suria

Mawi-Ekin akui sudah 'overexposed' tapi rela dieksploitasi

Mawi dan Ekin muncul sebagai tetamu jemputan dalam program bual bicara Sehati Sejiwa. Foto The Star Oleh: AZMAN GHANI.
 Mawi dan Ekin muncul sebagai tetamu jemputan dalam program bual bicara Sehati Sejiwa. Foto The Star Oleh: AZMAN GHANI.
Mawi dan Ekin muncul sebagai tetamu jemputan dalam program bual bicara Sehati Sejiwa. Foto The Star Oleh: AZMAN GHANI.

BUKAN mudah menjadi bintang popular, pelbagai cerita perlu dikongsi bersama peminat-peminat tersayang begitulah halnya dengan penyanyi popular Asmawi Ani, 27 dan Nora’ashikin Rahmat, 29.

Biarpun baru dua minggu melayari bahtera rumah tangga, ada sahaja isu yang dijadikan cerita mengenai bintang Akademi Fantasia musim ke-3 ini.

Dari kisah dia dibayar oleh Astro RM5juta kerana mendapat hak eksklusif untuk membuat liputan sepanjang majlis perkahwinannya hinggalah kisah Ekin membomohkan dirinya semua seakan tidak menjadi kudis buat anak jati, Felda Taib Andak, Kulai, Johor ini.

Terbaru, kisah perkahwinannya terus menjadi perhatian, apabila ada pihak mula mempertikaikan liputan yang diberikan kepada si pelantun lagu, Aduh Saliha ini dikatakan sudah berlebihan.

Ada pihak mendakwa ramai yang seakan sudah muak apabila isu perkahwinan Mawi dan Ekin terus diulang siar hampir saban hari di hampir semua stesen televisyen.

Paling baru, semalam pasangan merpati sejoli yang baru diijabkabulkan pada 21 Disember lalu muncul sebagai tetamu undangan pada episod pertama rancangan terbitan RTM, Sehati Sejiwa semalam.

Mawi yang ditemui sebaik rancangan berakhir mengakui perkara tersebut, namun dalam nada yang tenang dia berkata:

"Apa boleh saya buat, orang dah panggil kami. Takkan nak tolak tanpa sebab. Memang betul dan kami akui berita perkahwinan kami dah jadi over exposed.

"Banyak pihak yang gunakan kesempatan untuk mempopularkan rancangan masing-masing. Tapi pada masa yang sama saya dan Ekin sendiri ambil isu ini sebagai satu yang tidak serius sangat. Lagi pun lama-lama orang akan senyap juga."

Sementara itu, Ekin di sisi turut mengakui apa yang diperkatakan suami tersayang, baginya ada pihak perlu faham mereka terikat dengan kontrak dan apa yang telah dipersetujui sebelum ini.

"Selagi tak ada yang memudaratkan kami terima kerana saya faham Mawi seorang selebriti. Apa sahaja cerita mengenai dia orang nak tahu dan nak tengok," ujarnya ceria.

Tambah Ekim lagi, walaupun pasangan itu baru berkahwin, tidak semestinya mereka tidak layak untuk berkongsi pengalaman bercinta dan berkahwin dengan masyarakat.

"Satu rancangan yang bagus. Masyarakat yang boleh tahu maklumat dan kisah mengenai seseorang selebriti atau personaliti," kata Ekin.

Rancangan bual bicara Sehati Sejiwa yang disiarkan selama satu jam yang diterbitkan oleh Haliza Mat Kharsa ini menekankan khusus mengenai kisah cinta dan kebahagian pasangan selebriti yang baru dan telah lama berkahwin secara lebih mendalam.

"Jemputan kami tidak semestinya selebriti tetapi juga personaliti sukan dan juga tokoh korporat," katanya ketika ditemui di Studio Pusat Penyiaran Antarabangsa (IBC) di sini semalam.

Haliza juga berkata program ini juga akan diserikan dengan pengisian klip video artis jemputan, sesi temubual berkaitan rumah tangga, keistimewaan pasangan masingmasing, aktiviti masa lapang serta kegiatan seni yang dilakukan pasangan tetamu undangan.

Bagi pelakon muda, Scha Al-Yahya, ketika ditemui berkata peluang mengacarakan rancangan itu merupakan satu penghormatan baginya memandangkan ia adalah pengalaman pertama beliau bergelar pengacara.

"Tentunya saya berasa teruja kerana ini adalah kali pertama saya menjadi pengacara dan berasa gementar pada mulanya kerana ia dibuat secara langsung," katanya yang turut mengharap penonton dapat menerima dan menyokongnya dalam bidang pengacaraan ini.

Menekankan tema cinta, rancangan yang berbentuk bual bicara santai ini bersiaran sebanyak 13 siri untuk musim pertama dan akan menampilkan beberapa pasangan selebriti undangan seperti Nora dan Johan Nawawi serta Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa.

Mawi dan Ekin akan disandingkan buat kali ketiga di Palace of The Golden Horses pada 11 Januari ini dengan mengetengahkan konsep ‘Timur Tengah’.

Dijangka 1500 tetamu VVIP dan rakan artis dijangka hadir pada majlis resepsi gilang-gemilang pasangan selebriti ini yang akan disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria (104) bermula pada jam 7:30 malam.

Artikel Sebelum

Artikel Lain