suria

Aditya: Peluk spontan Nabil 'penyambung' legasi negatif artis

Nabil memeluk kekasihnya Irma Hasmie kerana teruja dan tergamam apabila diumumkan pemenang Bintang Paling Popular 2008.
Nabil memeluk kekasihnya Irma Hasmie kerana teruja dan tergamam apabila diumumkan pemenang Bintang Paling Popular 2008.
Nabil memeluk kekasihnya Irma Hasmie kerana teruja dan tergamam apabila diumumkan pemenang Bintang Paling Popular 2008.

SAMA ada Ahmad Nabil sengaja atau tidak, bukan isu lagi kerana perlakuan secara spontan itu masih menjadi bualan masyarakat sementelah dipancarkan terus menerus oleh TV3 yang khabarnya jumlah penonton malam final Anugerah Bintang Popular 2008 itu mencecah 4.2 juta orang.

Nabil memeluk kekasihnya Irma Hasmie kerana teruja dan tergamam apabila diumumkan pemenang Bintang Paling Popular sepanjang tahun lalu. Hingga ketika ini, kisah peluk dan spontan itu belum habis diperkatakan.

Kata Nabil dalam satu akhbar, perbuatannya itu tidak menjejaskan ekonomi negara pun. Baguslah berfikiran begitu sebab dia fikir soal ekonomi negara kita yang turut terkena tempias tekanan ekonomi global untuk dikaitkan dengan memeluk anak dara orang.

Sayangnya tak pula dia terfikir atau berkata mengenai kesan sosial dan jauh sekali soal agama dan hukum-hakamnya.

Eloklah kalau nak peluk sesiapa sekalipun kerana sememangnya ia tidak menjejaskan ekonomi Malaysia waima dunia sekalipun. Jadi marilah kita peluk memeluk walaupun bukan muhrim sekalipun kerana ia tidak menjejaskan ekonomi negara.

Masih ingat kisah kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa oleh seorang artis veteran yang menghina isteri Rasulullah dalam program yang juga disiarkan secara langsung oleh TV3. Keterlanjuran itu ‘membinasakan’ ekonomi artis itu buat sementara selepas digam oleh stesen kerajaan dan program itu juga dikuburkan terus tanpa nesan.

Orang kata, susah untuk mengawal kelajuan mulut mengeluarkan kata-kata kerana kita sudah terbiasa berbuat begitu dalam kehidupan seharian.

Mulut laser atau tiada insuran bukan perkara baru di kalangan artis dan mereka yang terlibat di dalam dunia hiburan Melayu. Cakap-cakap belakang kamera bercorakkan elemen ‘kurang ajar’ bagi mereka yang tidak biasa tetapi yang sudah biasa, ada mereka kisah!

Jadi tidak mustahil apa yang dilakukan oleh Nabil itu perkara biasa di luar daripada babak drama atau pentas lawaknya. Alah, anak muda bercinta dan cara bercinta zaman sekarang terlalu jauh bezanya. Tidak baik menuduh tetapi lihatlah gejala sosial manusia Melayu di Malaysia hari ini.

Itulah gambaran masyarakat kita. Cuma kali ini diperlakukan oleh Nabil, seorang manusia popular dalam dunia seni hiburan, menjadikan lebih mudah diperkatakan, dibuat spekulasi, dinilai melalui tafsiran sendiri oleh masyarakat dan ditohmah seribu nista.

Bukan orang lain tak buat tetapi status artis ‘membenarkan’ mereka menjadi bahan tatapan mata dan mulut. Gelaran itu juga membuka ruang untuk masyarakat mengata dan memuji mereka. Tetapi rata-ratanya menghentam seperti insiden peluk dan spontan Nabil di Arena of Stars, Genting Highlands itu.

Ini cabaran baru buat Nabil yang selama setahun lalu menerima pujian merata sejak diangkat sebagai Raja Lawak musim ke-2.

Bila berada di atas dan sentiasa menjadi perhatian manusia yang menggemari seni, sentiasa ada juga mata yang akan mencari kesalahan kita walaupun sebesar zarah sekalipun. Orang kita lebih mudah mencari kesilapan orang lain kerana kita jenis yang nampak kuman di seberang, sedangkan gajah di depan mata pun tak perasan.

Lebih-lebih lagi artis, perbuatan spontan itu menjadi cerminan artis kita yang tidak kisah pun soal-soal remeh. Setakat peluk saja, bukannya berzina walaupun banyak kisah negatif didengarkan mengenai perangai artis Melayu sebelum ini.

Mereka tidak hairan pun, kurang lebih sama juga dengan mereka tidak hairan apabila pihak mahkamah memanggil mereka ke rumah pasung untuk memberi keterangan hal yang berkaitan dengan perlakuan salah mereka sendiri.

Beberapa kali dipanggil, masih juga beralasan sibuk dengan karier. Nak dikatakan bodoh, artis kita memang cerdik pandai, bijak menjawab, belajar sampai puncak menara gading tetapi kedegilan mereka itu bukan menyusahkan saksi dan perjalanan perbicaraan mahkamah semata-mata tetapi sudah sampai ke tahap kategori menghina mahkamah.

Dua tiga artis berperangai sedemikian. Tak tahulah di mana hero mereka tetapi itulah yang dipuja segelintir masyarakat peminat masing-masing. Bila jadi artis, orang melihat kita sebagai role model dan idola untuk dijadikan ikutan. Sayangnya, hampeh!

Nampaknya kesinambungan perangai masyarakat artis sebegini berterusan, menyambung legasi negatif yang sudah sedia diperlambangkan kepada anak seni. Kerana seekor dua kerbau yang membawa lumpur, habis sekandang yang terpalit sama.

Artikel Sebelum

Artikel Lain