suria

Fauziah Nawi 'seram sejuk' bicara kisah Mahsuri

Fauziah Nawi akan mengarah teater Mahsuri pertama kali di Istana Budaya - foto THE STAR oleh KAMARUL ARIFFIN
Fauziah Nawi akan mengarah teater Mahsuri pertama kali di Istana Budaya - foto THE STAR oleh KAMARUL ARIFFIN
Fauziah Nawi akan mengarah teater Mahsuri pertama kali di Istana Budaya - foto THE STAR oleh KAMARUL ARIFFIN

ADA sesuatu pada kisah lagenda Mahsuri yang membuatkan aktivis teater dan pelakon tersohor, Fauziah Nawi berminat untuk menerima tawaran Istana Budaya (IB) bagi menghasilkannya di dalam bentuk teater.

Walaupun pada awalnya Fauziah sendiri kurang pasti dengan kemampuannya untuk mengarah teater yang bakal dipersembahkan di pentas gah itu, namun apabila idea kisah Mahsuri itu dilontarkan oleh Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani, dia nekad untuk mengambil peluang itu.

Meskipun pentas teater bukanlah perkara asing buat pengasas Sanggar Teater Fauziah Nawi (Stefani) ini, namun ini adalah kali pertama dia diberi pengiktirafan oleh IB untuk menjadi pengarah teater wanita keenam di pentas itu.

Satu tanggungjawab dan kepercayaan yang cukup berat dipikul oleh Fauziah. Namun, cabaran itu sanggup digalas olehnya apatah lagi subjek yang mengangkat kisah lagenda popular masyarakat Melayu ini memang begitu 'istimewa' di matanya.

"Memang saya cukup beremosi untuk teater ini. Dari tempat kecil, kini saya akan arah teater di tempat besar pula. Sebenarnya, ramai yang pernah tanya pada saya, kenapa saya tidak pernah mengarah teater di IB.

"Saya sebenarnya rasa diri saya ini tidak layak apatah lagi saya tidak mempunyai kewangan yang mencukupi untuk mementaskan karya saya di IB.

"Tetapi awal 2009 lalu, apabila Juhari minta saya untuk mengarahkan teater Mahsuri, memang saya cukup teruja. Sejujurnya, saya memang amat berminat dengan kisah Mahsuri.

"Pertama kali saya menjejakkan kaki di Langkawi pada tahun 1992 untuk sebuah telefilem, saya memang terasa 'sesuatu' tentang Mahsuri. Bila berbicara tentang kisah Mahsuri, saya pasti rasa 'seram sejuk' dan sukar untuk gambarkan perasaan itu," ujar Fauziah pada sidang media teater tersebut di IB, baru-baru ini.

Teater Mahsuri ini akan dipentaskan di Panggung Sari IB bermula 24 hingga 30 April depan. Selain Fauziah yang bertindak selaku pengarah, teater ini juga dibarisi oleh Rahimidin Zahari sebagai penulis skrip dan lirik, Irwan Ismadi selaku Pengarah Artistik, Mohd Yazid Zakaria sebagai Pengarah Muzik dan Iryanda Mulia Irwadi sebagai komposer.

Mengulas lanjut tentang teater itu, kata Fauziah, garapan jalan cerita tetap akan dikekalkan seperti mana kisah yang pernah didengar khalayak, namun ia dibuat dengan pendekatan berbeza iaitu menerusi kaca mata suami Mahsuri, Wan Darus.

"Selama ini, ramai yang hanya mengetahui kisah Mahsuri dibunuh dan sumpahannya, tetapi kita tidak tahu kehidupan suaminya Wan Darus selepas itu yang meneruskan hidup dalam keadaan tragis.

"Memang kita ada membuat kajian tentang perkara itu dan setakat ini, tiga buah draf skrip sudah disediakan yang mana kita akan teliti semula draf-draf tersebut dalam masa terdekat ini," kata Fauziah yang menambah teater ini akan turut diselitkan dengan elemen muzikal dan tarian walaupun tidak dipersembahkan dalam bentuk teater muzikal.

Dalam pada itu, kata Juhari pula, Mahsuri memang sudah dislotkan oleh IB untuk dipentaskan di sana pada tahun ini. Dan Fauziah dilihat cukup sesuai mengarahkan teater ini memandangkan subjek tersebut adalah tentang wanita.

"Sebenarnya, Mahsuri ini adalah cetusan idea daripada isteri Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sendiri iaitu Datin Seri Shuryani yang ingin lihat kisah ini dijadikan dalam bentuk teater. Saya pernah juga terdengar bahawa Datin Seri Tiara Jacquelina pernah terfikir untuk menghasilkan filem dan teater Mahsuri.

"Apapun, setelah idea itu dibangkitkan, memang secara peribadi, saya merasakan Fauziah adalah yang paling sesuai untuk mengarah teater ini. Tak sangka pula, memang sudah lama sebenarnya dia menunggu peluang seperti ini.

"Kita sudah mulakan perbincangan, hanya tinggal pemilihan pelakon saja yang belum dibuat. Satu ujibakat akan diadakan di IB pada 21 dan 22 Februari ini untuk memilih pelakon bagi watak Mahsuri serta watak-watak lain seperti Wan Darus, Wan Mahura dan Datuk Pekerma Jaya," kata Juhari.

Ujibakat tersebut akan bermula pada jam 10 pagi hingga 5 petang dan kriteria penting yang diambilkira ialah kebolehan berlakon, menari dan menyanyi. Peserta yang boleh bersilat juga digalakkan hadir ke sesi ujibakat itu.

Ditanya tentang pelakon yang dilihat cukup sesuai memegang watak Mahsuri itu, kata Fauziah, dia hanya mampu membayangkan aktres popular Vanidah Imran atau Vee yang menepati kriterianya untuk watak tersebut.

"Saya membayangkan Mahsuri itu adalah seorang yang berkulit hitam manis selain berpewatakan lemah-lembut. Memang saya nampak Vee paling 'dekat' dengan watak Mahsuri itu.

"Lagipun Vee sudah biasa dengan dunia teater dan saya tahu, dia adalah seorang yang komited pada kerja.

"Saya sudah pula bercakap dengan dia sendiri. Memang dia berminat tetapi dengan komitmennya pada kerja yang lain, dia tidak dapat beri kata putus lagi," kata Fauziah.

Tambahnya lagi, dia bagaimanapun tidak kisah menggunakan khidmat bakat-bakat baru untuk teater ini asalkan mereka mempunyai bakat yang boleh digilap.

"Bagi saya, jika mereka ini datang dengan bakat yang baik, dan jika dibentuk hari-hari tidak mustahil mereka mampu menjadi pelakon yang hebat," kata Fauziah.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain