Amy Search tidak menganggap dirinya sudah tidak rock hanya kerana dia menyanyi lagu bersifat keagamaan. -foto The Star oleh AZMAN GHANISEBAIK pulang dari umrah baru-baru ini, penyanyi Amy Search yang terkenal dengan lagu Fantasia Bulan Madu dan Isabella ini mengakui dia lebih senang berada di restoran makanan miliknya yang terletak di Wangsa Maju jika tiada sebarang undangan nyanyian."Jika tiada apa saya lebih suka duduk di kedai dan membantu isteri. Bukan saya menyepikan diri tapi inilah saya jika tiada perkembangan terbaru saya lebih senang bersikap low pofile," ujar Amy yang juga bekas vokalis lagenda rock tanah air, Search. Ramai menyangkakan setelah pulang daripada mengerjakan umrah Amy lebih senang menumpukan perhatian kepada aktiviti bersifat keagamaan sekaligus meninggalkan imej rock yang selama ini dilabelkan kepadanya.Lebih mengiyakan kenyataan tersebut apabila Amy bakal berduet dengan kumpulan nasyid kontemporari Rabbani menyanyikan lagu Mentari Merah di Ufuk Timur pada konsert Malam Maulidurrasul 1430H.Ia ditambah satu lagi persembahan yang bakal dijayakan Amy dalam teater muzikal Sirah Junjugan-Tahajud Cinta musim kedua yang akan diperntaskan pada 9 hingga 22 Mac ini.Amy bakal mendendangkan lagu-lagu berirama nasyid, qasidah dan selawat ketika menjayakan persembahan pada teater itu nanti.Ketika diajukan soalan tersebut kepada ayah kepada pelakon Nabila Huda ini, Amy sekadar mengukir senyuman manis sebelum berkata:"Saya dah tak rock ke? Bagi saya tidak timbul persoalan hanya kerana saya nyanyi lagu bersifat keagamaan ini beri kepuasan yang berbeza."Saya tak kata, menyanyi lagu rock tiada kepuasan, tapi saya rasa sudah tiba masanya kita seimbangkan kedua-duanya. Itu yang terbaik. Saya masih rock cuma gayanya mungkin berbeza," ujar Amy.Tambah lagenda Rock ini, dia teruja untuk membuat persembahan pada majlis yang istimewa terutamanya, sempena Maulidurrasul ini."Peluang sebegini memang satu pengalaman baru dan kepuasan yang kita peroleh juga berbeza."Tidak dinafikan lagu-lagu Search sebelum ini pun punya ciri-ciri ketuhanan seperti Meniti Titian Usang, Mentari Merah di Ufuk Timur."Saya tak mahu branding diri dengan genre-genre muzik tertentu, biarlah kita cuba ikut kemampuan."Kita perlu menyesuaikan diri ikut keadaan. Sudah tiba masanya kita didik generasi muda yang suka dengan muzik rock untuk mendengar muzik berciri keagamaan."Ini permulaan yang baru bagi lagu irama nasyid dan kalau kita berjaya mendidik golongan muda dengan muzik, saya yakin mereka tidak akan terpesong dalam mencari hiburan yang sihat."Dalam Islam pun, kita boleh berhibur dan ada batas-batas tertentu yang wajar dititikberatkan," ujar Amy yang bakal mengadakan konsert bersama Search tidak lama lagi.Isteri yang memahamiDitanya mengenai kisah perbadinya, nyata rocker yang bakal berusia 51 tahun ini seorang lelaki romantis.Amy yang juga suami kepada Norhasniza Hassan atau Norish sering menyatakan dirinya bertuah memiliki seorang isteri yang sangat memahami dirinya."Pada usia yang sudah masuk 51 tahun ini, saya tidak dapat bayangkan betapa besarnya cinta Norish buat saya."Jika diukur cinta dan kasih antara lelaki dan wanita, Amy dengan rendah hati mengakui:"Walaupun wanita insan yang lemah, tetapi cinta wanita itu lebih kuat daripada lelaki. Apabila seseorang wanita menyayangi seseorang lelaki, kasihnya akan melimpah-ruah."Dia mengenali Norish ketika hatinya kosong dan baru berpisah dengan bekas isteri ketiganya. Jelas Amy, waktu itu hidupnya tidak menentu dan jiwanya berbelah bahagi untuk menerima cinta yang baru."Berkawan dan bercinta dengan orang muda, sudah tentu banyak dugaannya. Macam-macam orang kata, tapi saya terima itu semua sebagai cabaran, saya laluinya sehinggalah sampai jodoh kami. Saya menikahinya sehingga ke hari ini," kata rockers ini mengimbau kisah lama.Tambahnya lagi: "Pertama kali saya jumpa dia, masa itu majlis hari lahir saya. Peristiwa ini berlaku tujuh tahun lalu. Saya balik ke rumah dan minta kepada Tuhan, ‘kalau wanita ini yang dianugerahkan untuk saya, saya akan terima dan lalui jalan ini dengan sepatutnya."Tekad Amy itu teguh hingga ke hari ini, pasangan yang diceriakan dengan dua cahaya hati ini sudah hampir melangkahi tempoh enam tahun hidup berumahtangga.Lebih menggembirakan Amy, isterinya itu kini juga sedang hamil dua bulan."Saya seorang yang sangat menghormati dan tidak suka mengambil kesempatan terhadap wanita, mungkin sebab itu juga saya jarang digosipkan dengan mana-mana wanita. Apabila saya sukakan seseorang wanita, saya akan mengahwininya."Tentang setia, kesetiaan saya pada isteri sama seperti setianya saya kepada muzik. Saya mencintai muzik saya begitu juga dengan isteri," jawabnya telus.