Abby kesal dikatakan mendesak produser untuk mengambil Zul berlakon"ISU yang mendakwa saya mendesak produser untuk ambil Zul berlakon adalah cukup keterlaluan buat saya. Perkara ini sangat-sangat menjatuhkan maruah saya," - luah Abby Abadi yang melahirkan perasaan kesalnya gara-gara cerita tersebut.Hubungan 'mesra' Abby dan pelakon baru, Zul Ariffin, 23, bukanlah satu rahsia lagi. Meskipun kedua-duanya menegaskan hubungan yang terjalin itu adalah atas dasar persahabatan, namun 'keintiman' pasangan ini sememangnya sukar dibaca apatah lagi mereka sering dilihat bersama sejak aktres berusia 31 tahun itu bercerai dengan Norman Hakim pada 17 November tahun lalu.'Keakraban' mereka membuatkan banyak pihak merasakan pasangan ini menjalinkan hubungan lebih daripada seorang sahabat. Malah, cerita yang mengatakan Abby banyak membantu Zul untuk mendapatkan tawaran berlakon juga rancak diperkatakan.Sehinggalah baru-baru ini pelakon popular Gerak Khas itu dikatakan telah mendesak produser drama supaya Zul diberi peluang untuk berlakon di dalam produksi terbabit."Salahkah saya bantu dia? Kita sama-sama mencari rezeki di dalam bidang ini. Tetapi apa kuasa saya untuk memaksa produser ambil Zul? Kebanyakan 'job' yang dia terima bukan disebabkan saya."Dia ada kelebihan tersendiri dan saya yakin produser sendiri boleh nampak bakat dia."Saya tidak pernah mendesak produser untuk ambil dia berlakon. Perkara itu memang telah menjatuhkan imej saya," kata Abby yang ditemui pada majlis ramah-mesra bersama pelakon drama Comel dan Segalanya Ku Terima di Sri Pentas, semalam.Abby dan Zul sama-sama terbabit di dalam drama bersiri Segalanya Ku Terima sebagai watak 'cameo'.Mengulas lanjut tentang hal itu, kata Zul pula, dia tidak bersetuju dengan tohmahan ramai yang beranggapan dirinya bergantung kepada Abby untuk mendapat tawaran berlakon."Saya tidak mampu halang persepsi orang pada saya. Jika mereka terus rasakan saya bergantung atau menumpang populariti Abby, saya tak boleh nak cakap apa lagi," kata Zul.Drama Segalanya Ku Terima arahan Raja Ahmad Alauddin merupakan drama keempat yang menggandingkan kedua-duanya di dalam produksi sama. Namun begitu, kata Abby, dia tidak merasakan perkara ini patut dijadikan isu besar."Saya tidak ada masalah digandingkan bersama dia dalam produksi yang sama."Pihak produksi menawarkan kepada kami dan saya terima kerana watak Datin Sofea yang saya bawakan dalam drama ini memberi kesan pada saya walaupun hanya 'cameo'," tutur ibu kepada tiga cahaya mata ini.Perkara itu turut dipersetujui oleh Zul yang membawakan watak sebagai pemandu kepada Datin Sofea."Bagi saya, berlakon dengannya cukup senang sebab kami memang dah rapat. Lagipun, saya suka dengan jalan cerita drama ini yang berkonsepkan konspirasi."Watak saya juga menarik kerana saya berkomplot dengan Datin Sofea dan menjalinkan skandal dengan Datin Maimun lakonan Azizah Mahzan. Karektor ini cukup berbeza dengan yang pernah saya bawakan," kata Zul.Turut membintangi drama 13 episod yang akan mula bersiaran di TV3 pada 14 April ini ialah Raja Farah, Irma Hasmie, Hafizuddin, Azhar Sulaiman, Ezany dan Feroz Khan.Belum fikir soal kahwinKegagalan rumahtangganya bersama aktor Norman Hakim telah meninggalkan impak besar buat diri Abby. Setelah kecewa dengan apa yang berlaku, Abby akui dia kuatkan diri untuk bangkit semula apatah lagi memikirkan masa depan anak-anaknya.Lantaran itu apabila diajukan tentang subjek 'kahwin', sambil tersenyum, Abby berkata, dia belum lagi terlintas untuk berkahwin lagi walaupun gosip hubungannya dengan Zul masih terus diperkatakan."Masing-masing ada hak untuk berkawan. Saya tidak rasa satu kesilapan besar untuk berkawan dengan Zul. Dia tidak bagi masalah kepada saya pun."Tetapi tentang perkahwinan, saya rasa masih jauh lagi untuk saya bercakap tentang hal itu. Ia tidak termasuk dalam agenda saya ketika ini."Perkahwinan bukanlan satu perkara yang mudah. Dengan apa yang saya lalui sebelum ini, saya mengharapkan sesuatu yang lebih baik berbanding dulu."Banyak perkara yang saya perlu buat. Saya ingin mengembangkan lagi karier saya," kata Abby.