suria

AF7 masih 'simpan' jawatan Pengetua

Barisan tenaga pengajar dan pengacara Akademi Fantasia musim ke-7 - foto THE STAR oleh LOW LAY PHON
Barisan tenaga pengajar dan pengacara Akademi Fantasia musim ke-7 - foto THE STAR oleh LOW LAY PHON
Barisan tenaga pengajar dan pengacara Akademi Fantasia musim ke-7 - foto THE STAR oleh LOW LAY PHON

KEHANGATAN Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) makin mula dirasai. Nampaknya pemilihan sekali lagi pelakon dan pengacara popular, Ac Mizal sebagai hos AF7 telah menamatkan spekulasi ramai yang mengatakan pengacara sensasi Aznil Nawawi bakal kembali mengendalikan program realiti popular itu.

Bukan saja AC, malah Sarimah Ibrahim juga masih kekal sebagai hos bagi program Diari Akademi Fantasia dan sebuah segmen AF baru iaitu, Diari INT AF. Semua barisan tenaga pengajar juga sudah diumumkan pada sidang media khas, semalam.

Selain mengekalkan Siti Hajar Ismail sebagai guru vokal persembahan, Fatimah Abu Bakar selaku guru motivasi dan Bahasa Inggeris serta Syafizawati Sharif sebagai guru vokal teknikal, tiga tenaga pengajar baru turut dipilih iaitu pelakon Ida Nerina sebagai guru lakonan, A.Aris Kadir yang mengambil alih tugas Linda Jasmine selama enam musim sebagai koreografer serta Hashridz Murshim atau Acis selaku Pengarah Muzik.

Bagaimanapun, desas-desus yang mengatakan penyanyi tersohor dan juga isteri kepada Acis, Datuk Sheila Majid bakal dilantik sebagai Pengetua AF7 masih belum disahkan oleh pihak Astro yang hanya akan mengumumkan perkara itu tidak lama lagi.

"Buat masa ini, kami belum bersedia untuk mengumumkan tentang Pengetua AF7. Kami sebenarnya masih di dalam peringkat perbincangan dan masih meneliti senarai calon untuk jawatan itu.

"Kami mahu memilih Pengetua yang mampu memberikan komitmen sepenuhnya terhadap tugas tersebut dan akan terlibat dengan program ini sepenuh masa," ujar Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan pada sidang media itu di Hotel Mandarin Oriental, hari ini.

Mengulas mengenai gandingan tenaga pengajar baru dan lama untuk musim baru yang akan memulakan konsert mingguan pertamanya pada 14 Mac depan, kata Khairul, dia yakin kombinasi tersebut mampu memehuhi 'tagline' AF7 iaitu "satu transformasi akan berlaku".

"Selama enam musim AF bersiaran, kami amat menitikberatkan soal pemilihan barisan tenaga pengajar kerana kami percaya mereka merupakan tulang belakang utama dalam melahirkan bintang AF.

"Kami harap, gandingan tenaga pengajar baru dan lama ini dapat memberikan impak yang paling bermakna buat para pelajar AF musim baru ini," kata Khairul.

Pemilihan Ida dan Acis sebagai dua muka baru tenaga pengajar musim ini bagaimanapun dilihat bukan satu 'kejutan' memandangkan masing-masing mempunyai pengaruh tersendiri di dalam bidang yang mereka ceburi.

Namun begitu, pemilihan Aris sebagai koreografer mengambil alih tempat Linda yang sudah enam musim bersama AF menimbulkan sedikit tanda-tanya pihak media sama ada Linda digugurkan atau sebaliknya.

"Isu ini sepatutnya tidak perlu timbul. Kami rasa gandingan tenaga pengajar baru dan lama akan dapat menampilkan kelainan kepada AF musim ini. Setiap musim kami memang akan cuba memberikan kelainan tersendiri.

"Bagi kami, Aris juga adalah seorang pereka tari yang bagus. Dengan adanya 'wajah' baru sepertinya, lebih banyak ilmu baru yang akan diperoleh oleh pelajar-pelajar kelak," kata Khairul yang menambah akan mengumumkan pelajar-pelajar AF7 yang terpilih tidak lama lagi.

Ditanya mengenai 'transformasi' yang diharapkan oleh pihak penerbitan kali ini, ujar Khairul, AF musim baru ini diharap mampu meninggalkan kesan yang lebih hebat bukan saja dari aspek kualiti pelajar, tetapi penonton juga.

"Setiap individu yang menyaksikan AF sejak musim pertama lagi memang mempunyai 'kesan' tersendiri. Walaupun musim tersebut tamat, tetapi 'hype' yang diperoleh oleh AF tetap berterusan. Orang masih terus bercakap tentang AF.

"Itulah salah satu trasformasi yang berlaku kepada penonton kita. Malah, setiap musim, kami mendapat rating yang baik walaupun ada kritikan yang singgah," kata Khairul.

Malah, tambahnya lagi, Astro turut menjanjikan platform yang baik buat pelajar-pelajar kali ini mempamerkan bakat dan kebolehan masing-masing agar nasib mereka kelak tidak 'terbiar' begitu saja sehingga mampu menjurus kepada kejadian seperti yang sedang menimpa bekas peserta AF2, Mas.

"Mereka perlu bekerja keras. AF sudah menyediakan platform yang mudah untuk mereka menyerlah di dalam bidang ini, tetapi mereka sendiri perlu memainkan peranan dan lakukan sesuatu untuk terus berjaya di persada seni ini," katanya.

Komen

AC Mizal

"Saya sedar tentang spekulasi yang mengatakan Aznil mungkin kembali sebagai hos program ini. Malah, saya dan Aznil ada menghubungi antara satu sama lain dan bercakap tentang perkara ini dulu. Sejujurnya, saya tidak begitu risau dengan spekulasi yang timbul. Bagi saya, tidak kiralah Aznil atau pun saya kerana masing-masing ada cara tersendiri.

"Aznil memang tidak boleh lari dari sejarah AF lagi, tetapi peluang yang saya dapat sekali lagi ini akan saya gunakan untuk terus berkongsi pengalaman dengan pelajar-pelajar AF7 seperti saya lakukan tahun lalu. Tidak kiralah siapapun pengacara kerana apa yang penting dalam AF ialah pelajar-pelajarnya."

Sarimah Ibrahim

"Saya rasa tanggungjawab saya memang semakin besar. Bersesuaian dengan tagline, saya sebagai hos juga perlu membuat transformasi untuk musim baru ini."

Syafizawati Sharif

"Sebelum saya sediakan 'syllabus', saya kena lihat dulu tahap pelajar-pelajar itu nanti. Buat masa ini, saya tidak tahu lagi siapa pelajar-pelajar yang terlibat, jadi sukar untuk saya bercakap tentang persediaan saya. Tetapi, seperti musim terdahulu, saya berharap mampu berikan yang terbaik buat mereka.

Fatimah Abu Bakar

"Saya tidak sabar untuk melihat pelajar-pelajar tahun ini. 'I'm looking forward to have fun with them'. Saya perlu melihat tahap tenaga mereka dan mengukur tahap kebolehan Bahasa Inggeris masing-masing."

Ida Nerina

"Ini adalah kali pertama saya terlibat di belakang tabir dalam program realiti. Saya memang cukup teruja untuk mencari bakat-bakat baru. Mungkin ketika saya terlibat pada 'preliminary session' sejaka beberapa tahun lalu, pihak Astro nampak yang saya memang berminat dengan usaha mencari bakat baru dan sebab itu mereka tawarkan jawatan ini kepada saya.

"Sejujurnya, saya melihat AF sebagai satu platform yang baik untuk mereka yang 'lapar', maksudnya mereka yang mempunyai bakat tetapi tidak ada medium untuk tonjolkan bakat mereka."

Acis

"Saya memang gementar sebenarnya apatah lagi inilah pembabitan pertama saya dalam program seperti ini. Sebagai pengarah muzik, saya akan cuba buat susunan lagu nanti mengikut kesesuaian pelajar-pelajar tersebut. Dan sepanjang berlangsung konsert mingguan itu, kita akan gunakan 'live band' yang mana seramai lima pemuzik akan terlibat."

A.Aris Kadir

"Saya sedar mungkin ada yang akan membuat perbandingan antara saya dan Linda Jasmine. Kami mempunyai pendekatan yang berbeza. Saya akui, ini adalah pendedahan pertama saya di dalam program seperti ini. Sebelum ini, saya lebih banyak terlibat dengan produksi teater.

"Tetapi sebagai orang baru, saya akan cuba berbincang dengan tenaga pengajar yang lain meskipun kami berbeza tugas."

Siti Hajar

"Saya sebenarnya berdebar untuk buat persediaan bagi 'transformasi' yang pihak penerbitan mahukan. Seperti biasa, saya akan cuba berkongsi ilmu dengan mereka sebaik mungkin."

Artikel Sebelum

Artikel Lain