suria

Debaran AJL23 bermula, bakal tampilkan tema Iluminasi Muzik

Finalis AJL23 yang bakal berentap 18 Januari ini- foto THE STAR oleh RAJA FAISAL
Finalis AJL23 yang bakal berentap 18 Januari ini- foto THE STAR oleh RAJA FAISAL
Finalis AJL23 yang bakal berentap 18 Januari ini- foto THE STAR oleh RAJA FAISAL

DEBARAN Anugerah Juara Lagu 23 (AJL23) semakin mula dirasai di kalangan komposer, penulis lirik dan penyanyi bagi 14 buah lagu yang dipertandingkan menerusi tiga buah kategori; Etnik Kreatif, Pop Rock dan Balada yang bakal berlangsung pada 18 Januari ini di Stadium Putra Bukit Jalil.

Tiga buah lagu daripada Etnik Kreatif, enam menerusi kategori Balada dan lima buah lagu di dalam kategori Pop Rock akan berentap bagi merangkul gelaran Juara Lagu Ke-23 sekaligus bakal meraih wang tunai sebanyak RM25,000.

Bagi kategori Etnik Kreatif, tiga buah lagu yang layak ke peringkat akhir AJL23 ialah Persoalan Cinta nyanyian Farawahida, ciptaan Julfekar dan lirik oleh Ku Seman dan Izza Rosley, Dusta Berkalang nyanyian Aiman (Hafiz Hamidun/Ahmad Fedtri Yahya) dan Doa Dalam Lagu nyanyian Mawi dan Heliza (Ajai/Loloq) yang mana Zahid akan menggantikan Mawi pada malam tersebut.

Bagi kategori Balada pula, lagu yang layak ialah Sampai Syurga nyanyian Faizal Tahir (Audi Mok/Faizal Tahir), Bila Nak Saksi oleh Spider (Tam/Loloq), Hanya Di Mercu nyanyian Ayu (Aubrey Suwito/Habsah Hassan), Cuba oleh Faizal Tahir (Audi Mok/Faizal Tahir), Dingin oleh Ziana Zain (Azlan Abu Hassan/Azalea) dan Lagu Kita nyanyian Aizat (Aizat).

Lima buah lagu yang dipertandingkan menerusi kategori Pop Rock pula ialah Kalis Rindu dendangan Elyana (Aidit Alfian/Ad Samad), Lagu Untukmu oleh Meet Uncle Hussein (Taja, Tass, Lan/Taja, Tass), Yang Pernah nyanyian Estranged (Estranged/Estranged), Aku Stacy nyanyian Stacy (Intan Norul Azlin/Intan Norul Azlin, Layla Ismail) dan Bukan Di Sini oleh Sofaz (Zimi, Ameer/One).

Bertemakan Iluminasi Muzik bagi menerapkan sinaran dan keajaiban kepada perjalanan acara gemilang AJL23, malam kemuncak itu akan dimeriahkan dengan gandingan tiga pengacara popular iaitu Cheryl Samad, Faizal Ismail dan Ally Iskandar.

Mengulas tentang persiapan menjelang acara berprestij itu, kata Ketua Pegawai Eksekutif TV3, Datuk Amrin Awaluddin, dia akui pihak penerbitan sedang membuat persediaan rapi bagi memastikan kelicinan perjalanan acara tersebut pada malam itu.

"Tekanan memang ada, apatah lagi AJL sering mendapat rating yang tinggi. Sudah tentu, expectation penonton semakin tinggi. Apa yang pasti, kandungan dan intipati AJL pada tahun ini tetap akan menampilkan sedikit kelainan.

"Dari segi pentas dan persembahan pembukaan juga cukup menarik. Kita akan beri penonton sesuatu yang berbeza dan unik.

"Begitu juga dengan konsep Iluminasi Muzik yang menjadi tema kali ini. Elemen cahaya yang akan kami ketengahkan itu dilihat 'kena' dan selari dengan tagline TV3, Inspirasi Hidup," kata Amrin yang ditemui pada sidang media dan cabutan nombor giliran persembahan AJL23, di Sri Pentas, semalam.

Dari segi penjurian pula, kata Amrin, prosesnya akan berlangsung pada minggu hadapan dan kriteria penjurian juga akan dibincangkan sebelum bermulanya proses tersebut.

Tegasnya lagi, pemilihan juri juga sama seperti tahun-tahun terdahulu yang terdiri daripada mereka yang profesional dalam bidang ini.

"Penjurian kali ini mungkin akan dibuat dua atau sehari sebelum berlangsungnya AJL nanti. Kita akan buat di saat-saat akhir untuk elak daripada sebarang masalah seperti isu berat sebelah.

"Tanggungjawab kami amat besar. Tidak timbul isu kronisme atau sebagainya kerana kami perlu pastikan program kami telus dan tidak ada 'favouritism'," tambah Amrin.

Katanya lagi, meskipun ada pihak yang berpendapat pastinya akan berlaku 'berat sebelah' apatah lagi dua artis yang terbabit di dalam AJL kali ini iaitu Faizal Tahir dan Ayu merupakan kelahiran program Media Prima, ia tidak langsung menjadi faktor utama penjurian.

"Kami amat peka dan sensitif tentang hal ini. Bagi saya, ini adalah mengenai integriti.

"Sebagai contoh, seorang lagi artis kelahiran program realiti Media Prima, Shila OIAM, lagunya Memori Tercipta tidak masuk di dalam program ini kerana ia tidak memenuhi kriteria program.

"Kami tidak rasa perkara ini perlu dijadikan isu," kata Amrin.

Ditanya tentang penarikan diri Mawi untuk beraksi di pentas AJL23 bersama rakan duetnya Heliza, kata Amrin, keputusan penyanyi popular itu memang diketahui oleh pihak penerbitan agak lewat.

Namun begitu, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah dan tetap menghormati keputusan yang dibuat oleh Mawi yang difahamkan akan ke luar negara untuk berbulan madu ketika itu.

"Mawi sendiri ada meminta maaf dengan kami kerana lewat beritahu. Lagipun, dia sendiri tidak 'plan' tentang perkara ini. Jika tidak, sudah pasti awal-awal lagi dia tidak akan terlibat dengan peringkat separuh akhir tempoh hari.

"Akhirnya, pihak syarikat rakamannya mengambil Zahid untuk menggantikan tempatnya di AJL23 nanti," tutur Amrin yang menambah, ketiadaan Mawi di AJL23 dilihat tidak akan menggugat rating program tersebut memandangkan fokus AJL adalah tentang lagu-lagu yang terbaik.

Artikel Sebelum

Umie: Susah cari lelaki serasi!

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan