suria

AF 7: Cincin ‘kenangan’ Zizi untuk Yazid

Agak mengejutkan, Zizi dan Rubisa tersingkir walaupun membuat persembahan yang menarik di konsert keempat malam tadi.Foto THE STAR Oleh EHFAN SHAH dan SHAARI CHE MAT.
Agak mengejutkan, Zizi dan Rubisa tersingkir walaupun membuat persembahan yang menarik di konsert keempat malam tadi.Foto THE STAR Oleh EHFAN SHAH dan SHAARI CHE MAT.
Agak mengejutkan, Zizi dan Rubisa tersingkir walaupun membuat persembahan yang menarik di konsert keempat malam tadi.Foto THE STAR Oleh EHFAN SHAH dan SHAARI CHE MAT.

AGAK mengejutkan apabila Nur Fazelah @ Zizie Mohd. Tahil atau Zizi, 24, tersingkir dari program Akademi Fantasia 7 (AF 7) semalam di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil.

Zizi menunjukkan persembahan yang baik pada minggu lalu menerusi lagu Ini Rindu dan minggu ini ketika mendendangkan lagu Aku Dah Bosan.

Boleh dikatakan hampir saban minggu gadis berasal dari Semporna, Sabah ini mendapat kritikan positif oleh para pengkritik terutama pengkritik tetap, Adlin Aman Ramlie, Edrie Hashim dan Datuk Khadijah Ibrahim.

Begitu juga dengan seorang lagi peserta wanita, Rubisa Tiasin atau Rubisa, 23, yang turut menjadi ‘mangsa’ penyingkiran apabila undian Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) tidak menyebelahinya.

Rubisa yang mendendangkan lagu Tiada Lagi mendapat undian terendah iaitu 5 peratus manakala Zizi mendapat 6 peratus.

Selepas nama Zizi dan Rubisa diumumkan sebagai pelajar tersingkir oleh hos AC Mizal, terdapat adegan yang mungkin tidak terperasan oleh orang lain tetapi menarik perhatian penulis apabila Zizi menyerahkan cincin ke tangan Mohd Yazid Ibrahim atau Yazid, 22.

Sebelum itu, pasangan ini telah diusik oleh AC apabila mereka dilihat agak rapat dan mesra dalam Diari AF yang disiarkan pada hari Isnin hingga Jumaat, pukul 9 malam di Astro Ria.

Mengulas tentang pemberian cincin itu, Zizi mengaku memberikan cincin itu kepada Yazid namun menafikan yang mereka mempunyai hubungan ‘istimewa’.

“Saya dan dia tidak mempunyai apa-apa hubungan.

“Saya beri cincin tu sebab Yazid sukakan cincin itu dan sebagai tanda semangat kepadanya.

“Lagipun dalam AF, Yazid tidak rapat dengan ramai pelajar perempuan,” ujar Zizi. Gadis yang sudah bergelar penyanyi sebelum memasuki AF ini akui rapat dan menyenangi sikap Yazid yang suka berkongsi cerita dan masalah dengannya.

“Yazid banyak bercerita hal keluarga dan kegugupannya.

“Jadi, cincin itu saya anggap seperti kenangan untuk dia.

“Kalau boleh saya nak beri kepada semua tetapi cincin itu sahaja yang ada pada diri saya,” tambah Zizi yang berbangsa Bajau dan beragama Islam ini.

Zizi menguatkan andaian yang mereka hanya rapat disebabkan Yazid memerlukan pertolongannya ketika mengalami kesukaran untuk menyanyikan lagu Aku Cinta Padamu.

“Kami rapat pun secara kebetulan apabila dia tidak dapat ‘feel’ untuk menyanyikan lagu Aku Cinta Padamu.

“Dia hanya membaca lirik lagu itu lalu meminta tolong kepada saya tentang bagaimana hendak menyanyi dengan santai.

“Abang Asrul pun minta saya supaya memberikan pendapat tentang lagu itu kepada Yazid.

“Jadi, masa itu sahaja kami rapat,” tutur Zizi yang akui agak kecewa dengan penyingkiran tersebut.

Namun, Zizi berkata hidup mesti diteruskan dan sekurang-kurangnya dia telah melakukan persembahan dengan mantap dan ‘all out’.

“Kiranya saya keluar ni dengan bermaruah,” ulasnya yang selesa dengan genre rock dan berhasrat untuk mengeluarkan album rock jika ada rezeki.

Rubisa serik masuk program realiti lagi?

Sementara Rubisa pula berkata dia tidak akan menyertai mana-mana program realiti lagi selepas ini. Adakah kerana serik?

“Saya tidak akan masuk program realiti lagi kerana AF sudah merupakan program realiti yang bagus.

“AF sudah membawa saya ke tahap yang lebih bagus dan jauh.

“Insya-Allah, selepas ini saya hanya mengikut konsep lagu yang diberikan dan rasanya saya boleh menyanyikan semua jenis lagu,” katanya.

Rubisa turut menegaskan yang dia kelihatan sedih dan banyak menangis ketika dalam Diari AF kerana sukar untuk menghayati lagu.

“Saya menangis bersebab dan bukannya hendak mendapatkan perhatian orang,” jelasnya.

Kini, tinggal sembilan peserta yang untuk meneruskan transformasi dalam AF 7 pada minggu kelima ini.

Mereka adalah Ismaliza Ismail atau Isma yang menduduki tangga pertama dengan markah 16 peratus, Mohd. Hafiz Mohd. Suip atau Hafiz (14), Yazid (12), Mohd. Qhauhd Abdul Rashid atau Qhaud (9), Afiq Hakim Ahmad atau Akim (9), Siti Aishah Bujang atau Aishah (8), Khairil Azam Pilus atau Aril (8), Claudia Fay Geres atau Claudia (7) dan Mohd. Rashidi Mohamad Isa atau Sidi (7).

Konsert minggu keempat adalah tribute kepada dua ikon penyanyi dan penghibur terkenal tanahair, Amy Search dan Datuk Siti Nurhaliza.

Pelajar wanita mendapat lagu-lagu nyanyian Amy Search manakala pelajar lelaki mendapat lagu nyanyian Siti.

Lagu bonus untuk minggu ini ialah Isabella dan Jerat Percintaan (medley).

Siti dan Amy Search turut dijemput selaku pengkritik jemputan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain