suria

Rem tunggu masa buat 'comeback'

Rem bakal muncul dengan single terbaru pada awal bulan Mac ini. Foto The Star Oleh:NURUL AIN MOHD.HUSSAIN
 Rem bakal muncul dengan single terbaru pada awal bulan Mac ini. Foto The Star Oleh:NURUL AIN MOHD.HUSSAIN
Rem bakal muncul dengan single terbaru pada awal bulan Mac ini. Foto The Star Oleh:NURUL AIN MOHD.HUSSAIN

SEPI tanpa berita daripada sebarang album baru bukan bermakna penyanyi yang popular dengan lagu Selingkar Kasih, Ramzani Kassim atau Rem mengucapkan selamat tinggal kepada bidang nyanyian.

Sebaliknya, Rem yang berasal dari Sibu, Sarawak yang cukup dikenali dengan kelantangan vokal dan irama lagunya yang menyentuh perasaan menunggu masa sesuai untuk membuat kemunculan semula.

Ketika diajukan soalan ke mana Rem menyepi selama ini, nyata jejaka kelahiran bumi Kenyalang ini dengan tenang berkata dia tidak pernah 'menghilangkan diri', namun mengakui cerita mengenai dirinya agak kurang dipaparkan di media cetak.

"Saya tidak menyepi atau, menghilangkan diri, jauh sekali merajuk. Saya masih ada di KL. Kadang-kadang tu ada juga muncul di kaca televisyen dan majalah.

“Sebaliknya saya masih aktif memenuhi persembahan pentas dan program korporat. Bidang seni memang sudah sebati dalam hidup saya. Inilah kerja yang saya lakukan.

"Pada saya ada baiknya apabila bercerita mengenai perkembangan bidang seni daripada perkara lain. Justeru, biar tidak ada berita atau promosi mengenai saya asalkan perjalanan seni saya tetap berterusan.

“Bukan apa, saya ni memang jenis yang tak suka keluar dalam surat khabar ke majalah kalau tak ada cerita baru yang nak dikongsi bersama peminat-peminat saya. Dan saya memang macam ni dari dulu lagi.

“Saya menyepi pun kerana sibuk mengusahakan perniagaan makanan di kampung saya di Sarawak pada masa yang sama,” ujar Rem memulakan bicara.

Sibuk dengan pembikinan album

Rem yang pernah memenangi anugerah Artis Baru Lelaki Terbaik Anugerah Industri Muzik (AIM) 1998 kini merancang tampil dengan single terbaru bagi mengubat kerinduan peminat yang kerap bertanya mengenai lagu terbarunya.

"Setakat ini, saya sudah mempunyai bahan untuk dipilih sebagai lagu single dan ada di antaranya ciptaan saya sendiri. Hampir 80 peratus bahan dari segi lirik dan melodi sudah ada namun masih terdapat beberapa kepincangan.

"Untuk single ini saya turut mendapat panduan dan bantuan daripada beberapa komposer ternama tempatan seperti Hazami," katanya.

Menurut Rem, satu yang istimewa dalam album terbarunya itu, ia bakal menampilkan kelainan apabila dia sendiri telah mencipta lagu Rintihan Ku, di mana liriknya ditulis oleh Hazami.

Jelas Rem lagi, album baru itu nanti akan mengekalkan konsep Pop Rock sebagai memenuhi kehendak peminat yang suka dirinya kekal dengan konsep sedemikian.

“Begitupun, saya belum membuat keputusan muktamad mengenai lagu yang akan diketengahkan. Jika tiada sebarang masalah, album single ini dijangka siap Jun tahun ini.

“Namun single pertama, bertajuk Selalu Ada ciptaan Hazami sepenuhnya akan keluar paling lewat penghujung Februari atau awal bulan Mac,” ujar Rem ceria.

Syukur masih diterima peminat

Mengulas perjalanan seninya, selepas tampil menerusi album Satu Suara tiga tahun lalu, pemilik vokal lantang ini berharap peminat masih terus menyokongnya.

"Saya bersyukur kerana ada peminat yang menantikan persembahan malah ada pula yang bertanya mengenai album dan lagu baru.

“Album ini penting untuk karier saya dan ramai peminat yang bertanya mengenai album saya. Saya harap peminat dan masyarakat boleh terima konsep album ini.

"Penampilan ini diharap mengubat rindu peminat yang sentiasa menyokong saya dalam industri hiburan tanah air," katanya. Nasihat untuk artis baru

Pernah bergelar artis baru terbaik dalam Anugerah Industri Muzik `98, Rem sempat menitipkan nasihat untuk artis-artis baru.

Katanya, untuk bergelar artis yang mampu diterima di segenap lapisan zaman, mereka perlu percaya kepada diri sendiri di samping tidak lupa akan asal-usul.

Rem dan perkahwinan

Sementara itu, Rem turut ditanya mengenai rancangan menamatkan zaman solonya.

Kata Rem, berdasarkan perancangannya dia bakal mendirikan rumah tangga pada hujung tahun ini.

"Calon memang sudah ada. Kalau ada rezeki, saya akan kahwin juga,'' katanya ringkas.

Artikel Lain