suria

Sazzy lebih senang berdua dengan suami

Sazzy Falak dan suaminya Nazril Idrus.
Sazzy Falak dan suaminya Nazril Idrus.
Sazzy Falak dan suaminya Nazril Idrus.

KESIBUKAN dalam menguruskan urusan rumah tangga dan pejabat tidak menghalang pengacara dan pelakon Sazzy Falak untuk terus bergiat aktif dalam industri hiburan.

Sazzy, yang juga pengarah urusan di syarikat Sinclair Falak yang diusaha bersama aktor Ashraff Sinclair, merasakan segala kesibukan ini merupakan satu perkara tambahan buat selebriti sepertinya dan merasakan ia perkara yang baik untuk dilalui.

"Saya tidak rasa ini satu halangan buat saya untuk terus aktif kerana setiap perkara yang saya lakukan adalah berbeza dan saya menganggap ini semua adalah positif buat saya," kata pengacara Galaksi di TV 9.

Selain sibuk dengan urusan pejabat serta keluarga, Sazzy juga tidak menang tangan menguruskan rancangan realiti Oo La La.

"Bukan mudah sebenarnya untuk saya menguruskan semua kerja tambah-tambah lagi sejak pembantu rumah saya dah berhenti tetapi apa yang penting adalah saya sentiasa mendisiplinkan diri saya.

"Saya akan terus kerja tapi saya akan pastikan juga rumah sentiasa dalam keadaan bersih untuk keselesaan kami berdua," katanya.

Sazzy juga tidak menjadikan kesibukan sebagai satu alasan untuk dia menghabiskan masa bersama keluarga.

"Saya biasanya akan bahagikan masa antara tugas dan suami, kami lebih gemar untuk menghabiskan masa kami berdua dengan duduk di rumah untuk dapat lebih masa bersama," kata Sazzy yang masih belum mempunyai tanda-tanda ingin memiliki cahaya mata.

Sazzy berkata keinginan mempunyai cahaya mata akan jadi satu elemen 'surprise' dan dia tidak ingin gembar-gemburkan sebelum waktu.

Namun di sebalik semua kesibukan ini, Sazzy masih lagi dapat 'mencuri masa' memberi tumpuan kepada bidang lakonan yang juga diminatinya.

Sazzy bakal muncul di layar perak menerusi filem '4 Madu' arahan Prof Madya A. Razak Mohaideen.

Pengalaman berlakon dengan aktor Saiful Apek dalam filem ini juga meninggalkan kesan manis pada Sazzy.

"Saya rasa sungguh seronok berlakon dalam filem komedi. Agak jarang juga saya mendapat peluang seperti ini. Selalunya saya terlalu sibuk menjadi hos program di TV dan menguruskan hal pejabat yang menuntut begitu banyak masa saya.

"Semua pelakon dan krew serius dalam bekerja, disiplin dan bekerja keras tetapi apa yang menyeronokkan adalah kesemua mereka 'gila-gila' dan sentiasa menghiburkan," jelas Sazzy yang juga berlakon dalam filem terbitan Astro iaitu 'Warkah Terakhir' yang memberi tribut kepada pejuang Sarawak Rosli Dhoby.

Sazzy juga akan menjalani pengambaran program Galaksi yang akan disiarkan secara langsung di tv9 pada jam 8.30 malam ini.

Artikel Lain