suria

Makyung Raja Besar Senyanya kekalkan keaslian makyung

Pelakon utama Raja Besar Senyanya, Rosnan Rahman inginkan makyung menjadi sebutan ramai -foto The Star oleh DARRAN TAN.
Pelakon utama Raja Besar Senyanya, Rosnan Rahman inginkan makyung menjadi sebutan ramai -foto The Star oleh DARRAN TAN.
Pelakon utama Raja Besar Senyanya, Rosnan Rahman inginkan makyung menjadi sebutan ramai -foto The Star oleh DARRAN TAN.

BIARPUN Makyung Raja Besar Senyanya dilihat seperti mencampur adukkan bahasa Melayu ‘moden’ dan sedikit bahasa Inggeris sebagai bahan lawak di dalam bahasa Melayu ‘klasik’ dengan loghat Kelantan yang tidak semua para pelakon boleh menguasainya, namun sekurang-kurangnya persembahan ini masih mengekalkan keaslian seperti yang terdapat di dalam makyung.

Mungkin inilah yang dikatakan sedikit pembaharuan yang dibuat dalam persembahan makyung dari tahun ke tahun memandangkan pendekatan tersebut boleh dikatakan sebagai daya penarik agar persembahan yang dilakukan tidak terlalu nampak serius dan ketinggalan zaman.

Dengan memasukkan sedikit unsur-unsur baru seperti yang terdapat di dalam Makyung Raja Besar Senyanya, ia memberikan petanda positif kepada generasi baru untuk menerima persembahan yang biasanya diminati oleh golongan aristokrat ini.

Bagi penulis, kekuatan persembahan ini bergantung kepada lawak dan susun atur ceritanya di mana Makyung Raja Besar Senyanya mempunyai graf penceritaan turun naik.

Graf penceritaan itu menunjukkan perjalanan cerita yang adakalanya sedikit membosankan dan adakalanya menghiburkan.

Apa yang penulis boleh katakan, nikmat menonton cerita persembahan Makyung Raja Besar Senyanya akan berubah pada setiap 30 minit.

Kadangkala momentum penceritaannya juga bergerak lambat dan dirasakan seperti 30 minit walaupun durasi babak tersebut berlalu dalam masa 10 minit sahaja.

Hal ini juga turut dibantu oleh pemuzik dari Istana Budaya yang mengalunkan lagu-lagu mengikut rentak cerita itu. Jika ceritanya sedih, maka muziknya juga akan mendayu-dayu mengikut perasaan sedih pelakon.

Mereka yang telah menyemarakkan muzik makyung itu adalah Asrol Amri Mohamad, Mohd. Nawi Jusoh, Mohd. Nasrul Yahya, Abd. Wahab Othman, Mohd. Dahari Che Seman, Che Fauzi Che Abdullah, Ibrahim Senik dan Ahmad Razli Ayub.

Antara alat-alat muzik asas yang menghidupkan persembahan makyung ini adalah rebab, gendang ibu, gendang anak dan sepasang tetawak (gong) manakala untuk adegan tertentu, alat-alat muzik Wayang Kulit Kelantan seperti serunai, sepasang geduk, sepasang gedombak, sepasang canang dan kesi turut digunakan.

Sementara itu, antara lagu-lagu yang lazim dimainkan dalam makyung adalah Mengadap Rebab, Kijang Mas, Sindong, Sedayong, lagu barat (Barat Anjur, Kisah Barat, Barat Cepat dan Gunung Barat), Mengulek dan Mengambo.

Apa yang penulis perasan, watak peran juga memainkan peranan penting dalam persembahan makyung.

(Peran- Terdapat beberapa orang peran atau pelawak dalam cerita makyung. Peran tua biasanya memegang watak yang lebih penting daripada peran-peran lain dan bertindak sebagai orang suruhan raja. Lain-lain peran adalah watak kelakar.)

Jika seseorang peran itu tidak fokus dan lambat menangkap percakapan watak lain, sesebuah persembahan itu mungkin akan menjadi kurang menarik.

Ini kerana, setiap butir dialog oleh watak utama makyung seperti peran ini diluahkan secara spontan dan akan bertukar-tukar setiap kali persembahan. Ini bermakna jika lima malam pementasan makyung dilakukan, kemungkinan lima kali dialog yang berbeza-beza juga akan didengari oleh penonton.

Di dalam Makyung Raja Besar Senyanya, pujian harus diberikan kepada Peran Tua dan Peran Muda yang dilakonkan oleh Romli Abdullah dan Muhammad Md. Noor kerana berjaya menghiburkan penonton dengan telatah spontan mereka yang kadangkala melucukan.

Jika tidak, sudah pasti pementasan selama 2 jam 15 minit itu akan menjadi bosan.

Kreatif

Salah satu keistimewaan ataupun tarikan yang terkandung di dalam Makyung Raja Besar Senyanya ini adalah tidak menggunakan props sebenar untuk menyampaikan penceritaan.

Menurut pengarah dan penasihat Fatimah Abdullah atau lebih mesra dengan gelaran Asmah, melalui props yang sedia ada di dalam makyung ini seperti kain, golok dan rotan, para pelakon masih boleh menyampaikan cerita dengan baik.

“Di dalam Makyung Raja Besar Senyanya, para pelakon tidak menggunakan props yang sebenar. Misalnya, rotan dan kain boleh menjadi simbol payung.

“Dengan meletakkan kain di atas rotan, orang sudah boleh faham yang itu adalah payung. Kita buat seperti kumpulan makyung dulu-dulu lakukan.

“Selain props-props ini, kekuatan cerita juga bergantung kepada pelakon yang meliputi lakonan dan tarian mengikut irama muzik termasuk bantuan pencahayaan.

“Kita tak mahu masukkan budaya luar dengan set yang banyak kerana persembahan ini merupakan tradisional yang melibatkan tinggalan orang lama.

“Makyung Raja Besar Senyanya masih mengikut sastera makyung,” ujar Asmah yang kali ketiga terlibat dengan persembahan makyung di Istana budaya.

Kata Asmah, Makyung Raja Besar Senyanya merupakan sambungan daripada Makyung Endeng Tejali.

Selepas Makyung Raja Besar Senyanya ini, ia akan disambung dengan makyung yang mengisahkan perjalanan Anak Raja Gondang.

“Jadi, penonton kena datang menonton setiap persembahan makyung ini kerana ia bersiri-siri,” tambah Asmah, 50, yang mewarisi bakat makyung oleh bapanya, Abdullah Awang atau Abdullah Supar.

Bapanya merupakan pemain utama persembahan makyung dan turut membantu pengkaji budaya Tan Sri Mubin Sheppard di dalam menyediakan Siri Kajian Cerita Makyung.

Pada tahun 1969, Asmah turut terlibat di dalam pengambaran makyung bagi kanak-kanak negeri Kelantan dalam cerita ‘Anak Raja Gondang’ bersama kumpulan Makyung Mak Aji.

Mulai usia 10 tahun, beliau mula mengikuti persembahan makyung termasuklah pada tahun 1972, beliau bersama kumpulan Sri Temenggung mengadakan persembahan di Istana Kota Lama dalam cerita ‘Raja Indera Dewa’.

Teater tradisional ini telah membawa beliau mengadakan persembahan di Istana Raja Thai, Bangkok, persembahan Di Raja di Istana Negara dan hampir ke seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Kebolehan beliau turut diakui apabila dilantik sebagai pengajar gerak tari makyung bagi Kumpulan Kesenian DBKL, Kumpulan Seni Persembahan Petronas dan banyak lagi.

Beliau kini sebagai tenaga pengajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) bagi kursus amali Makyung.

Rosnan Rahman mahu makyung jadi sebutan ramai

Pelakon utamanya yang memegang watak Raja Besar Senyanya, Rosnan Rahman, berkata beliau sebolehnya inginkan makyung menjadi sebutan ramai.

“Kita akan cuba tanamkan minat kepada semua melalui bantuan badan kerajaan seperti UNESCO melalui kumpulan makyung di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan lain-lain institut pengajian tinggi.

“Kemudian, terpulang kepada mereka sama ada hendak menyambung warisan ini ke peringkat lebih tinggi atau tidak.

“Kalau mereka boleh membuatkan makyung menjadi sebutan ramai pun sudah cukup baik.

“Jadi, untuk itu, kami akan cuba untuk mengadakan lima hingga enam persembahan pada setiap tahun di seluruh Malaysia.

“Makyung tak boleh berhenti sebab takut terlupa loghat sehingga tersasul. Kebanyakan pelakon makyung bukan semuanya adalah orang Kelantan,” kata Rosnan yang berasal dari Pokok Sena, Kedah.

Bagaimanapun, penguasaan loghat Kelantan boleh dikatakan cukup baik dan mungkin tidak menyangka yang beliau adalah orang Kedah.

“Penguasaan loghat Kelantan saya dibantu oleh pergaulan saya saya dengan orang Kelantan dan latihan dari semasa ke semasa dengan mak angkat selaku guru saya iaitu Fatimah Abdullah.

“Mula-mula ‘pelat’ juga tetapi lama-kelamaan, saya semakin selesa dengan loghat ini walaupun saya bukan berasal dari negeri Kelantan.

“Tetapi, saya perlu fokus dan sentiasa menangkap percakapan orang yang saya berbalas cakap itu kerana semua dialog yang kami keluarkan secara spontan,” ulas Rosnan yang menganggotai kumpulan Makyung Seri Nilam.

Beliau sentiasa bergiat aktif dengan ahli kumpulannya yang lain dengan membuat pementasan makyung kerana rasa tanggungjawab beliau untuk mengangkat semula makyung di mata dunia.

Kata Rosnan dengan penuh semangat: “Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.”.

Beliau berkelulusan dalam Ijazah Sarjana Muda Sains Senibina dari USM. Minat yang mendalam dalam bidang seni persembahan menyebabkan beliau melupakan terus cita-citanya untuk menjadi seorang arkitek.

Beliau pernah menjadi artis budaya sambilan dengan Badan Kesenian Negeri Kedah dan telah membawa beliau menjelajah ke beberapa negara mengadakan persembahan untuk festival-festival kesenian di luar negara.

Beberapa produksi teater dan tari tempatan yang pernah beliau terlibat antaranya ialah Makyung Endeng Tajeli (2007 & 2008), Teater Patung Kertas (2008), Monodrama Rebab Berbisik (2008), dan Makyung Dewa Indera Indera Dewa (2006).

Beliau juga berpengalaman menguruskan produksi untuk persembahan teater dari luar negara seperti FAME The Musical, Sound Of Music, Cats dan Saturday Night Fever di Istana Budaya.

Selain Rosnan, Makyung Raja Besar Senyanya turut dibintangi oleh Norsiah Mohd. Yatim sebagai Puteri Gak Petera, Samsuraya Sulaiman (Anak Raja Gondang), Romli Abdullah (Peran Tua), Muhammad Md. Noor (Peran Muda), Roslan Harun (Wak Jura Pemikat), Mohd. Nizam Elias (Wak Petanda Raja), Barat anak Enchan (Wak Pakir Jenang), Abdul Malek Osman dan Zamri Mohamad (Anak-anak Mak Inang).

Persembahan ini berkisar kepada kisah Raja Besar Senyanya, ayahanda anak Raja Gondang yang kecewa apabila dikurniakan putera dengan rupa siput gondang.

Beliau yang marah dengan kejadian tersebut menghalau permaisurinya dengan tuduhan bahawa permaisurinya berlaku curang.

Saksikan Makyung Raja Besar Senyanya mulai hari ini, 9 Januari, selama tiga hari berturut-turut, pukul 8.30 malam di Lambang Sari, Istana Budaya

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Bapa Nubhan AF6 meninggal dunia

Artikel Lain