suria

Blog 'balas dendam' sengaja guna bahasa 'biadap'

Azwan bakal tampil dengan program baru, 'Cak Cak' yang pernah popular pada 10 tahun lalu. -foto The Star oleh AZLINA ABDULLAH
Azwan bakal tampil dengan program baru, 'Cak Cak' yang pernah popular pada 10 tahun lalu. -foto The Star oleh AZLINA ABDULLAH
Azwan bakal tampil dengan program baru, 'Cak Cak' yang pernah popular pada 10 tahun lalu. -foto The Star oleh AZLINA ABDULLAH

KATALAH apa saja tentang pengacara paling 'laser' Azwan Ali, sesuatu yang tidak dapat dinafikan ialah kebijaksanaannya mengendalikan kariernya.

Azwan yang bergerak 'solo' mampu mendapatkan publisiti dan promosi tentang projek terbarunya walaupun ada segelintir wartawan yang tidak berapa senang dengan caranya.

Tapi itulah Azwan. Suka atau benci, kehadiran personaliti/selebriti dan kini blogger Azwan Ali tetap menyerikan persada seni hiburan dengan gelagat dan telatahnya yang 'bermacam-macam'.

Luahan terbaru Azwan ialah blog peribadinya yang semakin mendapat tempat di hati peminat-peminat setianya.

Beribu mengikuti setiap artikel yang ditulisnya dengan cara sinis dan kadangkala mencuit hati. Sudahlah tatabahasanya tidak mengikut cara yang standard, fontnya pun tidak mengikut saiz yang biasa dan normal.

Tapi mungkin di situlah terletaknya keunikan Azwan, juga keistimewaannya.

Kata Azwan, dia hanya menulis mengikut keinginannya tanpa mempedulikan sama ada orang lain akan melenting atau tidak.

“Semuanya berbalik kepada peribahasa Melayu iaitu ‘siapa yang makan cili, dia yang terasa pedasnya’.

“Kalau semua pembaca hendak tahu, ayat-ayat berunsur kurang ajar itu ditujukan kepada wartawan yang tidak berkredibiliti yang saya gelarkan sebagai ’10 budak hitam’.

“Mereka ini berada dalam kelompok dua syarikat akhbar terkemuka. Saya rasa mungkin ramai yang sudah tahu tentang hal ini.

“Saya akui bahasa yang saya gunakan memang agak biadap disebabkan mereka yang mulakan dulu.

“Boleh dikatakan setiap minggu mereka mengutuk saya sejak lima tahun lalu. Kalau sebulan sekali saya tak kisah.

“Jadi, saya berasa puas hati selepas meluahkan ‘perasaan’ saya menerusi blog apatah lagi apabila mendengar yang mereka ini benar-benar masuk ‘ICU’,” luah Azwan dalam nada gurau bercampur sinis.

Jelas Azwan, dia bagaimanapun bukan sengaja ‘mencari pasal’ untuk mencetuskan peperangan itu sebaliknya ia bergantung kepada kredibiliti seseorang wartawan itu.

Tambah Azwan, dia juga tidak akan membuta tuli menulis dan menghentam para wartawan yang dianggap ‘tidak berkredibiliti’ itu di dalam blognya.

“Apa yang mereka buat dengan saya sangat bersifat peribadi kerana mereka berdendam dengan saya.

“Saya rasa tidak akan ada orang yang berdiam diri jika maruah dan nama baiknya tercemar sehingga sanggup ‘menaburkan pasir ke dalam periuk nasi’ saya.

“Kali ini, saya menggunakan pendekatan yang berbeza di mana jika dulu kalau mereka serang, saya pun akan serang balik tetapi sekarang saya menggunakan blog pula untuk menyerang wartawan-wartawan tidak berkredibiliti ini.

“Pada mulanya, saya ingatkan blog hanya merupakan medium peribadi dan tak pernah terfikir yang ia boleh menjadi ‘leading publication’.

“Pembaca blog saya bermula dengan 3,000 pelayar dalam setiap hari, sehingga seminggu ia mencapai 15,000 pelayar manakala kurang dari tiga minggu ia telah mencapai 100,000 pelayar dan sekarang telah mencecah 250,000 pelayar,” beritahu Azwan yang sudah lebih dua bulan mengaktifkan blognya itu.

Menurut Azwan, blognya semakin popular sehingga berada di 'ranking' tiga teratas selepas blog Tun Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya mendapat 'feedback' yang ramai di antara peminat Azwan Ali berlumba-lumba untuk mengikuti perkembangan dunia artis melalui blog saya.

"'Fan' saya bukan sahaja berada di sini tetapi di luar negara seperti London, Sweden dan seluruh dunia," kata Azwan yang semakin aktif mengemaskini blognya.

Sebalik kontroversi yang dilaluinya ini, Azwan berkata peminat menganggap kesnya sebagai kes yang unik antara penggiat seni yang diciptakan oleh Tuhan.

“Semuanya berbalik kepada Tuhan. Tuhan itu Maha Kaya. Saya nak masing-masing sedar.

“Alhamdulillah, selepas terlibat dengan kontroversi, rezeki saya melimpah-limpah dengan Astro. Semuanya Dia yang berikan..,” luah Azwan.

'Sekejam' manapun orang beranggapan hati Azwan Ali, beliau masih lagi mempunyai perasaan lantas terfikir untuk menyelesaikan masalah ini dengan syarat pihak atasan dua syarikat akhbar itu perlu bangkit dan mengesani apa yang berlaku selama ini.

“Saya memang seorang yang pemaaf. Saya sebagai manusia biasa. Jika berdendam sekalipun, ada cara untuk lembutkannya.

“Saya percaya hal itu akan berlaku. Kalau boleh saya memang tak nak maafkan tetapi saya tahu suatu hari nanti saya akan maafkan juga.

“Sebelum ini memang saya pernah berjanji untuk menghentikan kontroversi. Jadi, kali ini saya tidak mahu berjanji lagi. Lupakan segala janji itu.

“Saya akui semua sikap negatif dan buruk saya. Namun, semua itu membuatkan diri saya menjadi seorang yang lebih baik.

“Mereka boleh menegur saya tetapi kena lihat juga sama ada mereka ini ‘clean reporter’ atau tidak.

“Bagaimanapun, saya berasa dihargai apabila kebanyakan stesen televisyen menunjukkan keprihatinan mereka dengan kontroversi yang melanda saya.

“Kadangkala, saya rasa tersentuh apabila mereka memanggil saya untuk bertukar pandangan dan memberikan nasihat secara baik.

“Saya sangat berharap supaya semua stesen televisyen yang saya pernah bekerja ini tidak akan terpengaruh dengan wartawan-wartawan ini,” ulasnya yang turut disebut-sebut tidak akan mengacara program ‘Jangan Tidur Lagi’ di TV3 untuk musim terbaru nanti.

Bakal disingkir mengacara ‘Jangan Tidur Lagi'?

Azwan berkata setakat ini dia belum mendengar kata putus daripada pihak TV3 sama ada hal tersebut akan berlaku namun setakat ini dia belum mendapat apa-apa notis daripada TV3.

“Jangan Tidur Lagi merupakan tawaran berharga yang saya terima daripada Datuk Seri Farid Ridzuan.

“Jika saya disingkirkan daripada Jangan Tidur Lagi oleh pihak TV3 dan Datuk Seri Farid seperti yang ditulis oleh wartawan tidak berkredibiliti itu, saya tetap akan menghargainya.

“Saya tahu Datuk Seri Farid bukanlah calang-calang orang yang akan terpengaruh dengan isu ini.

“Kalau betul saya disingkirkan, saya tidak akan terkilan sebaliknya menganggap sudah tiada rezeki.

“Saya harap Datuk Seri Farid dapat membuat keputusan yang terbaik kerana semuanya terpulang kepadanya,” akhiri Azwan yang sedang sibuk dengan pengambaran drama bersiri Cak Cak 2009 yang bakal disiarkan di Astro Ria mulai 16 Mac ini.

Cak Cak 2009 merupakan program yang disiarkan semula dengan wajah baru selepas kali terakhir disiarkan 10 tahun lalu.

Drama yang turut dilakonkan oleh Rosnah Mat Aris, Jaafor Onn, Angeline Tan, Sathiya dan Ellie Suriati ini disiarkan sebanyak 13 episod dan skripnya 100 peratus dihasilkan oleh Azwan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan