suria

Autopsi : Richardson meninggal dunia akibat pendarahan otak

NATASHA Richardson, 45, meninggal dunia di Hospital Lenox Hill pada Rabu lalu ekoran pendarahan pada tengkoraknya selepas terjatuh semasa bermain ski.

Pemeriksa perubatan yang menjalankan autopsi Khamis lalu menyifatkan kematiannya sebagai kemalangan. Para doktor berkata, mendiang masih boleh diselamatkan sekiranya mendapat rawatan segera.

Namun, empat jam berlalu sebelum dia dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Jurucakap pusat perubatan New York City, Ellen Borakove berkata, pelakon wanita yang memenangi anugerah Tony itu menghadapi `epidural hematoma'. Ia merupakan pendarahan antara tengkorak dan selaput otaknya.

Pendarahan sebegitu biasanya disebabkan oleh keretakan pada tengkorak. Ekoran itu, ini menyebabkan darah beku terbentuk sekali gus memberikan tekanan pada otak.

Akibatnya, ini mengganggu kawalan pernafasan dan lain-lain fungsi yang penting.

Pesakit yang mengalami kecederaan sebegitu biasanya tidak merasai apa-apa secara segera. Ini kerana tanda-tanda pendarahan mengambil masa untuk kelihatan.

Artikel Berikut

Artikel Lain