Mawi ketika mencuba sajian terbaru, Burger Sate ketika majlis memperkenalkan Mawi sebagai duta selebriti Marrybrown di Berjaya Times Square semalam. -foto The Star oleh ONG SOON HINTAHUKAH anda, usia rangkaian restoran makanan segera Marrybrown (MB) sebaya dengan penyanyi Asmawi Ani atau Mawi, 28?Bukan itu sahaja, MB juga berasal dari negeri yang sama dengan penyanyi tersohor ini iaitu Johor. Atas faktor tersebutlah, Pengarah Urusan Kumpulan Nancy Liew menjadikan alasan untuk melantik Mawi sebagai duta selebriti MB.Selain itu, Nancy berkata versatiliti Mawi sebagai penyanyi pop dan tradisional sesuai dengan menu tempatan dan barat.“Populariti Mawi menjadi inspirasi kami semua dan kami tidak dapat menemui duta yang sesuai untuk jenama kami.“Sebagai restoran untuk keluarga, kami merasakan Mawi merepresentasi nilai keluarga Asian yang menjadi keutamaan jenama MB,” kata Nancy.Dalam pada itu, Mawi ketika memberikan ucapannya menyatakan hasratnya untuk membuka sebuah francais MB.“Saya rasa berbesar hati dan tidak menyangka MB memberi kepercayaan untuk melantik saya sebagai jurucakap.“MB merupakan tempat istimewa saya semasa kecil di mana selepas waktu sekolah, saya dan kawan-kawan akan melepak di MB, Kulai.“Insya-Allah, selepas ini saya mengimpikan untuk membuka sebuah francais MB,” ucap Mawi dalam satu sidang media di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur baru-baru ini.Mengulas lanjut tentang hal tersebut, Mawi berkata dia serius untuk melakukan dan impiannya itu bukanlah suatu perkara ‘main-main’.“Saya tengah fikirkan tentang impian membuka francais MB. Kalau boleh saya nak buka francais ini dalam sebuah bangunan ‘shop lot’ dan bukannya dalam kompleks membeli-belah seperti ini (MB Berjaya Times Square).“Saya juga belum fikirkan tempat untuk membuka francais. Jadi, selepas ini saya akan melihat kertas kerja dahulu.“Saya tengok perniagaan seperti ini boleh pergi jauh dan fikirkan untuk jangka masa panjang. Lagipun, ekonomi kita bukan ‘up’ sahaja,” beritahu Mawi yang mendapat tawaran tersebut pada bulan Disember lalu.Kemudian, dia mendapat tahu tentang pelantikan tersebut kira-kira sebulan yang lalu.“Saya pun baru dapat tahu tentang pelantikan ini dan selepas itu terus menjalani pengambaran iklan.“Saya baru tahu MB merupakan produk buatan Malaysia dan ingatkan MB hanya berada di Malaysia, tetapi rupa-rupanya turut berada di luar negara,” ulas Mawi.MB, pemenang anugerah industri francais di peringkat dalam negeri dan antarabangsa adalah milik anak Malaysia dan mempunyai lebih daripada 28 tahun pengalaman francais.Francais antarabangsa milik anak Malaysia ini telah bertapak kukuh di rantau Asia Pasifik dan Timur Tengah dengan lebih 250 restoran beroperasi di 13 bandaraya dan negara iaitu Malaysia, Indonesia, China, India, Sri Lanka, Tanzania, Dubai, Arab Saudi, Bahrain, Qatar, Kuwait, Azerbaijan dan Iran.Dari 27 April hingga 14 Jun ini, MB menyediakan dua sajian istimewa berasaskan sate dalam promosi ‘Sedapnya Sate!’.Sajian tersebut adalah Nasi Sate Marrybrown iaitu sajian sate yang enak dihidangkan dengan tiga cucuk sate ayam, kuah kacang istimewa MB dan nasi goreng kampung serta hirisan bawang dan timun.Sementara sajian kedua adalah Burger Sate iaitu pati ayam goreng disaluti kuah kacang bersama hirisan timun dan bawang dalam roti ban bijan.Ditanya tentang ‘harga’ bergelar duta selebriti MB, Mawi merahsiakan jumlah bayaran yang ditawarkan kepadanya.Secara bergurau, Mawi turut menjawab dia dapat menikmati makanan MB secara percuma sebagai salah satu keistimewaan yang diberikan kepadanya.“Semasa saya di Genting Highlands untuk menjayakan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 baru-baru ini, pihak MB ada menghubungi saya dan mempelawa saya makan di MB,” tutur Mawi.Dia turut menceritakan tentang kenangannya ketika menjadikan MB sebagai tempat istimewanya semasa di alam persekolahan dulu.“Waktu di Kulai dulu, saya dan kawan-kawan anggap MB sebagai restoran yang ada ‘class’ jadi sebab itu kami akan berjumpa di sana apabila ada masa terluang.“Yang bestnya, semua bangsa akan berkumpul di MB,” kata Mawi yang turut menganggap kekalahannya sebagai Bintang Paling Popular ABPBH 2008 lalu sebagai pasang surut bergelar artis.Jelasnya: “Saya sudah mula merasainya dan yakin setiap artis itu akan ada ‘masa’ untuknya.”Bercerita tentang pengalamannya sepanjang bergelar artis, Mawi berkata dia bukan sekadar hendak menyanyi tetapi sebolehnya ingin belajar pelbagai perkara untuk jangka masa panjang.Beberapa hari lalu, Mawi telah menjayakan Majlis Amanah Saham Malaysia (MSAM) 2009 di Johor Bahru dan ditanya adakah Mawi ada membuat pelaburan, dia menjawab: “Saya membuat pelaburan masa dan tenaga, bukannya pelaburan duit.”Ditanya tentang perkembangan terbaru karier seninya, Mawi berkata dia akan melancarkan album Allah Habeebi pada 27 April ini, pukul 2.30 petang di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur.Duta produk DCL, Silky, EON dan kaca mata Aeras ini juga akan melakukan pengambaran program Langkah Mawi untuk 13 episod pada hujung Julai depan dimulai dengan lokasi Hong Kong.Selain itu, Mawi sedang menantikan kemunculan filem lakonannya iaitu 'Notti' dan 'Magika'.