Ady Putra pentingkan kualiti daripada publisiti.WAJAH aktor kacak kelahiran kota Singapura ini seringkali menghiasi kaca televisyen dan dilayar lebar pentas lakonan di negara ini.Namun cerita mengenai dirinya jarang terpampar di dada akhbar. Mungkin ada yang berpendapat si pemilik nama Hadi Putera Mohamed Halim atau Ady Putra ini sukar didekati. Tapi sebaik sahaja bercakap dengannya nyata semua telahan itu terpaksa dibuang jauh-jauh.Nyata apa yang digambarkan mengenai si kacak ini meleset sekali, kerana bagi Ady dia lebih mementingkan kualiti daripada publisiti.Barangkali kerana kesungguhan serta dedikasinya itu juga, pelakon bertubuh sasa ini kurang mendapat tempat di dada akhbar dan majalah kerana tidak punya cerita sensasi untuk dikongsi bersama penggemar.Biarpun mengakui publisiti penting bagi perjalanan karier seninya namun bagi Ady dia lebih suka bersifat ‘low profile’ jika tiada yang baru mengenai dirinya.“Ya, saya akui agak payah untuk saya keluar di surat khabar ataupun TV tanpa sebarang sebab. Saya lebih suka fokus kepada kerjaya saya berbanding publisiti yang bukan-bukan.“Saya tak suka publisiti murahan. Bukan tak suka pada wartawan tapi memang inilah saya. Bagi saya biar pun tak ada publisiti meluas tapi kerjaya kita tetap rancak itu yang lebih penting,” kata pelakon yang mencipta nama melalui drama bersiri Haryati 2.Mahu jadi bintang dalam bidang lakonanMenurut pelakon yang pernah membintangi drama bersiri Mya Zra ini, industri hiburan boleh memberi dua perkara kepada seseorang yang bergelar anak seni."Menerjuni industri hiburan akan membawa kita kepada dua perkara, sama ada menjadi selebriti yang diagungkan dengan unsur glamor atau menjadi anak seni sejati yang sentiasa mencari ruang memperbaiki bakat untuk diangkat sebagai bintang."Saya mahu menjadi bintang dan kerana itu saya sentiasa meletak diri sebagai seorang yang ingin membantu menaikkan nama industri supaya orang menghargai dan melihat kita juga mampu berdiri setanding penggiat seni luar," kata Ady serius.Ditanya tidakkah perkara itu akan membuatkan peminat-peminatnya sukar mengetahui perkembangan terbaru mengenai aktor pujaan mereka, Ady berkata:“Mereka boleh dapat berita terbaru mengenai saya bila ada filem baru saya keluar. Masa promosi filem atau drama terbaru dari situ peminat-peminat akan dapat tahu cerita terbaru mengenai saya.“Saya rasa itu lebih baik dari keluar cerita dan gosip yang bukan-bukan,”ujar pelakon kacak ini.Enam tahun terjun ke bidang lakonan di negara ini Ady mengakui dirinya masih lagi dalam proses belajar.Baginya tiada apa yang perlu dibanggakan dan dia akan terus mencuba pelbagai watak yang diberikan oleh pengarah untuk mencari kepuasan diri sebagai seorang pelakon.“Saya tak mempunyai sebarang watak idaman. Saya suka mencuba apa juga watak yang diberikan. Tak kisah kecil ataupun besar. Bagi saya kepuasan akan tercapai bila kita banyak mencuba"Perjalanan dunia lakonan saya seperti diatur Tuhan dengan begitu cantik. Saya menerima pelbagai peluang dan kepercayaan untuk merealisasikan variasi watak sama ada berat, ringan, komedi dan sedih."Mungkin saya mengambil masa yang agak panjang untuk dikenali namun alhamdulillah kerana karier lakonan saya tidak terumbang-ambing,” tuturnya jujur.Berlakon filem ‘Super power'Terbaru aktor kacak ini sedang sibuk dilokasi penggambaran filem terbarunya, ‘The Haq’.Menurut Ady filem bercorak ‘action thriller’ ini diadaptasi daripada filem ‘Hulk’ tapi jangan pula menyamakannya dengan orang hijau kerana jelasnya lagi jalan cerita filem tersebut agak bebeza.“Saya tak boleh nak cerita panjang lebar, yang pasti filem ini akan bawa kelainan berbanding dengan watak-watak yang pernah saya lakonkan sebelum ini,” ujar Ady ceria.Punya album soloMelihat perjalanan seninya kini, Ady sudah memiliki syarikat Adi Entertainment sejak dua tahun yang lalu.Selain berlakon, dia juga mempunyai kebolehan menyanyi namun, lakonan tetap menjadi keutamaannya."Kalau setakat menyanyi nak hiburkan hati itu bolehlah sangat tapi untuk lebih-lebih saya kena pertimbangkan banyak perkara."Lagipun, keghairahan saya lebih kepada bidang lakonan. Untuk drama Akukah Tanggang dulu saya ada menyanyikan dua buah lagu tema berjudul Warna Dunia dan Kelahiran. Lagu itu ciptaan saya sendiri."Kebanyakan hasil karya saya termasuk ilham lagu saya salurkan ke syarikat sendiri,” ujar Ady.Menurut Ady, atas dasar minat yang tidak pernah pudar dalam bidang nyanyian telah mendorongnya menghasilkan album solo yang bertajuk Kelahiran tahun lalu.Album tersebut memuatkan 10 buah lagu, yang dicipta oleh komposer terkenal seperti Zul 2 By 2 dan Papa Rock, Ramli Sarip.Biarpun agak menyepi namun Ady mengakui dia mendapat sambutan dan maklum balas yang baik daripada penjualan album sulungnya itu.“Saya akui ramai yang tak tahu mengenai album ini. Tapi sambutan yang diterima tetap menggalakkan,” ujarnya ceria.