suria

Aditya: Erma cekal hadapi 'Islam Ada Hari'

DUA kali dan dua tahun berturut-turut Erma Fatima menerbit dan mengarah Sirah Junjungan.

Sebuah pementasan bernafaskan Islamik bersempena Maulidur Rasul baru-baru ini, berkisar mengenai perjuangan Rasulullah s.a.w dalam menyebarkan agama Allah ini.

Malangnya tiada ramai yang sudi meluangkan masa untuk menonton pementasan yang turut menampilkan nyanyian nama besar seperti Datuk Siti Nurhaliza, Amy Search, Mawi dan Jamal Abdillah. Biarpun satu malam daripada 9 Mac hingga 22 Mac itu tidak dikenakan bayaran, jumlah penonton juga sedih.

Mustahil keempat-empat nama yang membina jenama utama hiburan tanah air itu sudah hilang pengaruhnya. Agak mustahil juga tak ramai yang berminat dengan pementasan teater, tambah-tambah yang dipentaskan di Istana Budaya.

Sebabnya sebelum ini dewan pentas bertaraf dunia itu tidak sekosong yang kita lihat ketika pementasan Sirah Junjungan. Di mana silapnya? Agaknya orang tidak suka air tangan Erma, mungkin juga sebab orang belum kenal Ahmad Yatim, Vanidah Imran, Mazlan Tahir, Rosdeen Suboh, Rebecca Nur Islam dan Aman Graseka.

Sebenarnya andaian kemungkinan itu tidak betul kerana sebetulnya orang kita bukan yang jenis menyokong dan menghargai teater berkonsepkan dakwah dan agama Islam. Cuba perhatikan teater atau hiburan lain, bukan main lagi sokongan yang diberikan.

Hakikatnya beginilah orang kita, pandai bercakap 'berdegang', pukul canang sana sini apabila bukan Islam mengutuk Nabi Muhammad s.a.w, Barat menghina Islam atau Al-Quran.

Kita sensitif sangat bab-bab itu, baguslah tetapi apabila ada kerja-kerja yang terarah kepada objektif Islamik seperti yang dilakukan Erma melalui Sirah Junjungan, lain pula jadinya.

Malang yang paling malang dalam pementasan Sirah Junjungan ini juga Aditya lihat apabila tiada pihak penaja yang sudi menghulurkan bantuan untuk menghidupkan dakwah dan moralnya.

Bukan tidak ramai tetapi tiada langsung, begitu hebat orang-orang korporat atau yang pernah berkaitan dalam penajaan teater atau benda hiburan kita, menunjukkan sokongan mereka.

Sedangkan kita tahu bagaimana murahnya hati para korporat yang menaja dan menyokong pementasan Puteri Gunung Ledang the Musical serta teater-teater yang berlangsung di KL Pac.

Bukan mengutuk tetapi bagus juga mereka berbuat begitu untuk terus menghidupkan dunia teater tanah air.

Cuma yang terasanya apabila menyebut tentang penajaan, secara tidak langsung ia berbaur perbandingan dengan apa yang berlaku kepada Sirah Junjungan. Bezanya, arahan Erma Fatima ini bukan seperti pementasan komersial lain kerana mereka tidak nampak nilai komersial di sebalik Sirah Junjungan.

Ketika membelek majalah Al Islam keluaran Mac 2009, Erma menyatakan yang syarikat korporat yang biasa menaja elemen yang melibatkan hiburan selama ini, ketakutan membuat perkara yang sama yakni menaja persembahan yang berunsurkan Islam.

Lanjutnya pengarah itu berkata, orang korporat bimbang perkaitan mereka dengan sesuatu yang berunsurkan Islam itu mendatangkan masalah yang Erma sendiri tidak tahu apa masalah yang dimaksudkan.

Memetik sedikit teks daripada majalah bulanan itu: “Persoalan yang masih terngiang-ngiang di telinga saya ialah, apakah ini dasar badan korporat di Malaysia tentang agama Islam?

“Daripada maklum balas yang saya terima, penaja korporat dengan senang hati akan menghulurkan tajaan untuk teater yang tiada unsur Islam, contohnya yang bertemakan remaja, kemanusiaan, cinta dan sebagainya.

“Alasan mereka, teater yang tidak ada unsur Islam senang diterima masyarakat, jadi penajaan mereka tidak akan sia-sia kerana penonton berjaya membawa jenama mereka.

“Saya sungguh tidak faham tentang perkara ini. Inilah yang dikatakan 'ISLAM ADA HARI' atau hanya prinsip korporat bertuhankan motif tertentu.”

Bukan Erma saja yang berdepan dengan orang-orang korporat itu 'tidak faham', malah Aditya yang mendengar cerita ini juga makin tertanya-tanya, adakah ini caranya orang kita menjadi penaja hanya semata-mata untuk mendapat maklum balas daripada masyarakat atau audiens sasarannya?

Oh! Hampir terlupa, mereka membuat bisnes. Penajaan itu hanya untuk melariskan lagi produk dan perkhidmatan mereka kerana mereka tidak pernah terfikir pun soal agama atau ibadat, jauh sekali untuk membuat pelaburan ke arah agama Allah.

Pelaburan mereka hanyalah mencari keuntungan dunia, tidak perlu ikhlas hati kerana yang penting, setiap kali mereka muncul sebagai penaja, dunia perlu diberitahu. Inilah agaknya prinsip mereka yang mementingkan pelaburan dunia daripada akhirat.

Malunya juga apabila Malaysia antara negara Islam yang dikenali dunia, tetapi begini jadinya. Macam tak percaya yang kita berada di negara yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi.

Bagaimanapun Aditya perlu melihat daripada perspektif berbeza, di mana cara pendekatan orang kita dalam usaha 'menggoda' hati manusia korporat.

Mungkin kita salah masuk pintu, silap beri salam atau takpun tersalah orang yang tiada prinsip dalam agama.

Semuanya berkemungkinan kerana Aditya tidak mahu terus menuding jari ke satu pihak semata-mata.

Namun inilah cabaran utama dalam penerbitan bahan media berunsurkan Islam.

Tetapi Aditya kagum dengan perempuan bernama Erma Fatima itu yang terkenal dengan kecekalan hatinya untuk tidak berpaling arah hanya semata-mata perangai orang korporat yang didepaninya.

Beliau melakukan Sirah Junjungan kerana terpanggil, berasa bertanggungjawab terhadap perjuangan untuk memperbanyakkan bahan-bahan berunsurkan Islam.

“Saya terpanggil untuk menjawat satu tanggungjawab sebagai orang Islam bagi menyediakan program berbentuk Islam seperti teater muzikal Sirah Junjungan untuk memenuhi keperluan umat Islam. Nak berbakti seperti ustazah tak mampu, hanya amal bakti melalui penyediaan program sajalah yang saya mampu sumbangkan,” kata Erma lagi kepada Al Islam.

Artikel Berikut

Artikel Lain