Konsert Lelaki Ini yang dilihat menjadi 'kemuncak' karier nyanyian penyanyi ini selama lebih 11 tahun berada di dalam industri ini memang dilihat mempunyai 'kelas' tersendiri! DUA hari setelah Datuk Siti Nurhaliza tampil dengan konsert eksklusif SATU di Istana Budaya (IB), penyanyi kacak Anuar Zain pula menyusul dengan konsert sulungnya selama dua hari yang berakhir malam tadi.Konsert Lelaki Ini yang dilihat menjadi 'kemuncak' karier nyanyian penyanyi ini selama lebih 11 tahun berada di dalam industri ini memang dilihat mempunyai 'kelas' tersendiri! Tidak perlu sebarang gimik, mahupun pembabitan penari, Anuar tetap berjaya mencuri perhatian kira-kira 1,300 penonton yang hadir pada hari pertama konsert itu kelmarin.Dan Anuar benar-benar mengotakan janjinya untuk menjadikan kekuatan vokal sebagai 'nadi' utama konsert tersebut.Mutu vokal yang dilontarkannya pada malam itu memang konsisten sepanjang kira-kira dua jam persembahannya menerusi 21 buah lagu yang disampaikan.Mungkin bagi yang pernah menyaksikan persembahan Minggu Setiausaha Anuar sebelum ini akan merasakan tidak banyak kelainan yang ditampilkan menerusi konsert ini, namun, tidak dinafikan, dengan skala persembahan yang lebih besar di IB dan turut diiringi oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan di bawah pimpinan Mustafa Fuzer Nawi, persembahan jejaka kacak ini nampak lebih 'grand'.Penonton juga seolah-olah 'leka' dengan satu demi satu lagu yang disampaikan oleh Anuar dan sesekali, penyanyi kacak itu akan berinteraksi dengan penonton.Walaupun tidak begitu celoteh berbicara bersama penonton seperti mana penyanyi-penyanyi lain, namun menerusi senyuman yang tidak lekang dan usikan 'manja' yang diberikannya sudah cukup membuatkan ramai peminat-peminat wanitanya 'cair'. Itulah keistimewaan Anuar.Anuar memulakan segmen pertama konsertnya sekitar pukul 8.40 malam dengan menyampaikan tiga buah lagu iaitu Kaulah Satunya, Sesuci Cintamu, Mungkin dan Suria Siarra.Kemunculan penyanyi berusia 39 tahun ini di pentas nyata menggamatkan suasana dewan itu dengan jeritan peminat-peminatnya. Anuar kemudiannya meneruskan segmen kedua dengan mengimbas semula kenangan di zaman 'Anuar dan Ellina'.Lagu Seruling, Kesan Kelukaan dan lagu popular mereka dulu, Kain Pelikat telah disampaikan semula oleh penyanyi itu sambil dilatari gambar-gambar di zaman 'popular' mereka ketika dulu.Anuar meneruskan persembahan dengan lagu-lagu seperti Jangan Bersedih Lagi, Bila Resah, Permata, Teman Terulung, Keabadian Cinta dan Kau Bunga Cintaku.Penyanyi ini juga turut mengadakan segmen tribut dengan menyanyikan lagu-lagu retro penyanyi-penyanyi lama iaitu Berdirinya Seorang Perindu oleh Ibnor Riza, Penantian (Harmony), Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta (Flybaits) dan Epilog Cinta Dari Bromley (Sohaimi Mior Hassan).Walaupun ada di antara penonton yang tidak begitu 'familiar' dengan lagu-lagu itu, namun Anuar berjaya membawakan lagu-lagu tersebut dengan gaya tersendiri.Hampir dua jam berlalu, Anuar menutup tirai konsert tersebut dengan segmen terakhir persembahannya menerusi lagu Ketulusan Hati, Lelaki Ini dan Perpisahan.Secara keseluruhannya, konsert Lelaki Ini berjaya menghiburkan penonton yang hadir, terutamanya peminat-peminat yang sudah lama menantikan penyanyi ini beraksi di konsert solonya.Walaupun ada juga yang mengharapkan penyanyi pujaan mereka itu turut mendendangkan beberapa buah lagu popularnya yang lain, namun apa yang pasti, konsert ini telah membuktikan Anuar masih mempunyai aura yang 'kuat'.Jika tidak, masakan tiket-tiket untuk menyaksikan konsert tersebut habis dijual sejak dua minggu lalu.Malah, melihat respon hebat daripada peminat-peminatnya, Anuar turut mengimpikan untuk mengadakan konsert yang lebih besar, jika berpeluang kelak!