suria

Zain Ruffedge menghitung hari bergelar bapa

BULAN April ini lebih dinantikan oleh salah seorang penyanyi kumpulan Ruffedge, Mohd. Kamarulzaman Zain Abdul Hamid atau Zain, 31, memandangkan dia bakal menimang cahaya mata sulungnya selepas berkahwin dengan Khazmira Anuar, 26.

Mereka mendirikan rumah tangga pada 8 Ogos tahun lalu.

“Insya-Allah, isteri saya dijangka akan bersalin bayi perempuan pada pertengahan atau hujung bulan April ini.

“Setakat, ini saya sudah membuat sedikit persiapan untuk anak sulung kami dari segi pakaian dan peralatan bayi.

“Saya rasa teruja dan berdebar kerana pertama kali hendak menjadi bapa.

“Bagaimana pun saya kena lalui juga. Saya sudah alami kehidupan sebagai suami, jadi selepas ini saya perlu hadapi kehidupan untuk bergelar bapa pula,” luah Zain yang mengaku sudah bersedia untuk bergelar bapa.

Menurut Zain, kandungan isterinya sudah mencecah lebih lapan bulan.

“Isteri saya sungguh aktif dan saya selalu nasihatkan dia supaya banyak berjalan agar mudah bersalin nanti.

“Insya-Allah, dia akan bersalin di Hospital Pakar Kajang kerana lebih dekat dengan rumah mertua saya.

“Lagipun dia akan berpantang di rumah keluarganya,” beritahu Zain.

Dalam keseronokan untuk menyambut kelahiran anaknya, Zain turut sibuk dengan lakonan dan nyanyian.

“Semakin saya hendak menimang anak ni, Alhamdulillah ada juga tawaran berlakon.

“Kiranya bulan lepas dan bulan ini memang bulan rezeki anak.

“Sekarang saya sedang berlakon drama Kejar arahan Bade Hj. Azmi. Sudah lebih dua bulan saya menjalani pengambaran drama ini,” kata Zain mengenai drama yang turut dilakonkan oleh Ezany, Nasir Bilal Khan, Mustapha Kamal, Noniswara, Betty Banafe dan Faradhiya itu.

Zain melakonkan watak Ali iaitu seorang yang tidak mempunyai keluarga, walaupun dia kelihatan seperti seorang yang jahat tetapi dia sebenarnya seorang yang baik.

“Ali mengalami konflik keluarga dan diganggu oleh orang jahat,” ceritanya mengenai sedikit sebanyak perwatakan Ali dalam drama 26 episod itu yang dijangka akan disiarkan pada Mei depan di RTM 1.

Jelas Zain, ini merupakan kali kedua dia bekerjasama dengan Bade selepas berlakon dalam filem Castello.

“Pertama sekali saya suka skrip dan jalan cerita drama Kejar. Saya tak pilih pengarah.

“Saya juga suka berlakon dengan pelakon yang bagus,” ulasnya yang ada membantu kerja penerbitan di studio.

Ditanya tentang perkembangan Ruffedge, Zain menafikan dia dan anggota yang lain iaitu Azan, Nine dan Iwan ‘senyap’.

“Kami tak ‘senyap’ Cuma tiada tiada temubual dengan media.

“Lagu ‘single’ kami dah keluar iaitu Jangan Berhenti dan Rintihan Pengemis.

“Sekarang kami dalam proses menyiapkan single terbaru iaitu ‘Ke Udara’,” akhiri Zain.

Artikel Sebelum

Artikel Lain