suria

Hujan ke Indonesia lagi

Hujan banyak mendapat tawaran persembahan di dalam dan luar negara.
Hujan banyak mendapat tawaran persembahan di dalam dan luar negara.
Hujan banyak mendapat tawaran persembahan di dalam dan luar negara.

MENERUSI sebuah laman blog, band indie Hujan digembar-gemburkan telah dilantik menjadi duta kereta Myvi oleh Perodua.

Bukan itu sahaja, vokalis Noh dan pemain drum Am atau Acer turut diberikan sebuah kereta Myvi setiap seorang.

Bagaimanapun, apabila ditanya kepada Noh atau nama sebenarnya Mohammed Noh Salleh, dia menafikan kenyataan tersebut.

“Tiadalah. Hujan tak pernah menjadi duta Myvi dan mendapat kereta seperti yang diperkatakan,” beritahu Noh ringkas.

Namun begitu, Noh akui ada mengenali seseorang di syarikat Perodua dan pernah menerima tawaran untuk bergelar duta Viva.

“Kami sepatutnya berbincang tentang hal ini sebelum membuat persembahan jelajah di Indonesia sebelum ini.

“Kalau mereka betul-betul ingin kami menjadi duta Viva, kami akan terima kerana ia memberikan kebaikan kepada kedua-dua belah pihak.

“Selain kami boleh mempromosi Viva, kami juga boleh transformasikan bajet golongan muda,” ujar Noh.

Tambah Noh, Hujan juga merupakan antara artis yang memberikan sokongan kepada produk P1 W1MAX yang sedang berada di pasaran sekarang.

P1 W1MAX merupakan internet tanpa wayar berkelajuan tinggi dengan teknologi jalur lebar tanpa wayar terkini.

Mahu ke Indonesia lagi

Pada 3 hingga 19 Mac lalu, Hujan telah terlibat dengan ‘promo tour’ lagu dan membuat persembahan pembuka di Indonesia.

Menariknya, Noh berkata khalayak di Indonesia masih menganggap band di Malaysia seperti Search di zaman kemasyuran lagu Isabella.

“Mereka ingat band kita masih lagi seperti zaman 1990-an.

“Memang ramai yang tidak menyangka dan terkejut semasa Hujan membuat persembahan.

“Pada mulanya mereka bajet Hujan akan menyampaikan lagu berentak rock balada.

“Alhamdulillah, mereka dapat menerima kami semasa kami membuat persembahan,” beritahu Noh yang membuat lima persembahan di Indonesia dan salah satunya adalah Hard Rock Cafe, Jakarta.

Selain itu, Hujan lebih banyak ditemubual oleh media cetak dan stesen radio di sana.

Noh turut berkongsi cerita tentang pengalaman bertemu peminat di sana.

“Ada antara peminat di sana sudah membuat ‘homework’ dengan menghafal lagu-lagu Hujan.

“Apabila kami menyanyikan dalam sembilan buah lagu, ada suara-suara yang mengikut dan turut menyanyi bersama.

“Saya rasa mereka paling suka lagu Dugaannya dan Bila Aku Sudah Tiada,” cerita Noh.

Ulas Noh mengenai bagaimana Hujan mendapat laluan untuk ke sana: “Kami telah ‘set up’ team management di sana dan mempunyai kawan-kawan yang boleh membuat kerja.”

Kata Noh, jika tiada aral, mereka akan membuat persembahan jelajah ke Surabaya dan Jogjakarta pada Ogos nanti.

“Ikutkan kami perlu ke sana dalam Julai nanti tetapi disebabkan di Indonesia mereka sibuk dengan pilihan raya, jadi kami akan ke sana dalam Ogos nanti,” beritahu Noh.

Pada Mei nanti, Hujan juga dijangka akan menjayakan Slank & Letto Unity Concert di Bukit Jalil.

Album baru muncul Julai depan

“Sekarang, material untuk album terbaru kami telah mencukupi cuma menunggu masa untuk proses rakaman lagu dan vokal di studio kerana AG masih sibuk.

“Kami akan memilih ‘fast song’ untuk album terbaru ini.

“Insya-Allah, nanti kami akan membuat proses pembikinan album ini di studio kami sendiri yang diselenggarakan oleh AG,” beritahu Noh yang berjaya mengumpul kira-kira 20 buah lagu untuk album yang dijangka bakal dipasarkan pada Julai depan.

Selain Noh dan Am atau Azham Ahmad Ambobzeela, Hujan turut dianggotai oleh Mohammad Hezry atau AG (gitaris), (dram) dan Azhar atau Jaja (bass).

Bersyukur dicalon dalam AIM 16

Dalam Anugerah Industri Muzik ke-16 (AIM 16) yang bakal berlangsung pada 2 Mei ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, daripada 29 kategori yang dipertandingkan, Hujan telah berjaya tercalon sebanyak 4 pencalonan melibatkan 3 kategori.

Kategori tersebut adalah Artis Baru Terbaik, Album Rock Terbaik (Hujan-Produser Noh Hujan) dan Lagu Rock Terbaik (Bila Aku Sudah Tiada dan Dugaannya).

“Kami tidak jangka dan teruja apabila tercalon dalam banyak kategori.

“Bagi kami, AIM kali ini mempunyai perubahan sedikit kerana ia membuka peluang kepada band-band indie.

“Pertama kali AIM mengiktiraf ‘single’ dan ia sangat membantu.

“Alhamdulillah, syukur. Hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan ini,” luah Noh mewakili Hujan.

Artikel Lain