suria

Amy Mastura bersedia hadapi zaman 'kejatuhan'

Amy masih 'laku' di persada seni meskipun bakat-bakat baru semakin ramai memenuhi industri ini
Amy masih 'laku' di persada seni meskipun bakat-bakat baru semakin ramai memenuhi industri ini
Amy masih 'laku' di persada seni meskipun bakat-bakat baru semakin ramai memenuhi industri ini

LEBIH 16 tahun penyanyi kecil molek ini menghambakan diri sebagai anak seni. Dalam tempoh itu sehingga hari ini, nama Amy Mastura masih lagi utuh meskipun industri hiburan tanahair semakin dipenuhi dengan bintang-bintang muda.

Karier seninya dilihat langsung tidak 'merudum'. Malah, penyanyi berusia 37 tahun ini nampaknya masih laku dan menjadi rebutan banyak produksi dan stesen televisyen yang juga mahu mengambil selebriti ini sebagai pengacara dan pelakon.

Begitulah tuah yang mengiringi perjalanan seni Amy. Akui tuan empunya diri, dia sendiri tidak pernah memasang sebarang strategi untuk memastikan dirinya masih lagi bertahan di dalam bidang ini.

Bagi ibu kepada dua cahaya mata ini, apa yang singgah kepada dirinya dianggap rezeki dan dia sendiri tidak pernah alpa dengan apa yang dimiliki. Sebaliknya, Amy tidak putus-putus melahirkan rasa bersyukur kerana dirinya masih diberi perhatian.

"Saya sendiri tidak menyangka sejauh ini karier seni saya mampu bertahan. Sejujurnya, saya tidak pernah meletak sebarang perancangan, apa peluang yang datang, saya ambil dengan hati yang terbuka.

"Saya bersyukur sangat dengan apa yang diraih setakat ini. Apa yang penting sekarang ialah cuba pertahankannya sebaik mungkin.

"Tetapi, apapun, saya sentiasa sematkan dalam fikiran saya untuk bersiap-sedia andai satu hari nanti peluang untuk saya berada dalam bidang ini tiada lagi.

"Sudah lumrah alam, bukan selalu diri kita akan berada di atas. Lambat-laun, saya juga akan berada di bawah," kata Amy penuh ceria.

Ketika ini, tutur isteri kepada Alvin Tham Suffian ini, jadual seninya agak padat dengan tugasan pengacaraan, lakonan dan tidak ketinggalan undangan nyanyian.

Selain sibuk mengacarakan program Ape-Ape Aje di TV3 bersama Shamsul Ghau-Ghau, wajah Amy juga ketika ini boleh disaksikan di dalam drama bersiri Comel arahan Aziz. M.Osman yang sudah mula bersiaran pada 1 April lalu di TV3, 10 malam setiap Rabu.

Memegang watak sebagai ibu kepada gadis remaja bernama Comel lakonan Nor Hanis, kata Amy, meskipun wataknya itu tidak begitu mencabar berbanding lakonan-lakonannya sebelum ini, namun kelainan dari segi karektor itu membuatkan Amy berminat untuk mencuba.

"Dalam drama itu, saya pegang watak Joji, ibu kepada Comel. Karektor Joji cukup menarik kerana dia merupakan pencinta alam sekitar.

"Dan banyak adegan menarik di dalam drama ini apatah lagi saya bergandingan bersama Aziz M.Osman yang melakonkan watak sebagai suami saya," kata Amy.

Tambahnya, dia semakin ligat berlakon sejak tahun lalu dan tidak lama lagi, Amy akan muncul di layar perak menerusi filem Hooperz.

"Sebenarnya sejak tahun lalu memang banyak drama yang saya terlibat. Cuma baru tahun ini drama-drama tersebut ditayangkan.

"Saya terima semua tawaran itu pun kerana mempunyai masa untuk berbuat demikian, selain membahagikan masa menguruskan anak-anak. Mana yang berkesempatan, saya pasti akan pertimbangkan," kata wanita kelahiran Ipoh, Perak ini.

Namun begitu, walaupun sering dihujani dengan tawaran berlakon dan juga sebagai pengacara, ujar Amy, dia tetap meletakkan keutamaan terhadap bidang nyanyian yang telah banyak membantu melonjakkan namanya di persada seni tidak lama dulu.

Terbaru, Amy bakal melancarkan album terbarunya berjudul Happy dalam masa terdekat ini.

Masih mengekalkan konsep pop dan tidak lari daripada imej 'cerianya', album terbaru itu memuatkan 10 buah lagu yang mana lima daripadanya adalah hasil ciptaan Amy sendiri.

"Sebenarnya, sejak tahun lalu lagi album saya sudah siap. Tetapi syarikat rakaman saya, Sony BMG menunggu masa yang sesuai untuk 'release' album itu.

"Insya-Allah, jika tiada sebarang masalah, album itu akan keluar pada bulan ini juga," katanya.

Ujar Amy lagi, dia juga masih mempunyai kontrak untuk menghasilkan sebuah lagi album bersama Sony BMG.

"Saya tidak mahu fikir soal laku atau tidak. Memang pasaran album amat lembab ketika ini, tetapi saya rasa tidak salah untuk saya terus hasilkan album atas dasar untuk meneruskan karier saya.

"Selagi ada peminat yang mahukan, saya akan cuba berikan untuk mereka selagi termampu," kata Amy.

Artikel Sebelum

Artikel Lain