Barisan tenaga pengajar dan pengacara Akademi Fantasia musim ke-7 - foto THE STAR oleh LOW LAY PHON[SEMASA] KUALA LUMPUR: Spekulasi ramai yang mengatakan pengacara sensasi Aznil Nawawi bakal kembali menjadi hos konsert mingguan Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) nampaknya tidak tepat apabila pelakon dan pengacara, AC Mizal terus diberi tanggungjawab itu sekali lagi bagi mengendalikan program realiti popular itu.Selain AC, Sarimah Ibrahim juga masih kekal sebagai hos bagi program Diari Akademi Fantasia dan sebuah segmen AF baru iaitu, Diari INT AF. AC ketika diminta mengulas tentang pemilihannya sekali lagi tahun ini berkata, peluang yang terus diberikan oleh Astro bagi menerajui AF7 akan diguna sebaik mungkin untuk memperbaiki kelemahannya ketika mengendalikan AF6 dulu."Saya sedar tentang spekulasi yang mengatakan Aznil mungkin kembali sebagai hos program ini. Malah, saya dan Aznil ada menghubungi antara satu sama lain dan bercakap tentang perkara ini dulu."Sejujurnya, saya tidak begitu risau dengan spekulasi yang timbul. Bagi saya, tidak kiralah Aznil atau pun saya kerana masing-masing ada cara tersendiri."Aznil memang tidak boleh lari dari sejarah AF lagi, tetapi peluang yang saya dapat sekali lagi ini akan saya gunakan untuk terus berkongsi pengalaman dengan pelajar-pelajar AF7 seperti saya lakukan tahun lalu."Tidak kiralah siapapun pengacara kerana apa yang penting dalam AF ialah pelajar-pelajarnya," kata AC pada sidang media khas di Hotel Mandarin Oriental, di sini, hari ini.Turut diperkenalkan pada sidang media itu ialah barisan tenaga pengajar bagi musim terbaru AF ini.Selain mengekalkan Siti Hajar Ismail sebagai guru vokal persembahan, Fatimah Abu Bakar selaku guru motivasi dan Bahasa Inggeris serta Syafizawati Sharif sebagai guru vokal teknikal, tiga tenaga pengajar baru turut dipilih iaitu pelakon Ida Nerina sebagai guru lakonan, A.Aris Kadir yang mengambil alih tugas Linda Jasmine selama enam musim sebagai koreografer serta Hashridz Murshim atau Acis selaku Pengarah Muzik.Bagaimanapun, desas-desus yang mengatakan penyanyi tersohor dan juga isteri kepada Acis, Datuk Sheila Majid bakal dilantik sebagai Pengetua AF7 masih belum disahkan oleh pihak Astro yang hanya akan mengumumkan perkara itu tidak lama lagi."Buat masa ini, kami belum bersedia untuk mengumumkan tentang Pengetua AF7. Kami sebenarnya masih di dalam peringkat perbincangan dan masih meneliti senarai calon untuk jawatan itu."Kami mahu memilih Pengetua yang mampu memberikan komitmen sepenuhnya terhadap tugas tersebut dan akan terlibat dengan program ini sepenuh masa," ujar Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan pada sidang media itu di Hotel Mandarin Oriental, hari ini.Mengulas mengenai gandingan tenaga pengajar baru dan lama untuk musim baru yang akan memulakan konsert mingguan pertamanya pada 14 Mac depan, kata Khairul, dia yakin kombinasi tersebut mampu memehuhi 'tagline' AF7 iaitu "satu transformasi akan berlaku"."Selama enam musim AF bersiaran, kami amat menitikberatkan soal pemilihan barisan tenaga pengajar kerana kami percaya mereka merupakan tulang belakang utama dalam melahirkan bintang AF."Kami harap, gandingan tenaga pengajar baru dan lama ini dapat memberikan impak yang paling bermakna buat para pelajar AF musim baru ini," kata Khairul.