Tiara cipta sejarah baru dalam program AF apabila dipilih menjadi pengetua wanita pertama program popular itu - foto THE STAR oleh SAMUEL ONG[SEMASA] KUALA LUMPUR: Pelakon, penerbit dan penggiat teater terkenal, Datin Seri Tiara Jacquelina mencipta sejarah baru di dalam program Akademi Fantasia apabila dipilih menjadi Pengetua wanita pertama untuk menerajui musim terbaru program realiti popular itu.Pemilihan Tiara, 41, sebagai Pengetua Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) ini akhirnya menamatkan teka-teki siapa yang layak menduduki kerusi 'panas' itu setelah beberapa nama turut disebut-sebut sebelum ini antaranya Datuk Sheila Majid, Norman Abdul Halim, Aznil Nawawi dan Anita Sarawak. Pengumuman itu dibuat menerusi episod pertama program Diari AF yang disiarkan di saluran Astro Ria, pada pukul 9 malam tadi."Pada saya, tidak ada apa yang perlu dihairankan tentang siapa yang bakal menjadi Pengetua...sama ada wanita atau lelaki. Yang penting adalah apa yang akan saya tinggalkan setelah AF musim ini berakhir kelak."Tawaran ini datang pada masa yang tepat. Ramai wartawan pernah bertanya apa yang akan saya buat selepas tamatnya Puteri Gunung Ledang The Musical dan saya pernah luahkan hasrat saya untuk tubuhkan sebuah Akademi seni selepas ini."Tapi nampaknya, tawaran ini (Pengetua AF7) yang saya terima dulu. Saya hanya memberi kata putus pun baru-baru ini saja."Apapun, saat saya ditawarkan jawatan ini, saya tahu tanggungjawab yang akan saya pikul itu cukup berat, apatah lagi bila mendengar tagline musim ini iaitu 'satu transformasi akan berlaku'. Tapi, saya sukakan pada cabaran."Saya rasa, dengan bantuan barisan tenaga pengajar yang hebat musim ini, kita akan cuba sedaya-upaya membawa transformasi itu," kata Tiara pada sidang media di Restoran Courtyard Garden, Bukit Damansara, di sini, malam tadi.Karyawan dan penggiat seni yang pernah memegang jawatan Pengetua AF sebelum ini ialah Freddie Fernandez (AF1), Ramli MS (AF2 dan AF6), M.Nasir (AF3), Ramli Sarip (AF4) dan Roslan Aziz (AF5).Musim terbaru AF ini masih mengekalkan AC Mizal sebagai hos konsert mingguan. Bukan saja AC, malah Sarimah Ibrahim juga masih kekal sebagai hos bagi program Diari Akademi Fantasia dan sebuah segmen AF baru iaitu, Diari INT AF7 manakala Reza Mohamed akan mengendalikan program Diari EXT AF7.Barisan tenaga pengajar musim ini juga masih mengekalkan Siti Hajar Ismail sebagai guru vokal persembahan, Fatimah Abu Bakar selaku guru motivasi dan Bahasa Inggeris serta Syafizawati Sharif sebagai guru vokal teknikal.Tiga tenaga pengajar baru turut dipilih iaitu pelakon Ida Nerina sebagai guru lakonan, A.Aris Kadir yang mengambil alih tugas Linda Jasmine selama enam musim sebagai koreografer serta Hashridz Murshim atau Acis selaku Pengarah Muzik.Empat belas finalis AF7 juga telah diumumkan pada program Tirai AF, Ahad lalu dan mereka adalah Mohd Yazid Ibrahim, Khairil Azam Pilus, Mohd Qhauhd Abdul Rashid, Mohd Rashidi Mohamad Isa, Ahmad Sobri Hasmuni, Mohd Hafiz Mohd Suip, Afiq Hakim Ahmad, Rubisa Tiasin, Claudia Fay Geres, Nas Adila Mohd Dan, Siti Aishah Bujang, Nur Fazelah Mohd Tahil, Zuzafrini Zulkifli dan Ismaliza Ismail.Kesemua peserta ini akan membuat persembahan di konsert mingguan pertama pada 14 Mac ini di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil.Mengulas mengenai transformasi yang ingin dilakukannya pada musim terbaru ini, kata Tiara, dia telah menyusun visi dan misi yang akan diterapkan kepada semua peserta."Transformasi bagi saya ialah perlu berani buat sesuatu yang baru. Saya ingin menjadikan AF7 ini adalah yang terbaik. Kalau boleh, saya ingin AF7 melahirkan bakat-bakat yang luar biasa dan menjadi ikon di tanahair."Mungkin impian itu terlalu tinggi, tetapi industri kita memang memerlukan transformasi seperti ini. Saya sengaja letakkan matlamat yang mungkin kedengaran agak tidak masuk akal untuk semua projek yang saya lakukan termasuklah AF7, agar saya dapat lihat sejauhmana ia boleh dicapai."Bagi saya, tidak salah meletakkan 'benchmark' yang tinggi. Jika kita tidak berazam dan berusaha, kita tidak tahu kemampuan kita. Dan semua ini akan dilakukan secara bersepakat di antara saya, pelajar dan barisan tenaga pengajar," kata Tiara, bersemangat.