suria

Hubungan Ayu-Pekin sudah terlalu lama?

Ayu akui masih berkawan baik dengan bekas kekasihnya, Pekin.
 Ayu akui masih berkawan baik dengan bekas kekasihnya, Pekin.
Ayu akui masih berkawan baik dengan bekas kekasihnya, Pekin.

SERAUT wajah yang jelita membawa tuah kepada Raudhah Che Wan yang lebih dikenali dengan panggilan Ayu Raudhah. Biarpun masih baru di pentas lakonan namun lakonan mantapnya sebagai Ayu dalam drama bersiri Manjalara melonjakkan namanya sebagai pelakon yang dikenali kerana bakat dan bukan bersandarkan paras rupa semata-mata.

Baru menginjak ke usia 24 tahun si jelita ini nyata tidak mudah lupa diri dalam bidang yang diceburinya hampir dua tahun lalu biarpun dia sedang menempa populariti hari demi hari.

Bagi Ayu, dia kini semakin bebas tanpa dibayangi populariti kakaknya sendiri, Rozita Che Wan. Dulu pernah melata kisah kononnya Rozita mencuri tumpuan Ayu sedangkan Ayu yang dulu menerjah industri lakonan.

Tidak pernah berkecil hati dengan perkara yang terjadi kerana bagi gadis kelahiran negeri Jelapang Padi, Kedah Darul Aman ini, tiada apa yang perlu dicemburukan kerana Rozita bukan orang asing malah kakaknya itu punya figura tersendiri sebagai seorang pelakon.

Bawa watak penggoda

Banyak membawakan gadis yang naif dalam drama yang lakonannya, Ayu mengakui keadaan tersebut kerana menurutnya pengarah sendiri pernah berkata wajahnya kurang sesuai untuk membawakan watak antagonis namun segalanya berubah apabila dia mendapat tawaran membawakan watak penggoda.

"Ayu akui memang banyak sangat dapat pegang watak gadis yang baik dan lemah-lembut saja tapi kali ini Ayu berpeluang berlakon sebuah drama tajuk dia Bila Syaitan Berbisik di mana dalam drama tu Ayu dapat bawakan watak seorang wanita penggoda yang sangat jahat dan dia sanggup buat apa saja sebab nak kaya.

"Dalam cerita ini, Ayu bawak watak seorang budak perempuan kampung yang miskin tapi dia sanggup lakukan apa saja untuk jadi kaya hingga sanggup goda dan kahwin dengan kawan ayah dia semata-mata nakkan harta," kata Ayu yang baru sahaja habis shooting drama Sebelum Menutup Mata untuk slot cerekarama.

Drama yang bakal disiarkan di TV2, turut dibintangi oleh Remy Ishak, Dian P.Ramlee, Datuk Jalalludin Hasan dan Hafizuddin ini akan ditayangkan pada bulan Februari depan.

"Ayu suka bawa watak dalam drama ini kerana sangat berbeza dengan karekter yang pernah Ayu bawak sebelum ini. Ayu dapat rasakan kepuasan dalam lakonan Ayu," ujarnya yang baru sahaja menjadi duta produk kecantikan kulit, Gina selama setahun.

Selain daripada itu Ayu juga bakal berlakon dalam sebuah filem pendek, Aku dan Sesuatu yang diadaptasi daripada buku Aku Dalam Blues, arahan, Abg Roy (Harun Suhaimi).

"Filem berdurasi 15-20minit akan ditayangkan di saluran berbayar Astro dan lokasi penggambaran bagi filem ini adalah sekitar ibu kota, Kuala Lumpur," katanya yang bakal membawakan watak Khatijah dalam filem pendek itu nanti.

Mengenai filem gadis manis ini mengakui dia turut menerima tawaran daripada beberapa orang pengarah namun semuanya masih diperingkat pertimbangan lagi.

"Jadual saya packed sangat. Ni bila masuk tahun baru ada kelapangan sikit. Ada dapat tawaran berlakon filem seram, masih tengah mempertimbangkan mengikut jadual," ujarnya.

Hubungan cinta dengan Pekin

Ditanya mengenai kisah pertunangan dengan bekas kekasihnya yang juga seorang pelakon, Pekin, Ayu hanya tergelak pada mulanya.

"Saya dengan dia ok je. Ya Allah yang berita tentang bertunang tu memang saya tak tahu menahu langsung. Terkejut juga sebab masa tu saya shootingdi Kuang, Selangor tapi tiba-tiba penolong pengarah kata, dah nak bertunang dah ye?

"Kami tak pernah declare apa-apa pun sebelum ini dan memang tak ada pun berita tentang bertunang ni tup-tup keluar cerita bertunang. Mula-mula dengar saya rasa kelakar sangat masa tu sebab memang tak ada apa-apa perancangan nak bertunang dan saya pun tak tahu macam mana boleh keluar cerita macam ini," tuturnya jujur.

Diajukan soalan apakah status hubungan dengan bekas buah hatinya pada ketika ini, Ayu dengan tenang berkata, hubungan mereka sebagai pasangan kekasih memang sudah putus sejak setahun yang lalu.

"Kami memang dah putus tapi masih berkawan baik cuma tak rapat macam dulu. Kami masih berjumpa bila ada kelapangan, tetapi sebagai seorang kawan kerana tiada persengketaan antara kami berdua.

"Namun ingin saya tegaskan buat masa ini memang saya tak ada perancangan untuk mengikat tali pertunangan sepeti yang diheboh-hebohkan itu.

"Tapi kalau sudah jodoh saya terima ketentuan-Nya," ujar Ayu tanpa berselindung.

Mengakui senang berkawan dengan Pekin kerana jejaka itu seorang yang suka berterus-terang dan banyak memberinya dorongan dalam kerjaya dan kehidupannya sebelum ini.

Menurut Ayu dia mengenali Pekin sejak berusia 18 tahun ketika jejaka tinggi lampai itu masih bergelar penyanyi berkumpulan.

"Saya selalu minta pandangan daripada dia, saya suka kawan dengan dia, sebab dia tak control machodan tak hipokrit. Orangnya sempoi sahaja," ujar Ayu tentang bekas kekasihnya itu.

Ditanya mengapa perhubungan yang dibina selama lima tahun itu terlerai begitu sahaja, Ayu dengan selamba memberitahu hubungan mereka mungkin sudah terlalu lama dan mereka ingin berehat sebentar.

"Keluarga Ayu dan Pekin memang saling mengenali antara satu sama lain. Keluarga saya pun pernah menemui keluarga Pekin di Kelantan, masa saya ada penggambaran sebuah drama di sana dua tahun yang lalu.

"Mungkin ada yang melihat kami sekarang berjumpa kot..itu yang ingat kami bericnta semula," ujar gadis yang berasal dari Alor Setar, Kedah ini.

Ditanya apakah kriteria lelaki idamannya nyata gadis jelita ini tidak memilih orangnya.

"Ayu tak ada kriteria tertentu. Jika Ayu suka dia dan dia pun suka saya dah cukup. Ayu tak kisah as long asdia faham kerjaya Ayu. Family Ayu pun tak kisah mereka rileksje, dan terima je pilihan Ayu.

"Sebenarnya perancangan Ayu memang nak kahwin muda. Kalau boleh dulu nak sangat kahwin masa umur 21 tahun lagi dulu. Ayu tak kisah kahwin bila-bila pun sebab Ayu rasa umur 24 ni pun rasanya dah tua.

"Masa tak berlakon dulu la. Sebab masa tu fikir nak jadi suri rumah tangga tapi bila dah jadi berlakon tapi bila dah berlakon dah lain.

"Ayu pun tak takut populariti nak jatuh ke apa bila dah kahwin sebab yang penting Ayu akan tetap berlakon jika peminat masih terima Ayu, ujarnya Ayu yang pernah membintangi drama bersiri Sutera Maya.

Nafi Rozita kahwin Datuk

Tergelak ketika diajukan soalan mengenai berita perkahwinan kakaknya itu.

"Mana ada yang nak kahwin bukan kak Rozita tapi kak saya yang atas Rozita, nama dia Rohaiza.

Ditanya sumber-sumber sahih mengatakan kakaknya bakal mengakhiri zaman jandanya dengan seorang Datuk, Ayu berkata:

"Sahih mana berita tu. Takkan berita nak Kak Rozita kahwin, adik-beradik tak tahu kot? Hari-hari jumpa kat rumah tapi tak ada pula Kak Rozita cerita apa-apa."

"Kadang-kadang bila baca akhbar kami tergelak sama-sama, saya rasa mungkin mereka silap faham sebab ada adik beradik kami yang lain nak kahwin, tapi mereka (wartawan) ingat kami yang nak kahwin.

”Dulu masa Rubytah nak kahwin dengan Lan Pet-pet pun macam tu, ramai yang ingat saya yang nak kahwin dengan Lan," kata Ayu sambil ketawa.

Pada masa yang sama Ayu turut bertegas bahawa kakaknya itu tidak pernah mempunyai hubungan dengan suami Datuk CT Nurhaliza, Datuk K dan mereka sememangnya tidak mengenali antara stu sama lain.

"Tak ada kena-mengena dan tak betu langsung berita tu. Mereka memang tak pernah kenal sebab Kak Rozita tahu pasal dia (Datuk K) pun melalui media saja dan mereka tak pernah jumpa langsung. Masa keluar cerita tu terkejut sangat kami adik-beradik sebab Kak Rozita lepas habis kerja saja dia memang jarang keluar dia lebih suka terus balik ke rumah," tegas Ayu.

Azam tahun 2009

"Harapan untuk tahun 2009 ini, Ayu nak bekerja keras dan peminat boleh terima kehadiran Ayu sebagai pelakon, sebab Ayu memang serius dalam bidang ini.

"So far nak berlakon dulu tapi memang ada perancangan nak bukak butik sebab adik-beradik Ayu semua suka menjahit. Kalau ada rezeki Insya-Allah kami akan buka butik dan jadikannya perniagaan keluarga," kata Ayu yang merupakan anak ketujuh daripada lapan adik beradik ini.

Ditanya adakah kegawatan ekonomi yang melanda negara ini memberi kesan kepada karier lakonannya, Ayu berkata:

"Kegawatan ekonomi tak effect karier lakonan Ayu. Makin banyak tawaran ada la, sebab walaupun gawat orang tetap nak tengok TV."

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Bapa Nubhan AF6 meninggal dunia

Artikel Lain