suria

Nama Senario bakal tercatat dalam Malaysian Book of Records?

Lawak Senario masih diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat.Foto The Star Oleh:NORAFIFI EHSAN
Lawak Senario masih diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat.Foto The Star Oleh:NORAFIFI EHSAN
Lawak Senario masih diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat.Foto The Star Oleh:NORAFIFI EHSAN

DULU nama kumpulan lawak Senario berada di puncak populariti. Selepas itu kemasyhuran mereka dikatakan mulai 'suam-suam kuku', khususnya merujuk kepada sambutan yang kurang memberangsangkan terhadap filem lakonan mereka pada 2006, Senario... Memburu Emas Yamashita.

Namun semua persepsi tersebut terpaksa dibuang ketepi apabila filem pertama mereka bersama Metrowealth Movies, tahun lalu Senario The Movie: Episode 1 berjaya mencatatkan kutipan box office di pawagam dengan kutipan RM2.5 juta.

Ini kerana populariti artis yang bergelar ikon diukur menerusi sambutan terhadap produk-produk yang dihasilkan membabitkan artis terbabit.

Kumpulan Senario tidak terkecuali. Pernah bergelar ikon nombor satu sekitar penghujung 1990-an hingga awal abad ke-21, populariti kumpulan pelawak ini tidak boleh dipertikaikan lagi di layar kaca.

Impaknya, pengaruh mereka kemudian melebar ke layar perak dan hasilnya cukup memberangsangkan apabila filem sulung lakonan mereka pada 1999, Senario The Movie berjaya meraih kutipan box-office mencecah RM4.58 juta.

Tidak terhenti setakat itu sahaja deretan kejayaan terus dikecapi oleh kumpulan pelawak nombor satu negara ini.

Mereka terus mencipta populariti tersendiri biarpun ahli kumpulannya yang asal keluar meninggalkan kumpulan ini.

Kini tiga anggotanya, Azlee, Mazlan dan Wahid terus memperjuangkan lawak mereka.

Terbaru mereka akan muncul dalam sekuel terbaru filem Senario The Movie: Episod 2, filem arahan pelakon, Ahmad Idham Ahmad Nadzri akan dijadualkan memulakan penggambaran bermula hari ini.

Kesempatan menemui Azlee dan Wahid pada majlis pelancaran filem terbaru mereka di Seri Kembangan baru-baru ini digunakan untuk bertanya kisah terkini kumpulan lawak ini.

Bagi Azlee, watak dalam filem terbaru ini dia akan melakonkan watak, Azlee yang lebih serius sedikit berbanding dua orang rakannya, Mazlan dan Wahid.

"Walaupun agak serius tapi watak saya masih lagi komedi dan keseriusan itu akan membuatkan penonton ketawa," kata Azlee.

Ditanya mengenai cabaran membawakan watak komedi Azlee, berkata ia sememangnya tidak semudah yang disangkakan.

"Sebenarnya kerjaya sebagai pelawak ini bukan senang nak buat orang ketawa. Untuk menggalakkan orang di pawagam adalah cabaran kami sebagai pelawak.

"Bagi saya rasa puas dan seronok apabila kita dapat membuatkan orang ketawa. Lebih-lebih lagi bila orang itu ada masalah kita dapat menceriakan mereka.

"Pada saya itu tugasan yang amat berat. Tapi saya seronok dengan kelebihan yang Allah berikan itu," ujar Azlee yang berasal dari Selatan tanah air ini.

Mahu Senario jadi lagenda

Bagi jejaka yang sudah berusia 40 tahun ini hingga hari ini dia bersyukur dengan rezeki yang diberikan dan orang masih lagi menerima lawak yang dibawa oleh kumpulan Senario.

"Saya harap peminat di luar sana akan terus menyokong kami. Jika dilihat rating sitkom Senario agak baik dan filem juga boleh dikatakan berjaya di pawagam. Filem kami juga berjaya dapat kutipan box-office ataupun dapat kutipan yang balik modal di pawagam. Di sini dapat menunjukkan lawak kami masih diterima oleh masyarakat di negara ini," katanya.

Jelas Azlee lagi, beliau percaya satu hari nanti kumpulan Senario akan menjadi lagenda yang akan diingati seperti Bujang Lapok dan Do Re Mi.

"Walaupun Senario dah tak wujud nama kami akan tetap kekal dalam ingatan. Jika dulu kami berlima dan sekarang dah tinggal bertiga.

"Pada saya kalau kami maintain dan kekalkan persahabatan seperti sebuah keluarga Insya-Allah kita akan jadi lagenda yang akan diingati sepangjang zaman," katanya ceria.

Setakat ini kumpulan lawak yang masih kekal hingga hari ini adalah Senario dan seiring dengan pencapaian terebut nama kumpulan tersebut akan tercatat dalam Malaysian Book of Records tidak lama lagi.

Menurut Azlee, nama kumpulan itu akan dicatatkan sebagai kumpulan yang paling banyak berlakon bagi sitkom komedi berepisod paling lama di negara ini.

"Itulah yang sedang diusahakan oleh pihak TV3. Insya-Allah ia akan jadi kenyataan dalam sedikit masa lagi. Saya harap ia akan jadi kenangan paling manis dan berharga untuk kami bertiga," ujar Azlee.

Sementara itu bagi Wahid tugas menjadi pelawak bukan mudah dan jika seseorang pelakon itu berjaya membawa lawak dengan baik maka pelakon itu mampu membawa watak yang lain.

"Bila seorang pelawak dapat buat orang gelak saya yakin dia mampu bawak watak lain dengan baik," katanya.

Jelas Wahid lagi berlakon dibawah arahan Ahmad Idham sememangnya seronok dan rugi bagi sesiapa yang tidak bekerjasama dengannya.

"Bekerja dengan Idham memang seronok sebab dia seorang pelakon jadi dia tahu apa yang dia nak. Kita pun tak penat yang penting ia memenuhi kehendak pengarah," kata jejaka yang berasal dari Ipoh, Perak ini.

Ditanya mengenai cadangan Azlee yang mahu mereka bergelar lagenda satu hari nanti, Wahid berkata:

"Senario memang dah lagenda pun sebab kami menghiburkan semua lapisan masyarakat, bukan hanya kanak-kanak malah orang tua pun suka tengok lawak kami.

"Jadi mentor lawak. Macam cerita P.Ramlee pun diulang tayang banyak kali pun orang tetap suka. Tapi kami kumpulan Senario kena fikir sampai pecah kepala fikirkan idea baru untuk sitkom kami.

"Macam masa racangan realiti Sinaran Pasport Kegemilangan ada dulu semua peserta yang masuk program itu semua nak jadi macam Senario, nak nyanyi pun lagu Senario, sedangkan ia tidak diwajibkan.

"Saya bukan nak kata kami hebat tapi kami dah jadi macam contoh kepada mereka," katanya.

Tambah Wahid, dia berharap peminat akan terus memberi sokongan kepada Senario dan mereka akan pergi menonton filem terbaru Senario The Movie: Episod 2 apabila ditayangkan kelak.

"Macam mana orang pergi tengok Senario The Movie:Episod 1 saya harap orang akan pergi menonton filem terbaru kami," ujarnya mengakhiri perbualan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Aditya: Kecelaruan hala tuju!

Artikel Lain