kedua dengan mengenakan kostum Jawa Kontemporari beserta aksesori yang dianggar berharga RM25,000 sepasang.Sesuai dengan label ʽwedding of the yearʼ, pasangan pengantin baru, Mawi dan Ekin sekali lagi memecah tradisi apabila mereka menjadi pasangan artis pertama yang bakal diarak dengan helikopter dari perkarangan hotel Sofitel Palm Garden di Senai menuju ke Padang Awam di Felda Taib Andak, Kulai.Dijangka 15,000 peminat setia juara AF 3 tersebut akan membanjiri perkarangan Padang Awam yang disediakan khas untuk mereka yang hadir. Istimewa untuk peminat-peminat setia yang tidak dapat menghadiri majlis persandingan Mawi dan Ekin usah risau kerana stesen televisyen berbayar Astro akan menyiarkan upacara tersebut secara langsung di saluran Astro Prima (105) pada jam 3 petang ini.Pasangan ini diijabkabulkan pada 20 Disember lalu di Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru.